Bab 8
"AIDA TU BUKAN FYZA TAK TAU perangai dia. Semua orang
kat muka bumi ni baik dimata dia. Fyza yang kawan dengan dia dari sekolah
menengah lagi patut lebih tau sikap Aida yang satu ni.” Fyza angguk perlahan.
Affendi sambung tatap ke wajah gadis yang dia kenal menjadi kawan baik Aida
sejak di sekolah menengah lagi. Dan Affendi juga keluarga sebenarnya banyak
berterima kasih kepada gadis ini. Fyza banyak membantu Aida sejak adik
bongsunya itu datang ke Kuala Lumpur. “ Abang cuma risau. Aida ni hati dia
lembut. Tak kira pada siapapun. Kenal tak kenal, dia tetap layan macam dah lama
kenal. Macam kawan baik dia jer. Kadang bila terlalu baik pun ada bahayanya
lagi-lagi dalam dunia sekarang ni Fyza. Kita tak tau isi hati orang. Tak semua
orang baik macam yang dia sangka. " Fyza hela nafas halus. Dalam hati
mengiyakan apa yang dikatakan abang keempat Aida ini. Mengenali Aida dari saat
kaki melangkah ke sekolah menengah suatu waktu dahulu kala keluarganya akur
mengikut abah yang mahu menetap di kampung setelah berhenti kerja, Fyza cukup
masak dengan sikap tulus dan baik hati Aida. Aida kawan pertama di sekolah yang
menegurnya dan sudi berkawan dengannya biarpun yang lain-lain tidak menyukai
gadis kasar seperti diri Fyza. Ketulusan, sabar dan ikhlas hati Aida buat Fyza
selesa berkawan dan makin akrab dengan Aida yang dirasakan kawan yang cukup
baik hati. Terlalu baik hati. Dan kerana sikap baik hati Aida yang adakala Fyza
rasa keterlaluan, seringkali juga ada kalangan kawan-kawan di sekolah mereka
yang mengambil kesempatan atas kebaikkan Aida. Dan setiap kali ditegur Fyza,
Aida hanya menyatakan jangan pernah berkira dengan kelebihan yang Allah beri
pada kita. Jika kita mampu maka bantu sahaja semampunya. Soal yang lain-lain
itu serahkan pada Allah. Jangan prasangka. Jangan bersangka buruk.
Sudahnya Fyza hanya selesa mendiamkan diri hatta ketika Razman yang waktu itu
berada di tingkatan lima mula berkawan dengan Aida, Fyza memang tak mahu menegur
biarpun jauh di sudut hati seakan dapat merasakan lelaki itu “semacam” sahaja
orangnya. Entahlah. Memang dari mula kenal Razman, Fyza memang tak begitu
menyukai lelaki itu. Bukan dia berprasangka. Bukan juga buruk sangka namun
gerak hati begitu kuat menyatakan lelaki itu bagai ada agendanya mendekati Aida
yang polos dan tulus hatinya. Dan telahan hatinya tentang sikap “semacam” lelaki itu dahulu benar belaka.
Razman itu memang spesies jantan tak guna. Razman itu sungguh bijak
mempergunakan Aida yang terlalu jernih jiwanya. Mengambil kesempatan diatas
kebaikkan Aida yang ikhlasnya tidak terucap. Fyza hela nafas perlahan. Mengingati
kisah Aida dan Razman…mengulang tayang
esak tangis Aida kala meluahkan segalanya yang telah Razman lakukan buat lubuk
jiwanya bergelora dengan amukan amarah. Jika membunuh lelaki seperti Razman itu
tidak tersalah dari sisi hukum dan undang-undang sudah lama dicincang lumat
lelaki itu!
" Abang takut orang ambik
kesempatan pada dia. Orang sekarang bukan kira, Fyza. Lagikan bini orang pun
kalau dia nak, dia akan usaha sampai dapat. Ni kan pulak anak dara lurus macam
Aida. Abang taknak apa yang dah jadi dulu berulang balik. Abang tak nak tengok
Aida sedih lagi. Cukuplah apa yang dah si Razman bangsat tu buat pada
Aida. Mak abang lepaskan dia kerja di Kuala Lumpur ni pun sebab tu. Sebab nak
Aida lupakan hal dulu. Nak dia jauh dari rencah rasa kata-kata orang kampung yang tahu ujung pangkal cerita.
Mak tak sanggup tengok orang kampung terus mengata Aida." Fyza yang takzim
mendengar, lontar anggukan ke arah Affendi yang duduk di sofa setentang. Tahu
benar apa yang terpaksa ditanggung Aida atas apa yang dilakukan Razman. Entah
kenapa agaknya dalam hal begini mudah benar orang kampung menuding jari ke arah
Aida. Dan jantan keparat itu terlepas dengan penuh penghormatan. Kalaulah dia
punya kuasa ajaib mahu sahaja disumpah jantan keparat itu menjadi katak puru.
Hodoh dan hanya menjadi penghuni lohong kotor
lagi jijik.
Kepala
dipusingkan memandang pintu bilik dihujung kiri ruang tamu yang rapat tertutup.
Seketika tadi tubuh kurus Aida rancak berbual bersama Affendi dan Fyza berbual
di ruang tamu kini sudah menghilang dan tenggelam disebalik pintu bilik. Fyza
toleh semula memandang Affendi. Kedatangan lelaki ini tadi yang disangka Fyza
sekadar ziarah rutin sejak Aida menjadi penghuni di flat yang disewanya
ini rupanya mengandungi sisipan maksud lain. Siapa sebenarnya lelaki yang
menjadi tajuk bualan kedua-dua beradik ini tadi agaknya. Fyza memang tak
langsung mencelah. Hanya menjadi pendengar dan saksi kedua-duanya berbual.
Biarpun cuma perbualan biasa namun sukar dinafikan rasa ingin tahu Fyza seakan
sukar dibendung. Siapa agaknya lelaki yang disebut Affendi dan Aida tadi.
Seingat Fyza tak ada pulak Aida bercerita tentang hal ini kepadanya. Yang
selalu menjadi tajuk bualan yang menggembirakan Aida pasti tentang gelagat
penghuni-penghuni kecil di tempat kerjanya itu. Fyza lontar lagi tatap ke
wajah Affendi.
"Abang, Fyza nak tanya satu soklan. Boleh?"
Affendi senyum segaris. "Tanyalah."
Fyza toleh kebelakang. Melontar dua bebola
mata ke arah muka pintu bilik Aida yang tertutup rapat sebelum kembali menjamah
wajah didepan.
"Tadi abang dengan Aida bercakap pasal
siapa?"
Dua jari Affendi mengelus pangkal hidung.
Terbias di cuping Fyza desir nafas yang dihela oleh lelaki didepannya ini.
"Abang dengan Aida terserempak dengan
seorang lelaki dan anak perempuan dia di Mid Valley kelmarin."
Fyza angguk. "Masa abang belanja Aida
beli baju tu?"
Affendi angguk.
"Kenapa pulak dengan lelaki dengan anak dia
tu?'
"Anak lelaki tu meluru kat Aida masa
abang masuk beli makanan untuk dia. Aida beritahu abang budak perempuan
tu anak murid dia dan lelaki yang ikut sama dengan budak tu ayah dia. Aida
kenalkan abang dengan diaorang."
Fyza laju menebar anggukan bersama bibir yang
sedikit terbuka membentuk huruf O yang panjang nadanya.
"Dah tu apasal pulak dengan dua beranak
tu abang. Diorang ada buat apa-apa ke kat Aida yang mungkin saya tak
tahu." Fyza hala tatap pertanyaan yang mengetuk kepala.
Affendi geleng.
"Budak
perempuan tu abang tak ada hal. Dah anak murid Aida. Kalau dia gembira dengan
budak tu…jadi cikgu budak tu, abang pun tumpang seronok. Tapi yang abang
bimbangkan..."Affendi hela nafas.Kalamnya terhenti. Dihela nafas
Dalam-dalam. Sungguh dia tidak akan membenarkan sesiapa lagi untuk melukakan
hati dan jiwa adik bongsunya ini. Tidak akan diiizinkan. Langkah mayatnya
dahulu jika lelaki itu ada niat dihati terhadap Aida. Aku tak kira walau kau
siapa Fazwan. Aku tak kira walau melangit pangkat dan kekayaan kau. Yang aku
kira cuma satu. Jauhkan diri kau daripada adik aku. Jauhkan diri kau dari
pasang niat yang bukan-bukan terhadap Aida. Aku takkan benarnya. Takkan
sekali-kali!
"Abang bimbangkan pasal apa."
"Ayah
budak perempuan tu.”
Fyza kerut dahi.
“Kenapa
dengan ayah budak tu?” Abang kenal dia ke?”
Affendi
geleng lagi.
“Tak.
Abang tak kenalpun sapa dia.”
“Dah tu,
abang risaukan pasal apa?”
“Lain
macam jer abang tengok ayah budak. Dari
awal masa terserempak pun abang perati dia pandang Aida tak macam dia pandang cikgu anak dia. Abang
bukan buta, Fyza. Cakap dia masa sebelum tinggalkan meja waktu berbual dengan
abang dan Aida masa tu pun abang dah rasa dia memang ada sesuatu dalam kepala.
Dan sesuatu dalam kepala lelaki tu tak lain dan tak bukan pasti pasal niat dia
pada Aida. Gerenti punyer, Fyza. Tampar mulut abang ni kalau Fyza rasa abang bohong.
Hati abang ni takkan menipu dengan apa yang abang tengok. Mata hati ni lebih
tepat bila bercakap, Fyza."
Fyza lepas
nafas. Apa-apapun, dia perlu bertanya Aida sendiri tentang hal ini.
Tentang lelaki itu semestinya. Mahu ditanya segalanya daripada Aida. Fyza yakin
Aida takkan berbohong. Jauh sekali menyembunyikan apa-apa daripadanya.
"Abang
rasa lelaki tu ada niat tak baik ke pada Aida?"
"Abang ni lelaki Fyza. Abang tau.
Tengok cara dia pandang Aida abang tau."
"
Tapi kan tadi Fyza dengar Aida cakap lelaki tu cuma ayah salah sorang murid
dia. Itu aje. Mereka memang tak ada hubungan dan takkan ada hubungan. Kalau
ikut apa yang Aida cakap, itu laki orang tu, bang. Issh.” Fyza laju menggeleng
kepala. “ Takkanlah Aida sanggup nak ambik laki orang, bang. Dia pun bukannya
tak boleh fikir mana baik mana buruk. Abang jangan bimbanglah. Aida bukannya
bodoh. Dia takkan buat macam tu bang. Abang jangan risau la pasal ni. Fyza
kenal Aida. Dia bukan perempuan jahat. Lagi-lagi nak rampas laki orang , bang.
Issh..minta Allah jauhkan Aida dari terjebak dengan suami-suami orang ni bang.
Fyza yakin, Aida tahu apa itu makna menyakiti hati orang lain dan Aida pasti
takkan melakukannya. Abang pun kenal adik abang tu macammana kan. Kita semua
kenal dan tahu siapa Aida, bang. Aida yang baik pasti Allah janjikan dengan
lelaki yang sebaik dia juga. Dan lelaki itu Fyza yakin hanya untuk Aida. Bukan
untuk orang lain.Bukan juga milik orang lain."
Affendi
raup muka. Seketika. Kata-kata akhir yang terlontar dari bibir Fyza dipanjatkan
kepadaNya agar melimpahi takdir hidup Aida. Pesan maknya dikampung tentang Aida
terpasak kukuh dikepala. Jaga adik, abang chik. Jaga adik. Nafas ditelan sayup.
Abang chik janji mak. Abang chik janji!
DIAN KERUT DAHI pandang keliling. Susuk tubuh yang biasa
menantinya di pintu masuk tidak kelihatan hari ini. Dijenguk kepala ke dalam
dengan bebola mata liar memerhati di dalam juga dipersekitar kawasan permainan.
Tiada jugak terlihat. Dian toleh kesebelah sebelum mata jatuh ke wajah Fawzan
yang masih takzim berdiri disebelah menggenggam erat tanganya. Tangan Fawzan digoyang.
“Daddy…”
Fazwan
senyum. “Hmmm…” Tahu apa yang akan keluar dari bibir mungil Dian. Fawzan
melihat tadi gelagat Dian. Pastinya sedang mencari si dia yang satu itu. Dan si
dia itu juga turut dicari oleh sepasang mata Fazwan dari tadi. Kemana agaknya
dia? Tidak sihat ke dia?
“Teacher
Aida tak ada pun. Selalu kalau Dian sampai teacher Aida dah ada depan pintu ni
tunggu Dian. Mana teacher Dian, daddy? Kenapa teacher Aida tak ada hari ni?”
Tangan Fazwan elus kepala Dian. “Teacher Aida lambat sikit agaknya tu. Mungkin
dia ada hal di rumah. Sekejap lagi teacher Aida sampailah,hmmm. Dian masuk dulu
ye. Tu teacher Nancy dengan teacher Aini ada.” Fazwan hala tangan ke arah dua
guru wanita yang sedang menjala senyum ke arahnya. Fazwan angkat tangan tanda
hormat.Dian yang turut memandang muncung bibir. “Dian nak teacher Aida jer.
Dian taknak teacher lain. Tak best.” Fazwan senyum. “Sekejap lagi teacher Aida
sampai,hmmm. Dian masuk dulu ok. Kalau Dian sayang teacher Aida Dian kena jadi
good girl. Barulah teacher Aida lagi sayang pada Dian. “ Dian yang mendengar
melempar senyum. Fazwan sambut
senyum Dian. Umpannya mengena, Alhamdulillah. Dia harus segera ke pejabat. Ada
mesyuarat susulan dengan pihak pelabur dari Korea yang dipertanggungjawab
kepadanya oleh Datuk Faisal. “Daddy nak kena pergi ni. Daddy ada meeting pagi
ni. Nanti petang mama ambil,hmmm.”
Dian
angguk. Tangan Fazwan yang masih digenggam dikucup. “Bye , daddy.”
Fazwan
senyum. Kepala diangguk. Ubun Dian dikucup. “Bye sayang. Be good girl,hmmm.”
Dian angguk. Senyum. Jari telunjuk dan ibu jari dijalin rapat membentuk huruf
O. “Ok daddy. Love you.” Dian laju mengatur langkah masuk ke dalam My Little Sweet Home Child Care Centre.
Fazwan
senyum manis.” I love you too, sweetheart.” Langkah diatur ke enjin buatan Jerman
yang takzim menanti diluar pagar. Tangan mencapai pemegang pintu. Ditarik.
Tubuh yang kemas bersarung kemeja biru dengan nia berjalur biru gelap melolos
masuk.
“Kita ke
pejabat, Mat.”
“Baik,
boss.”
LANGKAH KAKI YANG BERSARUNG SANDAL nipis laju berjalan
membelah batas jalan yang lengang dari kenderaan. Aida seka rintik –rintik peluh
di dahi dengan jari-jemari. Mata liar memandang ke kiri dan kanan. Sudahlah tadi harus menunggu diperhentian begitu lama
lantaran bas yang biasa dinaiki tiba lewat, kini bas yang sama pulak
tersadai dipertengahan jalan kerana kerosakan enjin. Sudahnya dia dan beberapa
orang penumpang harus turun dan mencari jalan masing-masing untuk ke tempat
kerja. Aida lepas nafas panjang. Dia bukan mahir sangat jalan disini namun
nasib baiklah Allah kurniakan ingatan yang tajam buatnya. Aida tahu dia boleh
sampai ke My Little Sweet Home
Child Care Centre dengan berjalan kaki daripada tempat bas tadi tiba-tiba
terhenti dek kerosakan. Walaupun perlu berjalan agak jauh namun Aida tahu dia
tiada pilihan lain. Dia harus berjalan kaki untuk ke sampai ke tempat kerjanya
itu secepat yang mungkin. Memang tiada bas lain yang masuk ke kawasan ini
selain bas yang tadi. Dan jika mahu ditunggu bas yang satu lagi alamatnya dia
akan sampai kala waktu makan rehat pagi untuk murid-murid di My Little Sweet
Home Child Care Centre .
Pergelangan
tangan kiri diangkat. Jam bulat bertali hitam yang dibeli di pasar malam waktu
di tingkatan lima dahulu yang kini sudah pudar warnanya dikerling. Ahhh…mesti
budak –budak dah mula masuk nih. Sebelah tapak tangan menyapu wajah dengan
sepasang kakinya masih terus menyusun langkah membelah susur jalan yang kiri
kanannya terdiri rumah-rumah yang mewah di matanya. Apalah nasibnya hari ini. Satu demi satu menimpa. Tadi
dirumah tangan Aida terpecik minyak panas kala menggoreng telur. Waktu mahu ke
tempat kerja bas yang dinanti pulak lambat tiba. Paling memburukkan keadaan bas
yang lambat datang itu pulak rosak ditengah jalan. Allah. Banyak sungguh dugaan
untuknya hari ini. Entah apalah pulak selepas ini agaknya. Kepala menggeleng. Aida
lafaz istighfar. Tidak wajar dia berfikiran begini dan mempersoalkan apa yang
telah terjadi. Yang berlaku pasti ada hikmah. Itu yang arwah abah selalu pesan
dan terus terpahat di ingatan. Kepala spontan menoleh kebelakang kala cuping
telinga menangkap bunyi deruan enjin motosikal. Tubuh deras digerakkan ke tepi
agar tidak mahu mengganggu laluan motosikal berkenaan. Pastinya mahu ke tempat
kerja seperti dirinya.Dan saat enjin dirasakan makin menghampiri dan belum
sempat Aida menoleh, tubuhnya terasa tali tas tangan yang disandangdi bahu kiri
direntap kasar dari belakang. Tubuh terdorong ke belakang. Aida terhoyong hayang
namun tangan cuba mempertahankan tas tangan yang direntap. Saling tarik
menarik. Aida nekad. Dia perlu mempertahan tas tangan yang dibeli mak di pekan Changlun
kala dia mahu mengikut Fyza ke Kuala Lumpur. Kata mak, Aida perlukan tas tangan
yang lebih elok. Bukan yang sudah pudar seperti yang sering dia gunakan bila
mahu ke mana-mana. Aida tahu mak gunakan duit upah menjahit langsir majlis
perkahwinan orang kaya dari Alor Setar
untuk beli tas tangan yang cantik itu. Dia harus mempertahankan duit upah mak
itu. Dia harus mempertahan keringat mak itu walau dengan cara apa sekalipun. Suara
jeritan Aida meminta tolong bergema kuat dan nyaring. Tangan terus menarik tali
tas tangan yang turut ditarik pembonceng motosikal yang masih bersarung helmet
hitam. Jeritan terus dilaung dengan harapan ada yang mahu membantu. Saat tangan sedayanya terus menarik tali tas
tangan dengan mulut yang tidak henti menghumban jeritan pertolongan Aida terasa
pedih di rusuk kiri. Perit. Sakit menyucuk. Mata berbalam kala kepala menoleh
ke rusuk. Cairan merah pekat mula terpancar di permukaan kurung kuning cair yang
di tersarung di tubuh. Motosikal hanya mampu dilihat memecut meninggalkannya.
Meninggalkannya dengan membawa tas tangan pemberian mak hasil upah dan keringat mak menjahit langsir.
Tubuh seakan makin lemah. Bibir tidak terdaya lagi melaung jeritan. Suara
seakan tersekat. Terpasung. Dua tapak tangan menekap ke rusuk. Nafas makin
lemah. Allah…Allah. Ya Allah tolong hambamu ini. Pandangan makin kabur. Kepala
terawang. Tubuh melayang.
Ahmad mengecilkan mata. Susuk tubuh perempuan yang
terbaring ditepi jalan menangkap perhatian. Enjin BMW putih diperlahan. Signal
ke kanan diberi. Fazwan yang menyedari kereta dipandu makin perlahan menjenguk
ke depan.
“Ada apa,
Mat?”
“Ada
perempuan terbaring kat depan sana, boss. Tak tau sebab apa. Takut kena langgar
lari jer. Kesian pulak saya, boss.”
Fazwan
pantas mengangkat kepala memandang cermin hadapan. Susuk tubuh perempuan
berkurung cerah menangkap mata.
“Berhenti,
Mat. Mari kita tengok. Kalau boleh tolong, kita tolong mana yang termampu.”
Ahmad
angguk. “Baik, boss.”
Ahmad
telan liur kala lihat darah merah membasahi bahagian rusuk tubuh perempuan yang
terbaring didepan mereka. Wajah yang tidak kelihatan dek ditubuh sebahagian
tudung yang terselak ke atas. Kepala Ahmad menoleh ke arah Fazwan yang turut
menyangkung disebelah.
“Macam
kena tikam perempuan ni,boss. Kena rompak agaknya perempuan ni. Tak pun kena
ragut. Allah. Syaitan betul manusia sekarang. Sanggup sampai nak membunuh
orang.”
Fazwan
lafaz istighfar. Siapa yang sanggup buat begini pada perempuan yang tidak
berdaya ini. Dia pasti pergelutan berlaku, kalau tidak rasanya tak mungkin
perempuan yang terbaring cedera ini dicederakan sampai begini. Tubuh yang berkurung
kuning cair dan bertudung hitam yang terbaring disentuh. Jari diletakkan di
bawah hidung. Masih bernafas! Alhamdulillah. Tudung yang terselak menutup wajah
perempuan yang terbaring didepannya Fazwan tolak ke bawah. Perlahan-lahan. Dan
wajah yang terbentang didepan matanya saat ini benar-benar buat jantung dan
nafasnya terhenti serentak. Aida!
Fazwan
pantas tarik nia yang terikat di leher lalu dililit dan diikat kemas dirusuk
Aida. Fazwan cempung tubuh kurus Aida. Langkah deras dibawa ke BMW putih
dibelakang.Ahmad sudah laju mendahului. Pintu penumpang belakang dibuka Ahmad.
Fazwan letak tubuh Aida yang sebahagian kurung kuningnya dibasahi warna merah
perlahan-lahan. Penuh berhati-hati. Tubuh Fazwan kemudian melolos masuk. Pintu
ditarik.
“Cepat Mat
kita ke hospital.”
“Baik,
boss.” Enjin BMW laju membelah jalan. Menderu pantas.
Tangan menekan iPhone. Nama Rina dicari.
“Rina, I’m
on emergency now and on my way to the hospital. Get Razman and Farid to take
over the meeting. I’ll try to update you later on my status ok. Thanks, Rina.”
iPhone digenggam. Fazwan hala mata ke tubuh yang terbaring disisi. Kepala Aida
yang terletak diribanya ditatap. Wajah
mulus yang seakan nyenyak tidur terus direnung. Bibir dikemam.
Bertahan,
Aida. Please.
Be strong, Aida.
Be strong
my dear!
4 comments:
Adakah razman itu org yg sama yang telah menghancurkan hidup aida ekkk kucc? Huhuhuhuhu makin menarik ni, berdebar pula and excited nak tahu cerita selanjutnya \^_^/
kesian kat aida...
wah fazwan dah mula ada hati dalam taman...hehehe
razman...hmmm...adakah orang yang pernah mempermainkan aida....harap2 bukanlah....
entry yg ditunggu sudah tiba..FA jadi knight in shining armour aida :)
Sian penuh aida, macam2 jadi pada dia, hope setelah ni mendung perlahan2 berarak pergi, berganti cerah mentari yg menerangi, aiseh, hehe
Post a Comment