Saturday, October 22, 2011

Kerana Aya Sofya - Prolog



Prolog




Hati yang terluka umpama sekeping besi mampat yang bengkok. Walau diketuk berkali-kali, sukar sekali kembali pada bentuk asalnya. Tidak akan boleh menyamai yang asal biar sedaya mana sekalipun cuba dikerahkan usaha menggunung. Usahlah membuang masa! Usahlah membuang tenaga. Tiada gunanya.



Begitu juga hati ini. Hati ini sudah kematu kerasnya. Tidak mungkin boleh dilentur ke bentuk asalnya. Hatinya ini sudah parah. Tidak akan boleh dirawat lagi. Tidak akan ada ubatnya biar hingga ke hujung dunia dicari. Biar diharung tujuh lautan. Tiada akan ketemu kerana satu-satunya belahan jiwa yang menjadi penawar hatinya sudah lama meninggalkan dunia juga diri ini. Penawar hidupnya selama ini. Dialah segala-galanya dalam hidup. Racun dan madu dialah jua. Perginya meluluhkan hati ini. Lebur jiwa ini. penawar hidupnya itu diragut dengan kejam. Tanpa rasa kasihan..jauh sekali ihsan kemanusiaan!



Perjalanan hidup ini bagai tiada ertinya lagi sejak belahan jiwanya pergi. Seluruh hidup ini bagai turut diusung pergi. Semangatnya mati. Dirasakan tiada gunakan lagi diteruskan perjalanan ini. Semuanya sudah tidak bererti lagi. Hanya tubuh kurusnya ini yang masih bernafas sedangkan jiwanya sudah lama tidak bernyawa. Dia bagai layang-layang di angkasa yang terbang tiada tujuan...tiada arah...tiada destinasi dituju.



Dunia ini memang terlalu kejam pada dirinya. Mengapa mesti diri ini terhukum sebegini. Mengapa mesti diri ini harus berdepan dengan musibah seberat ini. Dia sudah tidak terdaya lagi. Sungguh. Dia pasrah. Dia sudah hilang segala-galanya. Segala-gala yang amat bererti didalam hidupnya selama ini.


Sofi....mengapa tinggalkan umi, sayang.


Kerana Aya Sofya, dia rela dibuang walid dan umi. Kerana Aya Sofya, dia rela dihalau dari rumah yang memayungi hidupnya sejak menjengah dunia. Kerana Aya Sofya, dia rela diri dihumban dari salasilah keluarga Haji Umar dan Hajah Khadijah. Kerana Aya Sofya, dia rela namanya dipadamkan daripada keturunan walid dan umi sedangkan dialah anak kesayangan walid dan umi. Dia adalah waris keturunan walid dan umi. Tapi tidak selepas Aya Sofya hadir. Dia sudah dicop sebagai anak yang memalukan keturunan Haji Umar. Semuanya kerana dia mempertahankan Aya Sofya. Ya, semuanya ditelan demi kerana Aya Sofya.


Dan kerana Aya Sofya jugalah dia rela diputuskan ikatan yang bakal menjalin dua keluarga menjadi satu. Ikatan yang bakal mengeratkan hubungan dua keluarga yang sudah sekian lama saling mengenali. Dia rela kehilangan lelaki itu. Lelaki yang dahulunya cukup menyayanginya. Tapi tidak selepas Aya Sofya muncul. Dirinya ditolak. Dirinya dijauhi. Tiada lagi kiriman kata-kata manis yang sering menemani tidur. Dia akur. Dia tidak berkecil hati jauh sekali menyimpan dendam. Tidak guna diteruskan jika rasa percaya sudah tiada didalam diri lelaki itu terhadapnya. Tidak guna diteruskan jika nantinya akan menyeret mereka ke gaung kemelut yang berpanjangan. Tidak guna diteruskan jika akhirnya nanti akan menghumbankan mereka ke kancah penceraian. Nauzubillah. Dia tidak mahu membuat walid dan umi sedih. Cukuplah dia seorang yang menanggung segalanya malu yang terpalit pada mereka sekeluarga. Dia rela. Dia sanggup. Kerana Aya Sofya, dia rela.


Sofi..umi rindu, Sofi!


* * * * * * *


"umi, siapa uncle dan auntie tadi tu? Kenapa dia orang datang rumah kita,umi."


"err...mereka kawan umi, sayang."


"kawan umi? Sofi tak pernah tengok pun sebelum ni dia orang datang rumah kita."


"err..dia orang tak ada masa,sayang. Banyak kerja. Sibuk."


"Dia orang duduk jauh ye umi? Jauh yang kena naik kapal terbang ye, umi."


"err..ya ya. Jauh."


"oooh..."


"umi..."


"ya, sayang."


"kenapa auntie tadi tu tak pakai tudung macam umi? Ustazah kat tadika selalu cakap dosa kalau tak pakai tudung. Allah suruh semua perempuan kena pakai tudung. Nanti rambut dengan kepala kena bakar dekat akhirat kalau tak pakai tudung. Auntie tu tak takut ke rambut dengan kepala dia kena bakar,umi?"


"insyaallah, nanti Allah buka pintu hati auntie tu untuk dia pakai tudung ye sayang. Kita doa-doakan dia ye."


"umi."


"ya, sayang.."


"kenapa auntie tadi tu bila Sofi salam dia macam umi suruh tu dia terus peluk-peluk Sofi. Sofi tak suka lah umi. Dia peluk Sofi kuat laa,umi. Sofi rimaslah umi."


"tak baik cakap macam tu, sayang."


"yelah. Memang dia peluk Sofi kuat umi. Lagipun auntie tu dari dia mula masuk rumah kita dia asik tengok Sofi la, umi. Asik pandang je Sofi. Kenapa auntie tu macam tu, umi?"


"dia suka tengok anak umi ni agaknya. Kan anak umi ni cantik...comel. Kan, hmmm."


"yelah, Sofi kan anak umi. Umi kan cantik, mestilah Sofi pun cantik macam umi. Kan,umi."


"Sofi sayang umi?"


"sayang!..Sofi sayang umi."


"banyak mana?"


"seribu."


"seribu je? sikit!"


"seribu banyak la umi...teacher Maria cakap seribu tu banyak. Ada tiga kosong kat belakang nombor dia."


* * * * * * *


"Dia anak aku, Laila. Anak aku!"


"dia anak aku, Liya. Anak aku! Bukan anak kau!"


"Kau tak boleh nafikan hakikat sebenar tentang dia, Laila. Kau pergilah ke mahkamah mana sekalipun di dunia ni. Aku tetap akan menang. Kau takkan mampu menafikan hak aku terhadap dia. Aku ibu dia. Aku ibu kandung dia. Bukan kau!"


"sejak bila? cakap dengan aku sejak bila,haa?"


"aku yang lahirkan dia. Kau lupa? Dia yang duduk dalam rahim aku ni sembilan bulan sepuluh hari. Bukan dalam rahim kau! Kau nak nafikan itu. Jangan lupa Laila, hak aku atas dia tetap takkan gugur...tidak kira apa sekalipun situasinya."


"aku yang besarkan dia, Liya. Aku yang besarkan dia dari sejak dia dilahirkan. Kau..kau lupa tu Liya?"


"aku sedar sekarang. Sebab itu aku mahu hak aku semula."


"Kau lupa janji kita, Liya. Kau lupa. aku berkorban segalanya. Demi kau...demi Sofi."



"Sofi anak aku Laila. Aku mahu kau serahkan semula dia pada aku. Aku lebih berhak terhadap dia. Bukan kau."


"kau penipu, Liya. Kau pengkhianat! Aku takkan serahkan Sofi pada kau. Kau tak layak menjadi ibu Sofi. Kau memang tak berperikemanusiaan,Liya."


"Kita jumpa di mahkamah nanti Laila. Aku akan pastikan Sofi kembali ke pangkuan aku...ibu kandungnya yang sebenar. Kau pasti akan kalah Laila."


"sampai hati kau,Liya."


"hmm, sebelum tu terima kasih atas perngorbanan kau selama ini. Kalau kau mahu gantirugi, aku akan bayar. Kau sebut sahaja jumlahnya ok, Fakhrul akan uruskan cek pembayarannya nanti. Aku akan minta dia hantar sendiri pada kau...by hand!"


"setan kau, Liya!"

3 comments:

IVORYGINGER said...

wow... quiet interesting.
perebutan hak anak plak n pngorbanan bt sahabat tp dbls tuba. ish2x tak patut tak patut. kejamnya sahabat yg masa susah mintak bantuan bila senang lupa daratan lupa akan budi yg thulur. sadisnya. huhuhu...

what going happen cant wait? tlalu bnyk harga yg perlu dbayar bt org yg sanggup khilanga keluarga demi kehidupan seorg ank kecil. mulianya perempuan ini.

Ad_dEen said...

nice...
ok saya nk baca ke bab seterusnya pulak..
sblm ni xde masa...

HotMomma said...

permulaan yg menarik..Keep it up kucc.. e-novel kucc mmg semua best..

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...