Saturday, November 5, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 6



Bab 6

Ain yang terbaring di sofa terbangun. Tubuh yang masih lengkap berpijama tersandar di sofa empuk rona coklat tua. Kerut terbentuk di dahi sambil mata terarah memandang ke arah pintu. Anum yang sedang terbongkok mengintai dari celahan langsir ditatap penuh perhatian. Minda berbisik pasti ada yang sedang menarik perhatian adik sepupunya itu yang kelihatan sungguh asyik hingga terlekap di langsir. Perlahan-lahan tubuh diangkat dari sofa. Terjingkit-jingkit kaki dihayun..perlahan-lahan. Bahu Anum yang berlapik kaftan hijau epal itu dicuit. Mata mereka bertentangan. Ada riak terkejut diwajah polos itu. Ain meletakkan jari telunjuk di bibir. Langsir diselak lagi. Kerut didahi makin berlapis. Wajah Anum dicari semula.

"apa hal kat luar tu, Anum?"

"sesi soal siasat rasanyalah kak Ain."

Bebola mata Ain makin mengecil.

"soal-siasat apa?"


"ntah. Tapi memang macam sesi soal siasat sungguh. Dah lama Anum perati gerak geri diorang. Serius je muka memasing. Seram gak. Tengoklah abang Wazif tu, kesian dia kan kak Ain. Macam pesalah je diaorang buat dia Anum tengok..padahal..." Nafas yang dihela dilepas perlahan.

"agak-agak pasal apa tu haa. Takkan pasal kita kut."

Anum angkat bahu. Bibir dimuncungkan memandang ke arah luar rumah sambil tangan dihalakan ke tingkat atas bersama gerakan ekor mata yang cukup jelas maknanya. Ain menggaru kepala yang tidak gatal sambil menggelengkan kepala. Langkah laju dibawa mendaki tangga. Deras kaki dibawa menuju ke bilik utama yang terletak di hujung tingkat atas. Kelima-lima jari tangan kanan berpadu lalu dilontarkan ke wajah pintu milik tuan rumah teres dua tingkat ini. Nama Laila dilaung serentak. Terdengar sahutan dari dalam. Tombol pintu diputar sebelum tubuh yang masih berbalut pijama coklat muda melolos masuk.

Laila memandang sekilas sebelum terus menyisir rambut ikalnya yang mencecah bahu. Ain melepaskan helaan nafas. Langkah dibawa ke birai katil. Dihumbankan tubuhnya ke atas hamparan putih yang terbentang di hadapan. Disembamkan wajah. Sebiji bantal ditarik lalu diletakkan diatas kepala. Keluhan berat dilepaskan. Bunyi yang jelas ditangkap oleh pendengaran Laila. Ditoleh ke belakang memandang sekujur tubuh yang sedang meniarap dengan sebuah bantal terlekat di atas kepala. Laila menggeleng kepala. Dicapai anak tudung yang terletak di atas penyidai kayu di tepi cermin hias. Disarungkan ke kepala.

" eh, kata cuti...ni apahal bangun pulak. Ada yang ganggu tidur kau ke?"

"kura-kura dalam perahu la kau ni tau."

Laila senyum manis. Dicapai tudung ungu muda di atas kayu penyidai.

"kura-kura mana pulak ni yang kacau kau, rasanya kat rumah ni kita tak bela binatang kan ,hmmm."

"kau ni kan..." Ain pantas menegakkan tubuh lalu melontar bantal ke arah Laila. Sempat dielak oleh temannya itu. Ketawa riang Laila terlontar.

"eh.. apa ni. Pagi-pagi dah mengamuk. Anak dara jangan mengamuk pagi-pagi nanti jodoh lambat."

"banyak la kau punya hukum jodoh. Tu.. kura-kura yang naik Harrier kat bawah tu. Aduh, Laila tolonglah selamatkan hari cuti aku. Aku nak tidur sampai zohor tau. Penat lah." Rengekkan Ain tidak bersambut. Laila terus menguntum senyum. Tangan pantas membuka laci di kiri meja hias. Laila menyematkan sepasang brooch di kiri dan kanan bahu. Dipusingkan wajah dan tubuh ke kiri dan kanan di hadapan cermin hias. Dikemaskan kebaya ungu yang tersarung di tubuh genitnya. Ain menggelengkan kepala.

"Aku nampak sesuatu kat luar rumah kita. Aku nampak satu pemandangan yang serius...satu situasi yang tegang. Hati aku tak sedap tengok adegan yang aku saksikan. Anum yang dari awal dah tengok beritahu dia nampak pakcik Halim, pakcik Idris dan abang Din sedang bercakap-cakap dengan kura-kura naik Harrier kat bawah tu. Macam menyoal-siasat mamat tu." Tangan yang mencapai LV empat segi diatas meja hiasan terhenti saat perkataan "kura-kura naik Harrier" itu terlontar dari bibir Ain. Hati Laila tidak perlu berdetik. Dia arif siapa yang dimaksudkan. Kepala dipusingkan memandang wajah Ain yang takzim duduk di birai katil. Mata mereka saling memandang. Langkah diatur ke birai katil. Dilepaskan duduk sibelah Ain.

Ain hela nafas perlahan.

"Aku bukan nak masuk campur urusan kau dengan dia lagi. Aku faham situasi kau. Dan aku bukan mahu memberi tekanan pada kau Laila, cuma..." Wajah Laila direnung seketika.


" kita ni hidup berjiran, Laila. Jiran tu ikut hukum saudara kita yang terdekat. Apa-apa berlaku diaorang dulu yang afdal kita cari untuk mintak tolong. Tentu tak elok kalau kita menyebabkan saudara kita ada menyimpan rasa yang tidak elok tentang kita. Cuba kita letakkan diri kita di tempat dia orang. Tentu kita pun ada perasaan macam tu...ada rasa ingin nak tahu. Kalau dah hari-hari dia terpacak kat luar tu tentulah dia orang pun curious nak tahu apa urusan dia dengan penghuni didalam rumah ni. Tentu diaorang risau...takut jugak kalau-kalau kura-kura naik Harrier tu penyangak ke. Tentu dia orang nak tahu apa ke halnya dia asik menunggu kat luar rumah ini saban pagi sejak dua bulan ni. Nak kata jemput sesiapa dalam rumah ni tak jugak. Aku taknak jiran-jiran kita berfikir yang bukan-bukan pasal kau...pasal kita semua dalam rumah ni. Fitnah dan prasangka ni kalau boleh kita elak..kita elak. Kita pun secara tidak sedar menjadi punca orang mencipta fitnah dan prasangka tu."

Jeda.

"aku tahu bukan mudah untuk kau..aku tahu perkara ni sangat berat untuk kau...tapi sesuatu yang sukar itu pasti ada hikmahnya. Siapa kita untuk mempertikaikan ketentuan-Nya. Hidup kita ini milik-Nya. Kita sekadar singgah sementara sahaja di sini...di dunia ini."

Laila menundukkan kepala. Bibir dikemam. Dipejamkan mata seketika.

* * * * * * *

"terima kasih.."

Jeda.

"terima kasih kerana selamatkan saya pagi tadi."

Jeda.

"kalau tak kerana penjelasan awak mahu saya diorang seret ke balai."

Jeda.

Mulut terus terkunci. Hanya mata sahaja yang berbicara. Ditundukkan wajah seketika. Laila capai cawan berisi coklat panas. Bismillah terucap perlahan namun masih cekap ditangkap oleh pendengaran Wazif. Disua ke bibir mungil yang bertatarias rona merah pudar. Dihirup perlahan dan penuh hati-hati.

Wazif menala sekilas pandangan ke wajah Laila yang masih terus sepi dari tadi sebelum beralih memandang ke meja. Wazif sedar bukan mudah untuk membawa Laila berbicara. Dia harus bersabar menanti walang hati gadis ini pulih sepenuhnya. Walang yang tercipta kesan dari kekhilafan dirinya. Bening dari sepasang sinar bundar itu menceritakan segalanya. Jelas terpancar. Wazif tahu Laila masih menyembunyikan kesedihan dahulu disebalik kedinginan sikapnya.

Piring berisi pai epal ditarik rapat ke hadapan. Dibenamkan sudu ke dalam mangkuk pie. Diangkat bahagian pie yang sudah berada didalam sudu lantas disuakan ke mulut. Dikunyah dengan penuh nikmat. Kepala Wazif mengangguk perlahan. Laila yang bersandar di kerusi kayu hanya memerhati perlakuan Wazif. Dia tidak ingin melontar suara buat seketika. Lebih selesa menjadi pendengar dan pemerhati sahaja.

"saya suka sangat makan pai epal. Umi saya pandai buat pai epal. Pai epal umi saya paling sedap...best in the world."

Jeda.

"senang je nak buat pai epal ni. Hmmm..." Wazif memejamkan mata seketika sebelum kembali membuka jendela matanya itu.

"Untuk buat inti pai ni kita guna epal hijau. Kupas kulit lepas tu kita potong..er..potong 12 setiap biji atau potong 15 ke. Terpulang. Guna gula pasir dan kismis. Sikit kismis, tepung jagung dan air. Untuk pai dia just guna tepung gandum then mentega, telur..2 biji rasanya and gula. Tu je. Tak banyak pun bahan dia. Senang. Siap dah pai epal yang lazat. Cubalah resipi umi saya ni, pasti awak puas hati."

Laila renung wajah Wazif yang masih memaku bebola mata ke arahnya.

"kalau awak ni jadi chef, mahu awak saya baling dengan kuali periuk. Biar padan! Penjelasan dah lah tak lengkap. Bahan yang diguna tak confirm betul-betul. Timbangan tak ada. Main rasa dan agak-agak pulak tu. Cara nak menyediakan tak tunjuk..tahu-tahu dan siap. Sepatutnya bahan-bahan nak guna kena lah bagi betul-betul jumlah dan timbangannya. Ingat ni main pondok-pondok ke. Cara-cara nak buat pun kenalah jelaskan langkahnya satu persatu sampai selesai. Barulah betul."

Wazif senyum. Pertama kali sejak lima tahun dia mendengar Laila bercakap panjang. Wajah ayu ini nampak comel sahaja dengan cara pertuturannya yang bersahaja.

"apa yang awak senyum-senyum. Ingat saya main-main. Ingat saya tak berani baling awak dengan kuali...periuk? Jangan sangka saya tak sanggup baling muka awak yang tampan tu dengan kuali." Laila tatap tidak berkelip ke arah wajah Wazif. Tajam direnung.

Senyum Wazif makin lebar...makin luas.

"awak nampak comel bila marah. Garang..tapi cute!" Wazif terus menebar senyuman manis ke arah Laila yang langsung tidak memberi sebarang respon atas pujian yang diberikan. Hanya berdiam sahaja. Wazif tidak kisah dan terasa. Kesudian Laila minum petang bersama hari ini sudah satu rahmat buatnya. Sudah lama dinanti peluang keemasan ini. Syukur dipanjatkan pada yang Esa kerana membuka pintu hati gadis ini. Biarpun cuma baru sedikit dibuka, ia sudah cukup memadai kepada Wazif. Suatu permulaan yang baik.


"awak sungguh nak resipi pai epal ni ke. Saya boleh dapatkan yang lengkap dari umi saya."


"saya tak suka pai epal."


"awak suka apa,hmmm."


"bukan urusan awak."


"suatu hari nanti mungkin akan jadi urusan saya..mana kita tahu kan. Itu urusan Dia." Laila renung jari telunjuk Wazif yang tegak ke atas. Dicapai cawan berisi coklat panas yang sudah mulai suam. Diletakkan ke bibir.

Wajah Wazif yang terus menganyam senyuman penuh gula ditatap seketika. Senyuman itu makin manis. Mata pantas dilarikan ke arah kaunter Secret Recipe. Ada debaran di hati yang tidak ingin dilayan.

4 comments:

hani said...

kura2 naik harrier...lawak betul lah, ahirnya laila mau juga brtemu gan wazif...biarlah wazif mnanti trlalu namun hikmat kmanisan sabar akan ddptinya.....!

The Lady Chosen said...

bunga2 cinta telah kelihatan nampaknyer,huhuhu akhir laila sudi gak berjumpa dgn wazif....hmmm epal pie sedap tu XD

zue said...

wah!!! ada debaran di dada. it's a good sign. beautiful story kucc. luv it.

sue said...

Sabar ja lah ..... Wazif jadi kura-kuara...hehehe
....... Wazif pandai2 lah ambil hati Laila .....
Betul tu kata Wazif mungkin satu hari nanti jadi urusan dia.... hehehe.... faham2 sendirilah Laila ....

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...