Wednesday, November 16, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 9


Bab 9


"perjanjian untuk berkahwin atau lazimnya disebut sebagai pertunangan dalam budaya masyarakat melayu bukan satu kontrak perkahwinan. Pertunangan tidak menghalalkan perhubungan intim antara lelaki dan wanita. Jelas kan."

Sorotan sepasang bebola mata Wazif tepat ditujukan pada susuk tubuh berkurung merah jambu dengan rambut keperang-perangan mencecah bahu yang takzim duduk dihadapan. Fail gadis dihadapannya ini sudah diserahkan kelmarin oleh kak Rohana; setiausaha walid. Kata kak Rohana dia diarahkan walid supaya menyerahkan kes gadis ini untuk dikendalikan oleh Wazif. Kata kak Rohana lagi, gadis ini dikategorikan sebagai penerima bantuan CSR (Corporate Social Responsibility) oleh biro bantuan guaman dan Tetuan Hanafiah & Co yang terlibat didalam aktiviti CSR biro diminta untuk membantu gadis ini. Kesibukkan dirinya berulang alik ke JAKESS (Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor) disebabkan kes pelanggan membuatkan dia tidak sempat meneliti latar belakang gadis ini walaupun dia tahu dia perlu mengetahuinya demi kelangsungan kes yang bakal dikendalikan. Hanya fakta berkenaan kes gadis ini sahaja yang diteliti semalam sebelum berjumpanya hari ini. Akan diteliti maklumat peribadi gadis ini kemudian nanti selepas selesai sesi pertama perjumpaan mereka hari ini. Wazif mahu memastikan tanggungjawab sosial yang terjunjung di pundak Tetuan Hanafiah & Co dilaksanakan dengan cemerlang. Nasib gadis ini harus dibela namun sebelum itu dia harus disedarkan tentang kesalahan yang telah dilakukan.

Menurut catatan fail, gadis ini mahu menyaman dan menuntut gantirugi terhadap bekas tunangannya atas keingkarannya memenuhi janji untuk berkahwin dengannnya. Kes tuntutan gantirugi mungkir janji perkahwinan memang biasa dikendalikan namun kes gadis ini sedikit berbeza. Kedua-duanya sudah terlanjur. Dan bekas tunangan gadis ini pastinya akan menggunakan perkara ini sebagai senjata utama untuk memastikan tindakannya memutuskan pertunangan tidak dilihat sebagai satu kesalahan. Gadis ini akan dianggap gagal untuk mempertahankan kehormatan dirinya sebelum mereka berkahwin. Ada rasa kesal dan kecewa yang bertandang di hati lelakinya. Namun tugas yang tergalas di bahu akan dilaksanakan sebaiknya. Akan dilakukan demi tanggungjawab yang sedang berada didepannya saat ini.

"sewajarnya cik Azlinda tahu dan faham hukum. Pasangan yang bertunang masih lagi perlu menjaga adab dan aurat apabila bersama. Hukum syarak tidak menghalalkan perhubungan semata-mata atas dasar pertunangan. Tanggapan bahawa selepas bertunang, pasangan itu boleh ke mana sahaja dan melakukan perkara tertentu sebenarnya tidak mempunyai asas di dalam hukum syarak dan ia suatu dosa. Oleh itu pasangan kekasih yang berdua-duaan walaupun sudah bertunang sebenarnya melakukan maksiat dan dimurkai Allah. Dan itu yang terjadi pada cik Azlinda dan tunangan, bukan? Bila terjadi begini, perempuan juga yang perlu menanggung akibatnya."


Wajah itu yang tadi tunduk penuh takzim mengangkat raut wajah bujur sirihnya perlahan-lahan. Mata mereka saling bertatapan. Gadis dihadapannya ini dilihat Wazif bagaikan sedang mengumpul kekuatan untuk bersuara. Bibirnya bergerak-gerak, seakan-akan mahu menyatakan sesuatu. Matanya berkaca-kaca. Wazif terus berbicara.

"Hikmah pertunangan adalah jelas iaitu bagi menjaga keharmonian masyarakat agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini yakni pergaulan yang bebas yang mungkin akan menjerumuskan pasangan ke arah dunia kemaksiatan. Namun sekarang ini yang nyata, ikatan ini disalahgunakan malahan digunakan sebagai tiket untuk lebih bebas bergaul tanpa sekatan. Alasan pasangan selalunya mereka akan kahwin juga nanti dan inilah adalah tempoh untuk mereka berdua saling mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam. Bila batasan yang digariskan agama itu diingkari dan dicabuli maka musibah yang akan diperoleh. Saya minta maaf jika kata-kata saya ini mengguris perasaan cik Azlinda tetapi ini tanggungjawab saya untuk menyatakannya kepada cik Azlinda. Khilaf yang dilakukan harus disedarkan. Bertaubatlah. Bertaubat dengan penuh suci hati,insyaallah. Dia maha melihat dan maha mengetahui segala apa yang terjadi. Banyakkan berdoa dan meminta ampun dari-Nya."

Kepala berselendang rona sedondon dengan kurung yang tersarung di tubuh mengangguk perlahan. Jari-jemari menyeka titis-titis manik jernih yang turun ke lembah kedua-dua pipi.

"saya tahu saya bersalah. Saya terlalu ikutkan hati. Saya memang bodoh. Saya memang buta. Saya terlalu sayangkan dia,tapi...dia dah berjanji akan bertanggungjawab atas perbuatan kami. Sa...saya tak sangka dia ambil keputusan ini. Saya malu, encik Wazif. Keluarga saya juga. Mereka tak tahu macam mana nak berhadapan dengan orang-orang kampung. Lagi seminggu majlis kahwin kami. Sampai hati dia buat saya dan keluarga saya macam ni. Ayah saya orang terhormat di kampung. Ayah sampai jatuh sakit. Terkejut dengan tindakan tunang saya dan keluarganya. Dia juga turut bersalah di dalam perkara ini. Dia yang mendesak saya...memujuk rayu. Dia langsung tak berbincang dengan saya tentang perkara ini. Tahu tahu keluarga dia datang minggu lepas dan putuskan pertunangan kami. Langsung tak beritahu sebab apa. Mudahnya keluarga dia cakap dah tak da jodoh. Nak letak kat mana muka kami sekeluarga. Maruah saya yang tergadai ini macammana. Haa, cakap macammana. Lelaki semuanya sama. Dasar jantan buaya..jantan sial! Saya sumpah hidup dia akan huru-hara kerana aniaya saya dan keluarga macam ni. "

Wazif menghela nafas dalam dalam.

"sabar dan cuba bertenang cik Azlinda. Istighfar banyak-banyak."

"sabar macammana lagi, encik Wazif. Hidup saya dah musnah. Maruah keluarga saya dah tercemar. Lebih baik saya mati sahaja. Habis cerita. Saya dah tak sanggup nak tanggung aib ni. saya malu!.. malu!" Tangisan dari raut bujur sirih dihadapannya ini terburai. Wazif jeda. Membiarkan pelanggannya ini menghamburkan segala sedih pilu semahunya. Itu lebih baik. Jika disimpan ia akan lebih parah.

Jeda.

"Azlinda, jangan putus harap dengan rahmat Allah. Saya ada disini untuk bantu. Saya akan cuba bantu cik Azlinda sedaya saya, insyaallah. Dunia ini bukan sekadar hitam dan putih sahaja. Dunia ini juga ada merah, hijau, biru, kuning, jingga dan sebagainya. Pandanglah dunia dengan minda yang lebih luas."

"dia mesti menang encik Wazif. saya tahu dia mesti menang. Dia mesti akan salahkan saya nanti."

Wazif geleng kepala.

"dengar sini cik Azlinda.." mata mereka berlaga.

"agama islam yang kita anuti ini ada undang-undang syariah yang menggariskan perlindungan pada orang-orang yang teraniaya. Allah itu maha adil dan saksama." Wazif merenung wajah lencun dihadapannya. Esakannya sudah usai. Disambung bicara lagi. "saya mahu memberitahu kedudukan kes cik Azlinda ini dari sudut syariah dan perundangan. Harap cik Azlinda dengar dengan teliti. Boleh bertanya saya jika kurang jelas, ok?"

Azlinda dilihat mengangguk tanda faham.

"Apabila suatu perjanjian dibuat maka kedua belah pihak adalah terikat dengan perjanjian itu. Memungkiri perjanjian itu akan mengakibatkan pihak yang satu lagi itu akan menanggung kerugian dan sebagainya. Mengikut Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, jika seseorang mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian itu boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah. Seksyen 15 ini bermakna sekiranya satu daripada pihak mungkir untuk berkahwin selepas suatu perjanjian yang sah dibuat tanpa sebab yang dibenarkan syarak sedangkan pihak yang satu lagi itu bersedia untuk berkahwin dengannya maka pihak yang mungkir itu perlu;

a) Memulangkan segala hantaran yang diterimanya daripada pihak yang satu lagi ataupun jika tidak dapat memulangkannya maka perlu membayar dengan wang yang senilai dengan hantaran yang diberikan itu;
b) Menanggung perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak yang bersedia untuk berkahwin itu di dalam membuat persediaan bagi perkahwinan itu.

Kedua-dua perkara di atas hendaklah ditanggung oleh pihak yang mungkir kepada perkahwinan itu dan sekiranya ia enggan membayarnya maka pihak yang bersedia untuk berkahwin itu boleh menuntut remedi atau gantirugi itu di Mahkamah Syariah melalui seksyen 15 Akta yang disebut di atas. Bagaimanapun, jika pihak yang memutuskan pertunangan itu mempunyai sebab yang sah dan diiktiraf hukum syarak, maka pihak yang memutuskan pertunangan itu tidak perlu memenuhi kedua-dua keperluan yang diperuntukkan di dalam seksyen 15. Saya perlu jelaskan pada cik Azlinda bahawa seksyen 15 di atas tidak memberi peruntukan secara spesifik untuk menuntut ganti rugi atas perasaan malu pihak yang dimungkiri untuk dikahwin itu. Seksyen 15 hanya mengehadkan kepada dua perkara yang dinyatakan di atas saja. Oleh itu, persoalan sama ada boleh menuntut ganti rugi itu ataupun sebaliknya dan mahkamah manakah yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar persoalan sedemikian akan saya jelaskan kemudian. Faham setakat ini, cik Azlinda?"

Kepala dihadapannya mengangguk perlahan. "ok, saya teruskan."

"Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) tidak mempunyai peruntukan mengenai penggunaan hukum syarak seperti dalam sembilan negeri lain di Malaysia. Peruntukan mengenai penggunaan hukum syarak membawa maksud bahawa mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan yang tidak selaras dengan hukum syarak adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu dan jika ada lakonan atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata di dalam akta, mahkamah hendaklah memakai hukum syarak. Peruntukan sebegini boleh memberi kesan bahawa tuntutan ganti rugi kemungkiran perkahwinan boleh dituntut di Mahkamah Syariah dengan syarat ia boleh dibuktikan tidak berlawanan dengan hukum syarak walaupun tiada peruntukan spesifik mengenainya.
Pihak yang menuntut di Mahkamah Syariah itu hendaklah meyakinkan Mahkamah Syariah bahawa tuntutannya itu tidak tersasar dari apa yang digariskan di dalam hukum syarak sebelum mahkamah boleh memberikan perintah pihak yang mungkir itu membayar ganti rugi akibat perasaan malu yang ditanggungnya selepas diputuskan pertunangan tanpa sebab yang sah.
Namun, beban pembuktian diletakkan kepada pihak yang menuntut bagi membuktikan bahawa ia tidak berlawanan dengan hukum syarak. Jadi, mahkamah yang berhak membicarakan tuntutan sebegini adalah Mahkamah Syariah seperti yang termaktub di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang menjelaskan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar perkara berhubung pertunangan, perkahwinan dan sebagainya. Jelas sekarang dimana kedudukan kes cik Azlinda ini?"



Wazif tatap wajah rusuh Azlinda yang mengangguk. Wazif terus menyambung bicara.

"cik Azlinda bersedia untuk membuka cerita aib tentang keterlanjuran awak dan bekas tunang awak secara terperinci di mahkamah nanti. Mungkin ini sahaja satu-satunya cara untuk kita memastikan dia tidak terlepas dari tanggungjawab ini terhadap cik Azlinda."

Azlinda dilihat memejamkan mata seketika.

"saya dah hilang segalanya yang bernilai dalam diri akibat terpedaya oleh rayuan dan pujukan juga janji-janji manis yang ditabur oleh dia, encik Wazif. Saya tak akan membiarkan dia terlepas begitu sahaja. Saya mahu pastikan dia juga harus menerima balasan atas perbuatannya terhadap saya. Saya ada simpan semua bukti resit dan rakaman yang kami buat. Malu yang terpalit ini harus dikongsi bersama. Dia harus bertanggungjawab atas apa yang telah dia lakukan terhadap saya. Saya harap encik Wazif dapat membantu saya menuntut hak saya yang dirampas dan dicemar oleh dia. Saya mahu dia tahu saya bukan perempuan yang boleh dia buat sewenang-wenangnya."

Wazif angguk kepala. Dihela nafas perlahan. Ada rasa sesal yang tersangkut di dinding hati.

"ok, saya akan proceed dengan kes tuntutan gantirugi cik Azlinda ini. Kita sama-sama berdoa pada-Nya moga kerja kita ini dipermudahkan dan diberkati,insyaallah. Saya akan lakukan yang terbaik untuk membantu cik Azlinda didalam kes ini. Saya mahu dalam tempoh ini, cik Azlinda jangan sesekali memberi sebarang kenyataan kepada pihak bekas tunangan cik Azlinda mahupun pihak peguam yang bakal dilantik olehnya. Mereka hanya boleh berurusan dengan saya sahaja. Jelas dan faham, cik Azlinda?"

Gadis dihadapan mengangguk laju. Ada bunga senyum yang tersingkap disebalik wajah rusuh ini.

* * * * * * *

"zif?"

Ada elusan lembut yang menjalar di lengan. Dipicing mata perlahan-lahan. Sekuntum senyuman manis umi sedang terhidang didepan mata. Perlahan-lahan tubuh letih yang terbaring di sofa di ruang tamu ditegakkan. Disandarkan kepala pada leher sofa. Umi dilihat melabuhkan duduk disebelah. Dijatuhkan kepala pada bahu yang berbalut kurung indah tanah biru dengan percikan bunga bunga kecil berwarna putih yang menghiasi permukaannya. Selendang biru lembut yang terletak digayakan bersama tampak cukup serasi dan indah di mata.

"penat sangat ke? banyak kerja di pejabat tadi?" Elusan tangan lembut umi terus membelai lengan sasanya. Dibiarkan sahaja. Sedikit lega dengan sentuhan penuh kasih dan sayang umi.

Kepala menggeleng lembut."biasa je, umi."

"walid cakap zif ada handle kes dari biro bantuan guaman. Kes apa tu?"

Kepala mengangguk. "kes tuntutan mungkir janji perkahwinan,umi."

Giliran umi menganggukkan kepala.

"Senang-senang saja buat macam ni. Tak ingat keluarga ke diaorang ni. Malu mak bapak. Malu seluruh keluarga. Hairan umi kadang-kadang dengan kes -kes macam ni. Orang-orang muda sekarang macam nilah. Tak fikir panjang. Zif janganlah buat macam ni pada umi dan walid. Kalau Zif buat, umi ikat zif kat pokok nanti." Ketawa Wazif pecah. Puan Zahra menampar lembut tangan Wazif. Kepala yang terlentuk dibahu ditegakkan.

"haa, ketawa lah. Awak ingat umi tak berani ye ikat awak kat pokok." Ketawa Wazif terus bersambung bersulam dengan jelingan kecil Puan Zahra.

"Pasal apa yang sampai tak jadi kahwin? Siapa yang putuskan? Lelaki ke perempuan? Ada involvement pihak ketiga ke?"

Bicara umi yang bertubi-tubi disulam percikan bunga-bunga emosi membuatkan bibir Wazif terus menguntum senyum.

"salah kedua-duanya."

Dahi umi dilihat berkerut sedikit. "maksudnya?"

Wazif hela nafas. Wajah Azlinda terlayar diruang mata.

"dua-dua dah terlanjur...melakukan hubungan terlarang."

Puan Zahra menggelengkan kepala dengan lafaz istighfar meniti di bibir.

Wazif menoleh kembali memandang ke arah umi.

"Dari tadi zif nak tanya...umi nak kemana cantik-cantik ni."

Senyuman manis terukir di bibir umi.

"umi ada dinner date."

"dengan walid?"

Kepala umi dilihat menggeleng lagi. Makin mekar dilihat senyuman pada bibir itu. Ada akal yang sedang melintas difikiran. Wazif tersenyum. Wajah umi ditatap.

"umi dinner date dengan boyfriend lama ye. Tan Sri handsome yang masih bachelor lagi tu kan. Tan Sri yang frust menonggeng sebab tak dapat kahwin dengan umi."

Ketawa umi pecah. Bersambung-sambung. Wazif turut ketawa. Saling bersaing ketawa kedua-duanya.

Khali sejenak.

"umi dinner date dengan kawan baru umi lah sayang."

Dahi Wazif sedikit berkerut. "kawan baru? siapa umi.."

Senyuman di bibir Puan Zahra terus mekar. Lengan Wazif ditepuk perlahan. Tubuh yang tersandar di sofa ditegakkan. Wajah anak tunggalnya disebelah direnung lembut penuh kasih.

"satu hari nanti bila masanya tiba, umi kenalkan Zif dengan kawan baru umi yang sangat istimewa ni, hmmm. Tunggu ok."

Ada teka-teki yang sedang menjalar di minda Wazif. Hati bagai berkata teka-teki yang tiada pembayang pasti sukar untuk dicari jawapannya. Wazif pasti ada sesuatu yang cuba disembunyikan umi daripada pengetahuannya. Renungan dan senyuman umi bagai menyimpan sesuatu.

4 comments:

My said...

Tq ya Kucc 4 d n3...
untung Wazif dpt Umi yg sgt baik ni kan...:)

cactaceous opuntia said...

heheh...amboi mk si wazif...dok berahsia lg ngn wazif...kalau wazif tw kwn bru umi die tu sapa xtw la ape reaksi die kn...huu

Ad_dEen said...

hah...da marathon dari prolog sampai bab 9..
memang good job writer..
karya anda tak pernah mengecewakan..
sedih..sayu...
teruja pun ada membacanya...

sue said...

Best... banyak yang boleh kita pelajari dari semua cerita kucc...
tq

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...