Monday, November 14, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 8


Bab 8


"Auntie Zahra?" Diri yang tenggelam dalam timbunan kertas-kertas juga fail-fail hitam di atas meja terbangun tiba-tiba. Terkejut dengan kehadiran tetamu yang cukup dikenalinya itu. Malahan sejak tugasan menyiapkan cenderamata untuk hadiah korporat puan Zahra yang mendapat pujian dari penerimanya, hubungan kedua-dua makin rapat. Sering juga puan Zahra datang ke pusat pameran Karyaaneka Kraf menemui Laila. Sebagai pelanggan, puan Zahra dilayan sebaiknya dan dari situ mereka tambah mesra. Sering juga berbual di telefon. Laila sendiri cukup senang dengan peribadi luhur dan merendah diri puan Zahra. Ada kala mereka makan tengahari bersama atau keluar minum petang. Keramahan dan keprihatin puan Zahra terhadap dirinya mengubat rindu Laila pada umi yang sekian lama tidak ditemui. Entah apa khabarnya umi sekarang. Sejak diharamkan walid dari menjejakkan kaki ke kampung, selama itulah juga rindu pada umi dipendamkan. Tidak mampu diluah. Walau adakala jiwanya merintih hiba namun dayanya tidak mampu menggapai hasrat yang sekian lama terpahat kukuh di hati. Laila akur dengan perintah walid. Keputusan dahulu kehendaknya sendiri. Walid dan umi tidak bersalah. Ada rasa sayu yang mula bertandang di pintu hati. Ditelan air liur. Pahitnya menjelajahi seluruh kerongkong. Wajah anggun dihadapan direnung. Cuba dijala senyuman. Dihulurkan tangan.

Senyuman manis Puan Zahra menyambut senyuman manis yang terzahir di wajah Laila. Salam yang dihulur dusambut erat. Tubuh genit Laila tenggelam dalam dakapan wanita separuh usia yang ternyata masih anggun dan punya tarikan. Laila mempersilakan tetamunya itu untuk duduk di kerusi baldu merah hati dihadapan meja. Tangan pantas menyusun serakan dokumen juga fail-fail yang bergelimpangan di atas meja. Sambil itu ditanyakan khabar puan Zahra.

"maaf ye auntie, berselerak meja. Orang gila kerja macam ni laa. Bersepah! " ketawa kecil Laila bersambut dengan ledakan ketawa Puan Zahra. "biasa la tu. Kalau dah namanya meja untuk kerja mestilah berselerak. Auntie dulu dulu pun macam ni...lebih teruk lagi, Laila. Suami auntie pun geleng kepala tengok auntie. " Makin galak ketawa kedua-dua bila persoalan itu dibangkitkan.

Didepakan tubuhnya sedikit kehadapan. Wajah manis Puan Zahra yang santai dengan jeans biru bersama blaus putih yang dipadankan bersama selendang biru abstrak yang terjuntai di kepala ditatap lagi.

"
ada apa-apa yang saya boleh bantu auntie."

"memang auntie datang ni nak minta tolong pada Laila. Bolehkan?"

Kepala mengangguk dengan leretan senyuman manis di bibir yang masih belum usai sejak tadi.

"boleh. Untuk auntie apa-apa pun boleh. Bisa diatur dong!" Kening Puan Zahra terangkat. Pecah ketawa kedua-dua.

"begini Laila..." puan Zahra dilihat menghela nafas perlahan. Senyuman manisnya masih tersuring pada ulas delima yang dihias rona merah samar. Laila terus menunggu bicara diteruskan.

"Auntie ada sorang kawan lama masa belajar dahulu. Dia wanita berbangsa inggeris. Dia ni memang minat seni kraf melayu. Dia nak minta auntie dapatkan koleksi seni tekat melayu untuk dijadikan hiasan di galeri seninya di London yang dibuka awal tahun hadapan. Terus-terang auntie memang tak tahu langsung pasal seni tekat ni. Jadi auntie harap sangat Laila boleh bantu auntie dan kawan auntie. Auntie yakin pengalaman luas Laila berserta pengetahuan Laila dalam bidang kraf ni dapat membantu auntie dalam merealisasikan permintaan teman auntie tu. Boleh kan Laila?"

Kepala diangguk seiring dengan senyuman yang mekar di bibir.

"insyaallah,auntie. Tak jadi masalah."

Puan Zahra meraup wajah.

"alhamdulillah. Lega auntie."

Senyuman Laila terus mekar.

"emmmm...Laila."

"saya, auntie."

"seni tekat tu macammana sebenarnya. Auntie tak tahu sangat. Maaf, tapi kadang auntie rasa malu jugak sebab tak kenal warisan seni kraf bangsa sendiri. Seolah-olah auntie lupa dan rasa benda ni tak penting. Orang luar...bangsa luar yang lebih tahu dan menghargainya berbanding bangsa sendiri. Teruk kan auntie ni Laila. "

Laila menggeleng kepala. Tangan puan Zahra dicapai dan dielus lembut.

"jangan cakap macam tu auntie. Laila dahulu macam tu jugak...tapi bila dah kenal baru tahu betapa indahnya seni warisan yang ditinggalkan generasi lama buat kita. Macam kata orang...tak kenal maka..." Senyuman Laila terpahat diwajah puan Zahra.

"tak cinta." sambung puan Zahra. Senyuman kedua-dua erat bertaut. Laila bangkit dari duduk. "sekejap ye auntie. Saya ambilkan fail. Boleh auntie tengok koleksi dan contoh-contoh hasil tenunan tekat yang Karyaaneka Kraf ada." Rak buku hitam disebelah kiri meja kerja Laila dihampiri. Sebuah fail hitam berlabel "Tenunan Tekat" ditarik. Dibuka dan diselak. Langkah kembali dihala ke meja. Dihulurkan fail ditangan pada puan Zahra. Laila kembali duduk dikerusi. Puan Zahra dilihat tekun menyelak isi fail.

"Masyarakat tradisional melayu dahulu begitu kaya dengan warisan seni halus yang diwarisi sejak zaman berzaman. Warisan yang diperturunkan turun-temurun. Tenunan, sulaman dan tekat umpamanya adalah antara seni halus yang begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kebudayaan. Jika kita teliti pada hasil kerja yang dibuat, kreativiti dan kehalusan seni begitu jelas terpancar dalam setiap hasil kerja tangan tradisional ini." Puan Zahra dilihat menganggukkan kepala. Fail ditangan ditutup dan diletakkan diatas meja. Mata difokuskan pada Laila. Mahu mendengar penjelasan lanjut gadis ayu ini. Gadis ini begitu mengagumkannya.

"Asal usul dan perkembangan tekat secara langsung dikaitkan dengan kegunaan pakaian dan kelengkapan keluarga raja-raja atau istana zaman dahulu. Perkembangan awal seni tekat dapat dikesan pada awal kurun ke-15, iaitu semasa zaman keagungan Sultan Melayu Melaka. Kesan penggunaan sulaman dapat dilihat di kalangan masyarakat Cina yang keturunan Baba Melaka. Mereka menggunakan sulaman tekat untuk pakaian-pakaian mereka. Hingga ke hari ini seni tekat masih dihasilkan oleh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan dan Negeri Sembilan Darul Khusus. Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan negeri yang banyak sekali mengusahakan kraf seni tekat timbul benang emas. Terdapat beberapa jenis tekat yang dikerjakan oleh pandai tukang menekat. Antaranya ialah tekat timbul benang emas, tekat gubah dan tekat perada."

"Untuk pengetahuan auntie, seni tekat termasuk dalam kategori tekstil yang dihasilkan dengan cara menyulam benang emas ke atas kain dasar jenis baldu. Tekat menekat ini juga disebut 'sulaman timbul' atau 'suji timbul'. Asal usul penciptaan dan penggunaan tekstil tekat dianggarkan sama dengan penggunaan tekstil songket berdasarkan kepada bahan asasnya iaitu benang emas, kain baldu dan juga rupabentuk ciptaannya."

"Seperti juga songket, tekat juga ada motif dan rupabentuk untuk kerja tangan yang mahu dihasilkan. Tekat bermotifkan flora, tumbuh-tumbuhan dan geometri. Rupabentuk tekatan terbahagi kepada dua iaitu dua dimensi dan tiga dimensi. Rupabentuk dua dimensi tu contohnya macam tikar, kipas dan penyangkut kelambu, selempang dan tetampan yakni lapik dulang. Rupabentuk tiga dimensi pula seperti tepak sirih, sarung bantal, kusyen, kasut dan tudung saji. Tudung saji dibentuk tiga segi; macam kon berongga. Bahagian yang dihias ialah bahagian luar dari puncak hingga ke tapaknya. Acuannya dibuat daripada daun nipah atau rumbia yang diikat dengan rotan atau buluh."

Puan Zahra menganggukkan kepala. Kagum.

"untuk proses pembuatan,bahan asas penting untuk mencipta tekat ialah benang emas, benang putih dan kain dasar yakni kain dari jenis kain baldu. Di samping itu terdapat juga bahan dari rotan sega, kertas tebal dan kanji/gam yang digunakan untuk mempulur. Penggunaan mempulur ini bertujuan untuk menjadikan bentuk sulaman timbul. Ia juga bertindak sebagai acuan motif."


"rumit jugak ye, Laila." Laila senyum seraya menganggukkan kepala. Bicara diteruskan.

"Proses pertama ialah membentuk empulur. Bentuk motif dilukis di atas beberapa helai kertas yang dilekat tindih antara enam hingga lapan helai. Kemudiannya bentuk motif ini dipotong dan diasingkan. Lebar tiap-tiap batang mempulur kertas dibuat antara 0.5 cm dan 0.25 cm. Mempulur daripada kertas digunakan untuk membentuk motif tumbuhan dengan gaya organik. Corak yang terhasil daripada mempulur rotan sega bercorak banji atau corak kisi-kisi dan corak dangai atau catur. Seterusnya kain dasar yang tebal tetapi lembut daripada jenis baldu yang berbulu halus dan berkilat ditegangkan pada pemidang kayu. Kain baldu yang selalu digunakan daripada warna gelap seperti merah pulasan, merah tua, ungu, hijau tua dan hitam. Pemidang kayu pula ada dua jenis iaitu pemidang berkaki dan tanpa kaki. Ukuran pemidang bergantung kepada rekabentuk yang diingini. Baldu yang ditegangkan pada pemidang disambungkan dengan kain putih yang diikatkan ke bingkai pemidang. Ini akan membuatkan kain baldu tadi akan menjadi tegang." Laila menghela nafas perlahan sebelum meneruskan bicara.


"Selepas itu benang emas akan ditindih dan diikat jahit oleh benang putih melalui jarum yang sedang matanya. Ukuran jarum menentukan ikatan supaya tidak meninggalkan kesan lubang pada kain dasar. Jarum akan dicucuk agak ke dalam dari bawah batang mempulur. Ikatan benang putih mestilah ketat dan kukuh. Setiap kali merentas, benang-benang emas haruslah disusun rapat-rapat supaya batang mempulur tidak kelihatan dari atas. Dengan ini sulaman akan kelihatan lebih teratur dan kemas. Tekatan dibuat sehingga seluruh bentuk mempulur tertutup oleh sulaman. Pada bahagian cantuman benang ataupun pada ruang yang tertinggal kosong ditutup dengan kertas emas atau labuci."

"kalau kita susuri secara lebih mendalam sejarah awal seni tekat ini auntie ia sebenarnya merujuk kepada pakaian dan bahan kelengkapan yang wujud serta berkembang di istana. Alatan yang dihiasi dengan tekat emas merupakan alat istana. Beberapa rupabentuk tekat dicipta digunakan sebagai bahan atau alat seharian, juga pakaian rasmi sultan. Seni tekat telah berkembang kepada masyarakat luar istana dan dilakukan sebagai kraftangan sambilan. Malah kerana kerjanya yang harus berhati-hati dan memakan waktu yang lama untuk menyiapkannya, maka ia dibuat beransur-ansur apabila diperlukan. Misalnya bagi gadis-gadis yang telah bertunang akan menyediakannya sendiri secara berperingkat-peringkat alat-alat perkahwinannya dengan tekat, sebagai hiasan pelamin, sarung bantal, alas tempat tidur, kipas, kasut dan sebagainya. Walaubagaimanapun, fungsi tekat masih terbatas. Ia hanya digunakan untuk istiadat dan upacara tertentu. Ia digunakan sebagai kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan, berkhatam Quran dan seumpamanya. Di kalangan kerabat diraja, tekat merupakan pakaian kebesaran dan hiasan seharian. Penggunaannya di kalangan masyarakat biasa agak terbatas kerana bahan asasnya merupakan bahan mewah. Penciptaannnya juga memerlukan waktu yang lama dan hasilnya yang dekoratif serta indah memerlukan penjagaan yang rapi apabila digunakan. Namun kini Perbadanan Kraftangan cuba mengkomersialkan seni tekat ini dengan mempelbagai rangkaian produknya terutama untuk pasaran pelancongan antarabangsa. Hiasan dinding contohnya paling mendapat sambutan. Agak mahal, namun yang lebih penting nilai warisan budaya yang terhasil pada produk itu yang lebih utama. Bangsa itu bukankah dikenali dari hasil warisan seni tradisionalnya."
Kedua tapak tangan saling didekatkan. Saling menyentuh antara satu sama lain. Tepukan kekaguman dizahirkan. Gadis ayu dihadapannya ini memang istimewa dan cukup hebat. Jiwanya halus dan penuh seni indah. Bukan salah puteranya jika perasaan kagum itu lahir dijiwa. Gadis ini ternyata bukan calang-calang.

"hebatnya Laila. Auntie kagum sekali dengan pengetahuan Laila. Auntie juga bangga dengan Laila....generasi muda yang begitu menghargai seni warisan budaya bangsa melayu."

Senyuman tersuring di bibir mungil Laila.

"Seni itu indah auntie. Sukar diungkap dengan kalam. Tanpa seni, tiadalah budaya. Tanpa budaya maka akan hilang dan lenyaplah sebuah warisan
. Kitalah yang harus memeliharanya."

Kepala puan Zahra terangguk perlahan. Ada rasa segan yang bermukim di lubuk hati.

"ok auntie, jom kita ke kaunter tenunan." Tubuh ditegakkan sambil tangan didepa ke depan. Mempersilakan puan Zahra ke pintu. "Laila boleh tunjukkan contoh-contoh tenunan tekat yang kami ada di pusat pameran ini. Nanti auntie boleh pilih. Laila boleh cadangkan mana yang sesuai untuk galeri kawan auntie tu."Tangan Laila digenggam erat. Kedua-dua susuk tubuh melangkah keluar dari bilik pejabat menuju ke ruang pameran utama.

* * * * * * *

"siapa tadi yang lunch dengan kau?" Laila angkat kening. Anum yang menyenduk nasi ke pinggan hanya menjadi pendengar. Disusun pinggan yang sudah terisi nasi dihadapan Laila dan Ain. Anum melabuhkan duduk. Kedua-dua tapak tangan dirapatkan. Doa dibaca. Laila dan Ain mengaminkan doa.

"kau ada kat Seri Melayu ke tadi?" Laila memandang sekilas ke wajah Ain. Dicapai sudu dalam mangkuk gulai ikan masin sepat dan nenas. Disudukan sekeping potongan ikan masin sepat ke dalam pinggan. Kemudian disudukan sedikit sayur kacang panjang yang digoreng bersama udang kedalam pinggan.

"aku ada lunch dengan client kat situ. Tu yang aku nampak kau." Ain meminta Anum menghulurkan piring berisi ikan bawal goreng. Dipatahkan sekerat ikan berkenan sebelum dihulur semula piring kepada Anum.

"tu client aku jugak. Dia ajak aku lunch kat situ."

"client? tak macam client aku tengok cara dia bercakap dan layan kau. Siap bubuhkan lauk dlam pinggan...pastu suapkan kau lagi. Mesra...macam mak dengan anak je. Client istimewa ke?" Ain angkat kening. Laila senyum. Kenangan makan tengahari tadi terlayar di ruangan mata. Kemesraan puan Zahra mengubat rindu Laila pada umi.

"Memang client lah tapi dia anggap aku macam anak dia. Dia pun memang takde anak perempuan. Ada sorang je anak lelaki. Aku pun suka pada auntie ni. Dia memang baik. Humble orangnya walaupun dia berkedudukan. Selalu juga call aku kat office tanya kabar. Kadang drop by ajak lunch atau high-tea. Entah apa yang menarik pada aku ni yang dia suka sangat sampai anggap aku macam anak dia aku pun tak tahu. " Ain angkat-angkat kening sambil menjala senyum pada Anum yang sudah tersipu. Laila melirik dengan ekor mata melihat aksi kedua-dua rakan serumahnya.

"apahal korang berdua ni...tersenyum-senyum. Aku bukan buat lawak pun." Ketawa Anum pecah. Gagal ditahan. Ain cuba mengawal ledakan ketawa yang sudah mencecah mulut.

"nanti kita makan nasi minyak ye, Num." Ain terus menyusik. Anum sudah menundukkan wajah. Cuba disembunyikan senyuman yang belum usai.

Suapan Laila terhenti. Mata memandang ke arah wajah kedua-dua rakan serumahnya.

"ada port baru ke? best? kat mana, Ain?...eh, nak nak la. Aku pun nak joint korang. Jangan tinggalkan aku pulak. Lama gak aku tak makan nasi minyak ni."

Ain pandang Anum. Saling mengangkat kening. Pecah ketawa kedua-duanya. Laila memandang dengan kerut kehairanan yang jelas terpancar diwajahnya.

* * * * * * *

Laila melepaskan lelah yang tersangkut di dada. Tubuh di bongkokkan sedikit. LV yang tersandang di bahu dilontarkan pada kerusi penumpang hadapan. Kembali ditegakkan tubuh yang indah bersalut kebaya ungu. Mata dihalakan pada tubuh sasa yang santai berkemeja T Polo putih dipadan dengan jeans biru pudar yang takzim dihadapannya sejak tadi. Wajah berkacamata yang tersenyum itu ditatap berani.

"awak nak apa lagi ni encik Wazif."

"tak ada apa-apa. Saya cuma datang nak jenguk "sepupu"saya sahaja. Tak salah kan." Mata Laila tajam dihalakan pada lelaki dihadapan. Perkataan "sepupu" yang diucapkan lelaki dihadapannya ini mengingatkan diri akan peristiwa minggu lalu. Peristiwa yang hampir mengheret lelaki dihadapannya ini ke balai polis jika tidak dengan campurtangan Laila untuk meleraikan kekeliruan tanggapan jiran-jirannya yang ternyata tidak senang dengan kehadiran saban hari Wazif dihadapan rumah Laila.

"awak ni kenapa sebenarnya. Tak cukup jelas ke apa yang saya beritahu awak hari tu. Saya sangka awak cukup bijak dan matang untuk faham kata-kata saya. Atau awak nak saya tuliskan secara rasmi perkara tu, hmmm. Boleh. Tak da masalah. Sekejap." Ditundukkan tubuh kembali. Dicapai note book yang terdampar di atas dashboard. Dibuka zip LV. Sebatang papermate ditarik keluar. Tubuh kembali ditegakkan. Tangan laju mencatat sesuatu di atas note book. Dikoyakkan helaian kertas dari note book. Disuakan pada lelaki dihadapan. Bersambut. Dilihat lelaki dihadapannya ini terus tersenyum menatap helaian kertas yang dihulurkan. Laila gigit bibir.

"cukup jelas dan boleh difahami. Budak sekolah rendahpun boleh faham maksudnya."

Lelaki di hadapan dilihat menganggukkan kepala.

"jelas..tapi tak lengkap. Takda tarikh dicatat. Boleh dipertikaikan dari segi undang-undang."

Laila hela nafas. Kesabarannya cukup teruji dengan kerenah lelaki dihadapannya ini. Jika tidak difikirkan susila yang perlu dijaga, mahu sahaja dihamun dan dimaki lelaki ini.

Wazif angkat kening. Terus tersenyum.

"kita bukan di kamar mahkamah, encik Zahwan Wazif. Tolong jangan gunakan kepakaran undang-undang awak untuk menjerat orang seperti saya. Saya tahu saya memang tak arif tentang undang-undang tapi..." Mata Laila dihalakan pada Wazif. " itu bukan bermakna saya bodoh. Saya belajar dari pengalaman lalu. Belajar dari kebodohan saya dahulu. Kebodohan yang menyebabkan saya hilang insan paling bermakna dalam hidup. Tolonglah hormat permintaan saya. Saya tak mintak banyakpun dari awak. Sedikit pengertian dari orang terpelajar dan terhormat seperti awak yang saya harapkan. Atau awak mahu saya dapat perintah mahkamah secara rasmi untuk menghalang awak daripada menghampiri rumah saya. Saya boleh lakukan kalau itu yang awak mahu."

Wazif terkesima. Tidak disangka dia telah mengheret wanita ayu dihadapannya ini ke sejarah silam. Langsung tiada niatnya ke arah itu. Wazif mengutuk diri akan keterlanjuran kata-katanya.

"Laila...saya minta maaf. Bukan niat saya begitu. Jangan salah faham. Saya betul-betul ikhlas dengan awak."

Laila menggeleng kepala. Nafas dilepaskan. Perlahan.

"saya minta pada awak. Tolong jangan datang lagi ke sini. Tolonglah. Saya tak mahu jiran-jiran nampak awak dan saya lagi. Saya dah letih, Wazif. Berilah saya peluang untuk menikmati hidup baru saya dengan aman..tenteram. Saya mahu lupakan kisah-kisah pahit dahulu. Jiwa saya baru sahaja bernafas. Saya mohon timbang rasa dan perikemanusiaan awak sebagai insan."

"Laila.please. Dengar penjelasan saya. Awak kena dengar dahulu."

Kepala digelengkan. Tubuh dipusingkan lalu diloloskan masuk ke dalam perut Myvi. Disorongkan kunci ke punatnya. Ditarik tali pinggang keledar. Dihela nafas perlahan. Tidak dihiraukan pandangan Wazif yang terus memaku pandangan ke arahnya. Ditekan hon, isyarat meminta Wazif untuk ke tepi. Ditekan pedal minyak. Myvi meluncur keluar meninggalkan perkarangan rumah teres dua tingkat. Dari cermin pandang belakang dapat dilihat lelaki itu terus tercegat memerhati.

Dia tidak mahu tewas lagi. Cukup sekali itu.

Dia tidak mahu kecewa lagi. Cukuplah sekali itu.

Dia tidak mahu bersedih pilu lagi. Cukuplah sekali itu.

Dia tidak mahu rasa sakit lagi. Cukuplah sekali itu.

Cukuplah.

4 comments:

The Lady Chosen said...

hmmm igtkan dah bole terima tp still x bole ekk.... kesian kat wazif :(

sue said...

cubalah terima hakikat.... bukan salah Wazif...
semuanya kententuan ALLAH...
Kaihan Wazif...
Datin tu ada udang di sebalik batu.... Go Datin go ....
lembutkan lah hati Laila ... wahai Datin yang baik hati....

canim said...

sokong ngan Sue....mcm berdendam pula....kasiahan Wazif ....5 thn berusaha nk dptkn kemaafan...x pe jgn putus asa...trskn usaha n bersabar ...Insya Allah penghujungnye bahagia......buka le pintu hati laila utk maafkn Wazif.....klu laila sedih sbb kehilagn anaknya ...wazif pun sama sbb dihantui rasa bersalah.....memberi kemaafan adalah dendam yg terindah......makin x sabar nk baca bab setrsnye......info psl seni tekad pun dpt tahu thanks kucc....

idA said...

sudah sudahlah ..yg pergi tetap pergi..kerana masanya sudah tiba..antara lambat dan cepat dan caranya berbeza..itulah takdir ketentuan manusia dimuka bumi ini..Menidakkan takdir berdosa..cuba buka ruang hatinya untuk seorg lelaki bernama wazif yg tidak pernah lelah memburu dirinya..why not give him a chance and yrself laila a chance..tak guna menangisi dan duduk dialam silam kerana ia tidak membawa kemana hanya derita dan sedih..

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...