Friday, August 7, 2009

Rindu Semalam -Bab 10

Bab 10

Lembayung senja yang berbalam-balam cahaya jingganya cukup memukau pandangan dari kemuncak kawasan air terjun. Duhaila tersenyum memandang ke kaki langit. Kagum pada kebesaran ciptaan-Nya. Dia menoleh ke arah khemah di belakang melihat Ziha dan Dr. Taufik sedang sibuk menyalakan unggun api. Ketawa kecil Duhaila melihat telatah Ziha yang kecoh mahu memasak air sambil dibantu oleh Dr.Taufik. Beria-ia dia mahu mencuba sendiri walau cuba dibantu oleh Dr. Taufik. Duhaila menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat teman akrabnya itu. Duhaila menoleh-noleh ke kawasan sekitar seperti mencari sesuatu. Dia tidak melihat wajah itu. Dia melangkah ke arah air terjun. Dengan berhati-hati dia melangkahi batu-batu kecil dan sederhana besar yang terdampar di kawasan air terjun itu.

"cantikkan?"..suara garau Akhmal yang menyapa dari arah belakang mengejutkan Duhaila namun dia diam tidak membalas juga dia tidak menoleh langsung melihat wajahnya kerana sedia maklum tuan empunya suara itu. Matanya masih dihalakan pada lembayung senja nan jingga memagari seluruh kawasan di tanah tinggi tersebut. Dia masih duduk penuh takzim diatas batu besar di tepi air terjun tidak jauh dari khemah mereka. Dari ekor matanya Duhaila dapat menyaksikan susuk tubuh yang menyapanya tadi melabuhkan duduk di sebelahnya. Dia mengengsut sedikit tubuh ke tepi menjarakkan dirinya dengan Akhmal. Matanya masih setia memandang ke arah kaki langit senja.

"awak apa khabar?...makcik macammana?"Akhmal masih terus ingin menyapa. Masih ingin terus berbicara dengannya. Duhaila diam sebentar sebelum membalas perlahan.

"saya ok, ibu pun." pendek sahaja lontaran jawapan yang keluar dari mulut Duhaila. Dia tidak ingin berbicara jauh sekali berborak panjang dengan orang disebelahnya itu. Akhmal Hafiz tidak harus dilayan!

"Lama saya cuba cari awak, merata-rata Duha. Lebih lima tahun saya tidak putus asa menjejak awak Duha. Tidak putus doa saya pada-Nya supaya dapat jumpa awak. Alhamdulillah doa saya dimakbulkan. Awak tak tahu macammana perasaan saya bila jumpa awak di hospital hari tu. Saya rasa macam mimpi Duha. Sungguh!. Kenapa lari dari saya dulu Duha?, kenapa tak tunggu dan dengar penjelasan dari saya?..Beri saya peluang Duha untuk jelaskan keadaan yang sebenarnya. Saya tidak pernah bermaksud mahu mempermain-mainkan awak. Demi Tuhan Duha. Saya ada alasan mengapa saya berbuat begitu." Akhmal memandang ke arah wajah disebelahnya itu. Wajah yang sekian lama dia rindu. Duhaila langsung tidak memandang ke arahnya jauh sekali membalas bicaranya. Akhmal buntu. Dia menggosok-gosok jari kanannya pada kedua-dua pelupuk mata. Matanya dipejamkan seketika. Dia menghela nafasnya perlahan.

"kalau awak masih marah dan tidak dapat maafkan atas tindakan juga keputusan saya dulu, saya faham Duha dan saya tidak akan sekali-kali salahkan awak...tapi tolonglah beri peluang dan dengar penjelasan saya ini Duha. Bukan mudah untuk saya buat keputusan tersebut apatah lagi menerima dirinya..." Akhmal masih mahu terus berbicara dengan insan disebelahnya itu walaupun dia sedar Duhaila seperti tidak sudi mendengar kata-kata yang terlontar dari mulutnya. Akhmal maklum. Akhmal faham. Akhmal kenal dengan sikap Duha. Tidak berubah sejak dulu. Diam Duha bermakna dia tidak suka. Namun Akhmal tetap mahu mencuba . Dia tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada ini. Dia sendiri tidak tahu samada akan memperolehi peluang sebegini lagi. Duhaila memang sukar diduga hatinya. Diamnya adakala sangat menakutkan.Akhmal tahu itu.

"saya terpaksa buat begitu Duha. Saya terpaksa.." Akhmal memandang ke arah Duhaila yang sedang merenung tepat padanya. Tiada sebarang garis senyum dari wajah putih mulus dihadapannya itu.

"takda apa lagi yang nak dijelaskan dan perlu dijelaskan En. Akhmal. Saya dah tak mahu tahu apa-apa lagi perihal awak dan masa silam awak. Antara awak dan saya juga sudah tidak ada apa-apa lagi. Saya dengan hidup saya dan awak dengan hidup awak. Harap awak faham. Bagi saya awak kini hanya teman rapat Dr. Taufik. Itu saja."

Akhmal hanya memerhatikan sahaja Duhaila melintasinya dan mengatur langkah perlahan-lahan mengharungi arus air di depan menuju ke kawasan khemah mereka. Dia memandang sayup ke wajah Duhaila. Wajah yang dulu tidak lekang dari memberi senyuman manis padanya.

Masih berdendamkah kau pada aku Duha?...Masihkah?

Maafkan Akhmal Duha...maafkan Akhmal!

Akhmal sayang Duha...sangat-sangat Duha!

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...