Saturday, October 29, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 3



Bab 3




Cahaya bulan berserakan di hamparan langit yang terbentang. Mata bundarnya terus memaku sinar pada wajah langit. Bayu malam yang sesekali meniup terdesir menerbangkan helaian rambut yang menutupi dahi. Ditolak perlahan ke tepi cuping. Kata-kata Ain berulang tayang di gegendang. Seraut wajah yang menghancur-lumatkan hati terlayar lagi. Keluhan berat terhambur keluar. Mengapa mesti ditemukan lagi dia dengan lelaki yang begitu dibenci sepenuh jiwa. Mengapa perlu lelaki itu hadir lagi didalam hidup ini. Mengapa mesti dirinya ini dicari lagi. Untuk apa lagi. Dia sudah tiada apa-apa lagi. Sofi sudah tiada.

Zahwan Wazif. Laila tidak akan lupa nama itu sampai bila-bila. Tidak akan dilupa wajah itu hingga akhir nyawanya. Tangan meraup wajah. Berkali-kali. Mengapa hidup barunya yang baru berputik tunas harus digoncang dengan kehadiran lelaki ini. Kemunculan yang satu masa dahulu tidak pernah diduga akan meranapkan kebahagiaan hidupnya dan Sofi.

"cik Fahratul Laila Haji Umar." Sesusuk tubuh kemas terpacak dihadapan pintu pejabat ketika dia sedang sibuk mengemaskini kertas kerja untuk pembentangan kepada pelanggan yang akan dikendalikan esok. Telinganya terpanar seketika. Nama penuhnya disebut. Tidak pernah begitu selama dia berkhidmat di E&O Group. Raut tampan penuh karisma dihadapan membuatkan diri tertanya-tanya. Siapa dan apa mahunya lelaki ini. Tidak pernah dilihat sebelum ini lelaki yang sedang berdiri dihadapannya saat ini.

"saya." Tubuh ditegakkan. Mata mereka masih saling memandang. Seulas senyum itu dibalas. Adab sesama manusia harus dijaga. Pesan umi dan walid masih kukuh terpahat di hati. Salam yang dihulur hanya dibalas dengan anggukkan sambil kedua-dua tapak tangan dilekatkan ke dada. Terlihat anggukkan perlahan pada wajah dihadapan.

"saya Zahwan Wazif dari Hanafiah & Co. Peguam Puan Aliyana dan Encik Fakhrul." Laila telan air liur. Debaran didada tiba-tiba menyerang saat kedua-dua nama itu disebut. Ada nyanyian tidak enak sedang berlagu di jiwa. Nafas mulai sesak. Seraut wajah comel Sofi pantas memenuhi ruang minda. Aliran darah ke pembuluh untuk ke jantung memecut kencang. Bibir digigit. Kuat.

"ini..." sehelai sampul bersaiz empat segi tepat sederhana besar diserahkan kepada Laila. Disambut lemah. Jari-jemari menggigil. "surat tuntutan Puan Aliya dan Encik Fakhrul untuk mendapatkan hak penjagaan penuh ke atas anak mereka, Aya Sofya binti Abdullah yang kini dalam jagaan cik Laila."

Laila geleng kepala. Laju. Sampai hati kau, Liya...

"Saya takkan serahkan Sofi pada mereka. Aya Sofya milik saya. Aya Sofya hak saya. Sofi anak saya!" Lantang jeritan yang terlontar. Tidak mampu dikawal. Seluruh tubuh Laila menggigil. Surat ditangan pantas diceraikan. Lumat. Lalu dihumbankan ke dalam tong sampah dikiri meja.

"Bukan ditangan kita keputusannya. Mahkamah syariah akan tentukan masa depan Aya Sofya. Cik Laila kena hormat undang-undang. Sila hadir ke mahkamah pada tarikh yang akan diberitahu kelak."

Kolam mata yang berkaca-kaca pecah akhirnya. Melimpah. Tubuhnya terhenyak di kerusi baldu merah hati. Esakan kecil terlontar. Malu dibuang jauh-jauh. Laila bingung. Buntu. Tidak langsung menduga Aliya nekad dengan niatnya mahu mengambil semula Sofi.


"Liya dah janji, encik. Liya dah janji Sofi anak saya sampai bila-bila. Liya takkan ambil Sofi. Liya takkan tuntut Sofi. Kau tipu aku, Liya. kau tipu aku. Sampai hati kau, Liya. Tolonglah encik. Tolonglah jangan ambil Sofi. Saya tak boleh hidup tanpa Sofi. Tolonglah."


Ada air hangat yang mengalir di tubir mata. Diseka dengan jari. Mata terus terpahat pada hamparan langit yang pekat gelap.


* * * * * * *


"Aku minta maaf."


Suasana hening disapa dengan lontaran suara yang sedikit serak. Langkah kaki lambat-lambat mendekati katil. Ain melabuhkan duduk di birai katil. Perlahan sekali. Kepala menoleh sekilas pada susuk tubuh bersalut pijama putih yang sedang bersandar di kepala katil sambil penuh takzim mengadap skrin IBM di riba. Tiada kata-kata yang keluar dari mulut itu. Terkunci rapat. Tiada sedikit reaksi yang dipamerkan. Wajahnya tetap tegun di skrin empat segi dihadapan. Ain tunduk seketika. Mencari ruang untuk meneruskan bicara.


Sepi.


"aku tak berniat nak buat kau teringat kembali kisah dahulu. Sungguh. Percayalah, tapi aku tahu aku sudah mengguris hati kau tanpa aku sedari. Aku minta maaf, Laila."
Laila masih bisu. Hanya jari-jemari runcingnya yang terus berbicara di lantai papan kekunci IBM hitam. Rancak sekali. Mata bundar miliknya melekap pada wajah empat segi di riba. Ain hanya mampu membatukan diri. Tidak tahu harus berkata apa lagi. Mati ilham. Terkunci semua kalam kata. Menghadapi Laila yang sekarang ini bukan seperti menghadapi Laila yang dahulu. Memang diakui salah dirinya. Memang salah lidahnya yang terlanjur menutur kata-kata.


Bukan dia tidak tahu apa yang telah terjadi antara Laila dan lelaki yang mencetuskan kedinginan antara mereka saat ini. Bukan dia tidak melihat apa yang telah dialami teman rapatnya ini sangat berkaitan dengan lelaki itu. Lelaki itu adalah pemusnah hidup bahagia temannya ini bersama Sofi dahulu. Dia menjadi saksi segala penderitaan yang dilalui Laila selama lima tahun ini. Lelaki itu puncanya. Laila yang hampir lumpuh seluruh jiwanya. Laila yang hampir mati semangatnya. Laila yang hampir hilang arah hidupnya. Semuanya kerana kesan daripada kehilangan Sofi. Dan kerana lelaki itulah, Laila hilang Sofi. Hilang buat selama-lamanya. Satu-satunya permata hati yang memberi sinar bahagia didalam hidup temannya ini dikala semua orang sekeliling yang rapat dan akrab memadamkan suluhan cahaya mereka buatnya. Sofi adalah segala-galanya didalam hidup Laila. Demi anak kecil yang comel dan lincah itu, Laila sanggup berkorban segalanya. Diharung semua. Diredah semuanya tanpa sedikit rasa sesal dan kesal. Tidak juga berjauh hati dengan sikap sekeliling. Ditabahkan hati. Semua demi si kecil Sofi yang tidak berdosa.


Kematian Sofi yang tidak terduga dan berlaku di depan mata satu tamparan paling hebat buat Laila. Dipangkuan Laila, Sofi nan comel menghembuskan nafas terakhir. Saat yang merengut sama seluruh jiwa dan semangat seorang Fahratul Laila. Pemergian Sofi turut membawa sama jiwa dan semangat uminya ini. Laila bagai turut sama mati biar nafas masih terpahat di tubuh. Memang benar bukan teman serumahnya ini yang mengandungkan Sofi. Memang benar juga bukan teman serumahnya ini ibu kandung kepada Sofi. Namun pada hakikat setiap mata yang memandang, pada cuping telinga yang mendengar, hati yang menilai hubungan antara kedua-dua insan ini, tiada siapa yang akan dapat menafikan Sofi adalah milik Laila. Hidup Laila demi Sofi. Hidup Sofi untuk Laila.


Ain tahu dan dia menjadi saksi akan kesukaran Laila menerima kenyataan maha pahit ini. Ain menjadi saksi kepayahan Laila bangkit dari keparahan jiwa akibat pemergiaan Sofi. Ain bersyukur setelah lima tahun usaha dan doanya dimakbulkan yang Esa. Teman rapatnya ini kembali semula sebagai Laila. Biarpun bukan sepenuhnya Laila yang dikenali dahulu, sekurang-kurangnya Laila sudah dapat menerima kenyataan. Menerima takdir yang tersurat buat dirinya.
Dan kini setelah hampir sembuh dari keparahan jiwa yang cukup memilukan, insan yang paling tidak ingin ditemui hadir kembali di dalam hidup Laila. Kehadiran yang mengocakkan kembali jiwa Laila yang baru sahaja menemui ketenangan. Bertandang saban hari tanpa jemu demi menagih sebuah kemaafan. Dan malam ini entah apa silapnya mulutnya ini lancang sahaja menutur bicara tentang lelaki itu dan menagih simpati Laila tanpa berfikir akan perasaan teman akrabnya ini. Di mana agaknya kewarasan akalnya sebentar lagi. Entah apa agaknya yang merasuk. Ain mengutuk diri sendiri.
Laila angkat wajah perlahan. Mata melirik pada tubuh dihadapan. Tubuh Ain yang menundukkan wajah di hujung birai katil. Sugul. Khali suasana bilik yang diterangi cahaya lampu tidur di kiri dan kanan katil. Nafas dihela dalam dalam. Lafaz istighfar diucap berulang kali. Mata kembali dibawa pada skrin empat segi diriba. Jari-jemari menari pantas sebelum wajah skrin empat segi itu ditutup dan diletakkan ke meja sisi disebelah kanan kepala katil. Diengsutkan tubuh perlahan-lahan ke hadapan. Duduknya kini disaingkan disebelah teman serumahnya itu. Laila tahu dia tidak sewajarnya terlalu beremosi sebentar tadi. Dia gagal mengawal perasaannya. Dia sudah mencuba. Ternyata dirinya gagal. Setiap kali memandang wajah itu, dia akan terlihat Sofi. Sofi yang berlumuran darah. Sofi yang berteriak halus memanggil namanya dalam penuh kepayahan disaat akhir nafasnya. Sofi yang akhirnya kaku dipangkuan.


Mata dipejamkan. Rapat.


Sofi...


Tangan meraih bahu Ain. Dielus lembut. Ain menoleh. Mata mereka berlaga. Bertatapan seketika."


"aku minta maaf."


Ain geleng.


"Aku yang harus minta maaf. Aku yang mulakan. Aku yang tak patut. Aku yang lancang mulut."


Tangan Ain digenggam erat. Dijatuhkan kepala pada bahu teman rapatnya ini. Ingin melepaskan lelah dijiwa seketika.


Jeda.


"aku dah cuba, Ain." Kepala Ain mengangguk laju. Genggaman dieratkan.


"tapi hati aku akan menangis bila terpandang dia. Hati aku sakit bila lihat dia. Hati aku yang baru sembuh lukanya ni bagai ditikam semula bila dia terpacak di depan mata. Aku nampak Sofi di wajah dia, Ain."


Dihela nafas lembut.


"biarlah hati ini yang memberi isyarat untuk langkah aku seterusnya. Samada..." kepala yang tersalai dibahu Ain ditegakkan. Wajah teman akrabnya itu direnung.


"akan menerima atau menolak, biarlah hati ini yang memutuskan. Aku akan terima keputusannya. Aku yakin pada pilihannya. Hati aku ini tidak akan sesekali menganiaya diri ini kerana dia paling mengetahui apa yang telah aku lalui. Suka duka. Pahit manis. Segalanya."


Kepala Ain mengangguk lagi untuk kesekian kalinya. Mata mereka terus bertatapan.

4 comments:

srikandi said...

sedih baca kisah laila ni..

hani said...

memang susah untuk mgharap sjalur kemaafan..sedih gan kisah laila..trasa pedih dkalbu mbca kisah tragis sofi

IVORYGINGER said...

aduh... kerasnya hati seorg Laila akibat kisah lalu. Tp salah siapa klu mmg ditakdir umur Sofi panjang itu??? Wazif pun tidak menjangkakan smua tu akan blaku. Dia hanya mjalankan tugas dia bdasarkan kehendak pelanggannya serta maklumat yg diperolehi. Lgpun dia pun bukan kenal akan Laila n kisah hidup Laila n Sofi. n keperitan khilangan yg dlalui ms2x khadiran Sofi. huhuhu... Maafkan la Wazif.

Kak Sue said...

Biarlah Laila mengambil masa untuk betul-betul pulih..
... sedihnya kisah Laila...
Wazif pun x salah.... dia bukan tahu semua perkara akan berlaku..... dia hanya menjalankan tugas sahaja.... x baik menghukum sesorang yang bukan dia yang melakukannya....

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...