Monday, January 14, 2013

Lafaz Cinta Di Jari Manis - Bab 17

 Bab 17

Khalish jeda sesaat usai melantun segaris nama yang sekian lama berakar umbi dijiwa. Raut keanak-anakkan yang bertudung rona merah jambu berlapis warna biru muda direnung tunak. Asyik. Kerongsang bujur yang cantik terletak ditengah tudung memancar sinar tepat ke retina Khalish. Soalan Qistina terus berlegar-legar membelah angkasa fikiran. Segala yang terjadi dahulu bagai berulangtayang di layar pancaindera. Ya, dahulu dia tidak memberi peluang yang seadilnya kepada Qistina. Dan kemuncak kepada kebodohannya yang membuta tuli bila Khalish sengaja tidak muncul di hari pernikahan mereka demi amarah keanak-anakkan yang paling dangkal pernah tercetus di fikirannya ketika itu. Entah syaitan mana merasuk hingga dia tega menjatuh hukum dan melontar aib sebesar gunung kepada sang kekasih yang terlalu tulus hati dan jiwanya ini. Sesalannya tidak pernah padam dari dahulu bila semuanya terbongkar. Terlambat bila Qistina sudah jauh membawa langkah tanpa sebarang ucapan. 

Dan sekarang Khalish sedar peluang yang dinanti sejak sekian lama...sejak bertahun sudah terbentang...terhampar didepan mata. Dua pasang mata bertembung. Qistina dilihat tenang melontar pandang. Segala pendaman rasa yang bergumpal dijiwa selama bertahun-tahun ini bagai meronta-ronta minta dilepaskan. Menolak-nolak dinding jendela kata-kata yang selama ini dikunci daripada dikalamkan kepada sesiapa. Segala gunung kecaman dan sungai amuk amarah ditelan. Pahitnya hanya sendiri yang merasai. Tidak pernah sezarah mahu dilontar balas. Salah sendiri itulah penangan yang paling layak. Nyawanya sahaja yang tidak pernah diminta sebagai balasan walau rela diberikan kalau itu nilai sebuah ampun. Terlalu besar dosanya pada Qistina. Meragui kejujuran bakal isteri sendiri adalah dosa paling jijik yang pernah dipalitkan kepada gadis dihadapannya ini. Dan menjatuhkan hukuman ke atas Qistina di malam mereka dijadualkan bersatu didalam ikatan yang direstui dengan lafaz ijabkabul tanpa memikirkan kesannya adalah sebesar-besar dosa yang tak mungkin akan diampunkan Qistina. Pinggan kaca rib eye ditolak ke tengah. Tubuh disandarkan pada bangku kayu. Aliran adrenalin memercik laju. Picu degup jantung kian memacu.

"i tahu dosa i pada you dahulu takkan terampun, Qis."

Qistina telan kalam.

"i tau khilaf i pada you aibnya bukan calang, Qis."

Ulas delima Qistina terus terkunci. Menanti luahan seterusnya.

"maafkan i, Qis. Ampunkan i."

Khal..Khal. Gelengan perlahan terpamer.

"ampunkan i kerana berlaku kejam dimalam pernikahan kita, Qis. I tak patut ikut rasa..i tak patut ikut hati. I kejam pada you, Qis. I tak muncul kerana amarah dan ego syaitan yang beraja di jiwa i. I buat keputusan bodoh kerana hati i ditakluk iblis yang melontar dendam. I malu dengan kebodohan i selama ini, Qis. I tahu i tak layak mohon maaf dan ampun pada you. I lelaki kejam."

Qistina telan aliran nafas. Sesak. Ditundukkan wajah memandang ke lapis kayu kayu yang membentuk lantai meja. Gerak sepasang bebola bundar jatuh pada bongkah-bongkah kentang yang terbongkang di lantai kaca dihadapan Khalish. Tunak ditatap. Bongkah-bongkah itu ibarat bata yang pernah menghempap lantai jiwanya dahulu. Sakitnya tidak terperi. Bibir diketap. Tapi dia sedar, segala yang terjadi dahulu bersebab. Tuhan mahu memberi peluang buat Qistina lebih mengenali sisi kurang enak seorang Khalish Ariq yang terlalu diagungkan selama ini. Tuhan mahu membuka mata Qistina yang selama ini ditutup dengan taksub cinta pada Khalish. Cinta sesama manusia itu tidak pernah sempurna. Mana mungkin melebihi cinta kepada sang Pencipta dan rasulnya. Qistina akur. Tiap yang tersurat  dalam kancah perjalanan hidup ada hikmah tersembunyi. Dia juga khilaf.

Mata perlahan diangkat. Kembali menjelajah sisi tampan raut bujur sirih setentang. "i dah maafkan you, Khal. Lama dah i maafkan. I tak pernah dendam pada you biar sezarah..walaupun." Qistina hembus nafas. Mata saling memandang " you pernah hancurkan hati i tanpa belas kasihan. I.." Jeda. Bibir dikemam. Denyut rasa bagai direntap. "anggap kita tak ada jodoh. Mungkin kita belum bersedia untuk saling percaya. Allah maha mengetahui apa yang terbaik buat you dan i. Kepercayaan itu kunci segala-galanya, Khal." Mata dipejam sesaat. Ya, segalanya berpunca dari kata keramat itu. Percaya.

Khalish laju memecut gelengan tidak setuju. "Tolong jangan kata kita tak ada jodoh , Qis. Tolong jangan. Ma..maafkan i, Qis. I tahu walau sejuta ampun dan maaf yang i pohon daripada you tetap takkan dapat kembalikan maruah you yang i injak, aib yang i palitkan. I bersalah hukum you sekejam itu. I bersalah biar you tanggung segala-galanya sendiri. Kalaulah..kalaulah i mampu undur masa,Qis..."

"sudahlah, Khal. Yang dah lepas takkan dapat dikembalikan pada asal. Yang dah terjadi tetap dah terjadi. Setiap kita tak sempurna." 

Khalish angguk. Akur. Memang dia yang bersalah. Memang dia yang mencemar rasa percaya itu. Dan kerana itu, dia sudah menerima hukuman. Jika selama ini ego dizahir demi enggan menidakkan dosa sendiri, jauh di lubuk jiwa, perasaannya berat terhukum. Tenteram  dan bahagia tidak pernah mahu bertamu di ruang hidup selama Qistina pergi. Hatinya mati saat dikhabar Qistina sudah terbang ke tanah ratu membuka lembar hidup baharu disana. Sikap dinginnya kepada semua sekadar topeng yang hanya terbuka rahsianya dimalam hari. Setiap malam dia menangis. Menangisi kehilangan Qistina. Setiap malam dia duduk memohon agar Qistina kembali kepangkuan. Dia ingin menebus semuanya kembali. 

"kalaulah you tau apa yang i alami selama you pergi,Qis...kalaulah you tau apa yang ada dalam hati i ini, Qis.."

"you tak pernah beri peluang pada i Khal untuk tahu apa yang ada dalam hati you selama ini."

Khalish teguk liur lagi. Jadam itu tetap bertamu di rongga. Enggan melangkah. Qistina benar. Dia yang tidak mahu berterus-terang selama ini. Kalaulah dia tahu segala-galanya akan berakhir begini...

"kejadian malam tu..." Khalish lontar renung. Mata bundar Qistina dilihat diam tanpa bicara. Segala yang terlipat dahulu kini terburai kembali. Khalish hela nafas dalam. Sesal. Malu. Semuanya. "Joe dan Kamal dah cerita semua didepan ayah you..didepan i..didepan semua." Dilepas segaris nafas. " i yang khilaf, Qis. Dan you..mangsa khilaf bodoh i. I tahu i tak sewajarnya bertumbuk dengan Joe. I..i terlalu mengikut rasa malam itu."

Qistina kemam bibir. Nafas bagai tersangkut di salur kerongkong.  Ibu jari dan jari telunjuk melurut pangkal hidung. Igau dahulu kembali menyelak layar.

"Sebenarnya i ikut you malam tu, Qis. I tau tak sepatutnya buat macam tu. Tapi i gagal kawal diri i. I tak mampu, Qis. Maafkan i."

Qistina geleng kepala terus. Terkesima dengan pengakuan Khalish.

"i tak sangka you ikut i malam tu,Khal. You ikut i sebab Joe ada atas kapal malam tu. Kan? You tak percayakan i rupanya. You ragu dengan janji setia i sejak kita lafaz ikrar dahulu. Sia-sia i junjung segala kasih sayang dan cinta i pada you selama ini. You tahu kan i pergi malam itu atas tuntutan tugas. I pergi kerana itu memang tugas i, Khal. I ingatkan selama ini you faham i...faham kerja i. Tapi i silap rupanya."

Bebola mata Khalish terpanar. Bibir terpasung. Kata-kata tersekat. Renungan Qistina buat Khalish akur. Memang benar semuanya segala bilah kata-kata yang dihumban Qistina. 

"i minta maaf, Qis. I minta maaf. I tak patut curiga pada you."

Qistina geleng kepala lagi. Ruang fikiran terasa kosong. 

"I tak sangka you curiga pada i sampai begitu sekali. Curiga pada tunang you sendiri. I tak tau apa yang berlaku lepas letupan dalam kapal malam tu tapi Joe dan Kamal dah cerita semuanya. Sampai hati you, Khal.  Kenapa sampai begini fikiran buruk you pada Joe. Kalau bukan sebab Joe, i mungkin dah mati lemas. Joe pertaruhkan nyawa dia demi selamatkan i, Khal. Selamatkan perempuan yang malam itu bergelar tunangan you...bakal isteri you. Joe kan kawan baik i. Cuma kawan baik i, Khal. Tak lebih dari itu. Sayang i pada Joe, pada Kamal dan pada semua teman setugas i tak sama dengan sayang i pada you, Khal. Seharusnya you tau apa yang tertulis dihati i. "Alur nafas bergerak-gerak deras. Bersedia memuntahkan kalam seterusnya. Qistina ketap bibir. Genang di kolam kian membuak. Mata bulat indah dihadapan direnung. Peristiwa silam melambai diruang fikiran. 

"i kecewa dengan you,Khal. Kecewa sangat."

Jeda. 

Wajah Qistina berawan pilu. Khalish maki diri dalam diam. 

"I tau siapa i, Khal. I tau status i. I ingat pesan ayah i." Kepala digeleng. "i tak pernah lupa siapa Annur Qistina kepada Khalish Ariq. I tau i tunang orang, Khal. I tau i tunang you. I tak lupa tu. Tak..i tak lupa."

"Qis.."

"Kenapa, Khal? Kenapa? Apa yang buat you sampai bertindak macam tuh. Cakap dengan i, Khal. Apa salah i pada you, Khal? Kenapa buat i begini Khal?"

Khalish raup wajah. Hembusan nafas bertempiran. Libang libur.  Biar dihamburkan segala-galanya malam ini. Biar dilepaskan semuanya yang sekian lama bersarang di pundak. Biar Qistina tahu. Biar Qistina mengerti hati dan jiwa seorang Khalish yang terlalu dalam cintanya pada Annur Qistina.

 "sebab i terlalu sayangkan you, Qis. Sebab i terlalu cintakan you, Qis. I tak sanggup tengok you dan Joe selalu bersama. Hati i sakit. Teramat sakit. I tahu sejak dahulu dia sukakan you..cintakan you. I tak sanggup hilang you. I tak sanggup lihat you dirampas Joe, Qis. I benci tiap kali tengok you dengan Joe. I marah tiap kali tengok you ketawa dengan Joe."

Qistina raup wajah.  Bait-bait kalam Khalish merengut naluri. Khal..Khal. Qis cuma cinta Khal seorang sahaja dulu. Cuma Khal..

"Joe cuma kawan baik i, Khal. Rakan sekerja i. Tiada sekelumit cinta dalam hati i untuk Joe."

Khalish angguk. Memang dia yang terburu-buru. Memang dahulu dia yang gagal memahami cinta Qistina. 

" I tau i tak sepatutnya ada perasaan begitu dahulu Qis. I dah sedar. I terlalu ikut rasa..i terlalu ikut hati. Tapi fahamlah Qis...i sayang you sangat-sangat, Qis.  Segala-gala yang i lakukan semuanya kerana rasa cinta dan sayang i pada you yang tak terhitung. I takkan biar bahagia itu nanti dirampas Joe. Dia terlalu sukakan you, Qis. Teramat cintakan you. I lelaki Qis. I faham bahasa Joe. Tiap renung..tiap tatap dan tiap tingkah bicara dia pada you i faham maksud tersiratnya. You masih ada dihati dia,Qis. Masih terus bertakhta. Dan semua itu lah yang terlalu amat menakutkan i." Khalish hembus nafas kesekian kalinya.

Qistina bawa tapak tangan ke mulut. Segala-galanya sudah dilepaskan lelaki dihadapannya ini. Semuanya sudah dibongkarkan. Semuanya sudah disingkap. Bibir dikemam. Denyut jantung deras. Sepasang bebola bulat bercahaya yang sekian lama utuh bersemayam dijiwa perempuannya ditatap.  Empangan rasa hangat.

"i tak sanggup hilang wanita  yang i paling cinta di dunia ini..i tak sanggup, Qis. Atas nama Dia yang maha segala-galanya..hanya ada satu nama perempuan sahaja yang kekal bertakhta dan tertinta dihati i sejak dahulu dan akan kekal hingga akhir hayat i..." Mata bundar Qistina yang sudah pecah empangannya ditatap. 

"hanya nama you sahaja yang tertulis di sini Qis.." Telunjuk ditekan pada dada. 

"hanya nama Annur Qistina yang kekal disini hingga hujung nafas i. Hanya dia satu-satunya perempuan yang paling i cinta dan kasih didunia ini. Hanya dia. Hanya Annur Qistina."

Qistina tersandar. Belahan nafas meluncur laju. Untuk kesekian kalinya, dua bebola mata milik Khalish Ariq dan Annur Qistina terus menjunam renungan. Tatapan tak berkelip. Tunak. Jiwa terpasung. Takzim. 

Malam di Toowomba kian hangat. 

8 comments:

Zalida said...

itulah....kerana pulut santan binasa, kerana mulut....binasalah cinta. :)-

Atty Ismail said...

Khal...oh Khal...mmg bodoh mcm kayu...Atty yg baca pon rasa nak bg si Khal ni mkn KASUT 1 x....Sengal sungguh!!!!!!

Anonymous said...

kesian kal . kesian jo . kesian qis T__T

Anonymous said...

Qis....jgn terima Khal...
maybe in future Khal akan buat perkara yg sama kt Qis...create new hero...ok

Kak Sue said...

ni nama cemburu x buta tapi tuan punya dia yang buta mata dan buta hati.... mungkin ni satu pengajaran buat Khai supaya berhati-hati bila berkata-kata dan melihat hanya bukan dengan mata sahaja tapi mata hati juga penting....

Unknown said...

Cemburu tahap kronik memang payah ... kalau pun Qis balik pada Khal, cemburu tu tetap akan ada. . manusiakan mudah lupa, kemungkinan2 Qis akan sakit hati memang tinggi, lebih baik pilih Joe sebab Qis ada hutang nyawa dengan Joe.... hmmmm ;-)

Anonymous said...

X NK JOE...NK KHAL JE!!!hehe...cik writer tlg kekalkn hbngn diaorang,please....

Anonymous said...

xnak joe . biarlh qis dgn khal . takkan qis nak terima joe hnya kerana bhutang nyawa dan kasihan dgn joe . xsyok lh

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...