Tuesday, May 24, 2016

Akulah PEREMPUAN Yang Kau Singkirkan

MATA AZHAD tak berkelip saat Maserati yang dipandu Jo memasuki kawasan yang tertera perkataan Raudhatul Sakinah. Mata jelas nampak deretan nisan putih yang tersusun seragam di setiap pusara. Liur berkali-kali ditelan. Dilirik memandang Jo yang sudah memarkir kereta. Enjin yang bernafas mula lemah dan akhir berhenti berdenyut. Jo dilihat menarik kunci dan menolak pintu. Azhad masih takzim merenung Jo dan saat gadis ini berpaling, dua pasang mata mereka bertembung.

“Kau kenapa? Takut tengok kubur?” Jo jongket bibir.

Azhad geleng perlahan. Jo capai pemegang pintu.

“Jom.”

Jo sudah melolos keluar dari perut kereta. Namun Azhad masih statik di kerusi penumpang hadapan. Ombak keliru masih membadai. Membelah laut hati demi mencari jawapan pada tindakan Jo datang ke sini. Rasa terkejut masih belum surut. Mata merenung jauh ke deretan perkuburan yang terbentang di hadapan. Hanya ketukan di cermin pintu yang secara tiba-tiba buat segala rasa itu terbang. Jo yang menyua muka di luar cermin memberi isyarat agar Azhad keluar. Dilepaskan nafas. Perlahan-lahan dicapai pemegang pintu. Dada terus meniup gendang debaran yang dia sukar benar mahu menafsirkannya. Ditolak pintu. Jo yang tegak dipandang lama.

“Jo.. tempat ni.” Tidak dapat ditahan bibir dari bertanya. Dan seakan faham bahasa debar Azhad, Jo tunduk seketika memandang lantai tar. Bohong jika dia mengatakan tidak rasa apa-apa bila kembali ke sini. Walaupun dia seperti sudah bersumpah sendiri untuk tidak lagi menjejak langkah ke sini, sumpahnya lebur hari ini. Lebur semata-mata kerana Azhad. Dia perlu membuat pengakuan di depan lelaki ini. Jo tahu dia tiada jalan lain. Hanya ini sahaja satu-satunya bukti yang akan mengukuhkan penolakannya pada niat Azhad. Juga pada niat mana-mana lelaki bernama melayu yang mahu meneroka hatinya. Tak mungkin akan dibenarkan. Cukuplah sejarah duka dahulu yang pernah tercatat dalam hidup insan yang melahirkan dia ke dunia ini.

“Aku nak tunjuk pada kau sesuatu.” Dan usai dilafaz, langkah Jo terhala ke hadapan. Azhad akur mengikut langkah Jo walau hatinya dihambat beribu soalan. Mata menyusuri barisan kubur yang tersusun kemas sekata di kiri dan kanan. Bibir yang bisu terus melewati setiap zon di Raudhatul Sakinah. Azhad dapat merasakan jiwa seakan lain ketika ini. Bukan takut. Bukan juga debar. Rasa itu sudah laju meninggalkan diri usai dia melangkah tadi. Sekeliling yang dilihat cukup menyejukkan pandangan mata.

Damai.

Ya. Itu perasaan yang singgah di jiwa saat ini. Lambaian pohon-pohon kecil yang tidak diketahui namanya kecuali cempaka putih yang biasa dilihat menciptakan persekitaran nyaman yang tidak pernah dirasai tatkala mengunjungi kawasan perkuburan lain. Azhad terasa jiwanya begitu tenteram. Tiada gerun. Debar yang bertiup tadi sudah lenyap.

Langkah Jo terhenti di depan sebuah nisan. Mata menjunam pada leret tulisan yang tertinta pada tubuh nisan yang kaku. Azhad yang mengekori di belakang ikut terhenti. Mata turut menghala pada apa yang direnung oleh Jo. Dibaca nama yang tertera. Akal cuba mengandaikan bermacam-macam jawapan. Jawapan untuk dikaitkan nama ini dan hubungannya dengan Jo. Perlahan-lahan Jo merendahkan tubuh. Azhad ikut sama tanpa bertanya apa-apa. Mengunci tanya biarpun rasa itu membuak-buak mahu keluar dari fikiran. Mata hanya bisu memerhati tiap perbuatan Jo yang dilihat hanya merenung nisan putih di hadapan mereka.

“Ini kubur ayah aku.” Seluncur diucapkan. Tanpa rasa. Tanpa perisa. Jo lirik pada Azhad.

Mata Azhad ternganga. Tidak berkelip.

Terkesima.


No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...