Thursday, October 27, 2011

Kerana Aya Sofya - Bab 2



Bab 2


Longlai langkah diseret ke arah halaman rumah. Wakaf sederhana besar di sudut taman orkid umi yang sedang rancak berbunga dituju. Dilonggar ikatan tali leher. Lengan kemeja biru muda yang tersarung ditubuh dilipat hingga ke pangkal siku. Helaan nafas panjang dilepaskan sambil punggung dilabuhkan pada lantai cengal yang licin berkilat kesan varnis yang jelas masih baru. Mata suramnya disorotkan pada satu dua kenderaan yang melalui jalan dihadapan banglo milik walid dan umi.


Zahwan Wazif meletakkan kedua-dua belah tangan tegak ke kebelakang dengan tapak tangan ditekankan sedikit pada permukaan lantai cengal. Nafas terus menghirup udara malam yang mula menjengah keluar. Mata dibawa memandang ke kaki langit malam yang cerah. Kepulan awan putih yang bertompok-tompok bagaikan pulau-pulau kecil di laut direnung seketika. Minda dibawa menerawang wajah malam yang baru membuka tirainya.


Suara angin malam dingin yang seakan-akan menggigil menderu laju masuk ke dalam cuping. Deruan yang membelai tangkai-tangkai orkid umi yang bergantungan lalu melenggok-liuk bagaikan batang-batang tubuh manusia yang sedang menari mengikut rentak irama yang mengasyikkan. Helaan nafas berat dilepaskan. Disandarkan tubuh pada tiang. Tangan yang tadinya menekan lantai kini dibawa melilit abdomen tubuh. Dada turun naik mengepung nafas yang seiring berlari dengan denyutan nadi. Seperti selalu sejak lima tahun diri terus tenggelam dalam kenangan pahit silam yang tidak dapat dihapuskan dari menguasai minda. Malam terus mengejek dirinya. Bulan terus mentertawakannya. kedua-dua saling mengutuk dirinya. Mengecam dirinya.


Laila....


Aya Sofya...
Kedua-dua figura itu silih berganti di ruangan pancaindera mata. Wajah comel Aya Sofya yang mesra dipanggil Sofi paling kerap meniti dipinggir kolam hati. Senyuman dan ketawa itu terngiang-ngiang saban malam. Mengejarnya siang dan malam. Menghambat diri walau dimana jua. Dia rasa begitu tertekan sekali. Barangkali benar dia yang bersalah. Barangkali benar dia yang berdosa. Salah dan dosa yang tidak mungkin akan terampun. Wazif merasakan begitu. Dosa itu seolah-olah terus mengekorinya selama lima tahun ini. Setiap saat dan ketika. Kerana dia, kehidupan bahagia sebuah keluarga kecil musnah. Kerana mahu mempertahankan undang-undang ciptaan manusia, nyawa seorang insan comel tersungkur. Dirinya terus dicengkam rasa berdosa bila mengenang kembali tangisan, jeritan dan raungan Laila saat tubuh kaku Aya Sofya terdampar di jalanan. Lencun darah merah pekat yang membasahi seluruh tubuh kecil itu masih segar di mata. Sukar dipadamkan sampai kini. Dan dosa itu makin menghimpit dan mengancam saat mengenangkan tubuh Laila yang kaku di pusara Aya Sofya semalaman!


Kacau bilau jiwa Laila kesan pemergian tragis Aya Sofya sukar dihakis dari ingatan. Terus mengugutnya kerana dialah punca semua ini. Betapa rasa sesal ini tidak terhitung sakitnya. Jika dia tidak bersetuju dahulu tentu alur hidup Laila tidak akan begini sudahnya. Jika dia tidak gelojoh mempamerkan ego yang mula bertaring di jiwa ketika itu pasti dia tidak sengsara menanggung akibat salah percaturannnya dahulu dan rasa bersalah serta berdosa yang melampau-lampau ini tidak akan terus mengekori dan menghantui hidup.


Tak guna lagi rasa bersalah awak itu...


dapat awak kembalikan dia pada saya semula kalau saya dengar penjelasan awak ni? dapat awak kembalikan kebahagiaan saya yang awak ambil lima tahun dahulu kalau saya dengar penjelasan awak ni?"


Maafkan saya, Laila...


Tolong maafkan saya, Laila...


"Zif..." Kepala ditoleh.


"umi..." Senyuman manis diberikan. Tangan umi diraih dan dikucup penuh hormat.


"kenapa tak masuk lagi. Sejuk kat luar ni." Suara lembut umi terus membuai. Senyuman makin lebar.


"lepaskan penat sekejap umi. Panas badan ni. Melekit."

Khali sejenak.

"dapat jumpa?" Mata diangkat. Redup wajah umi dijelajah. Gelengan perlahan dihadiahkan sebagai jawapan.

"hati dia keras, umi."


Terasa ada elusan lembut di kura tangan. Mata memandang raut lembut wajah umi. Ada curahan rasa simpati yang bergantungan pada wajah umi. Wazif tidak tahu bagaimana mahu meluahkan rasa sesal dan sakit yang saling berguling di jiwa.


"sakit kehilangan ini bukan boleh digambarkan dengan kata-kata. Apa lagi melibatkan nyawa insan yang paling dikasihi. Ia..." Tangan umi melekap di dada. Kejap sekali. Mata Wazif terkesima disitu. "di sini." Wazif telan air liur.


"hati ini kawasan Allah. hak mutlak Dia. Kita manusia tidak akan mampu menyentuhnya. Apalagi mahu menafsirkannya. Membayangi apa yang terisi..tertulis di situ juga jauh sekali. Yang boleh.." Telunjuk umi berpindah ke tepi pelipis. " Cubalah selami dan tawan emosi dan fikirannya. Hanya itu wilayah yang manusia mampu kuasai."


Wazif geleng perlahan. "mungkin ini balasan Tuhan atas perbuatan Zif, umi. Zif dah membunuh,umi. Membunuh satu jiwa...satu nyawa. Zif dah musnahkan sebuah kehidupan yang satu waktu dahulu begitu bahagia sekali. Zif berdosa besar, umi."


"Tuhan itu maha pengampun dan pengasih. Umi tahu anak umi tidak berniat begitu. Tuhan maha mengetahui apa yang tersirat didalam hati anak umi ini."


Wazif masih belum mampu berpuashati dengan pujukan umi.


"Walau gembira selepas lima tahun cuba menjejak dia, Tuhan makbulkan doa Zif dengan temukan kami semula, tapi.." Nafas dihela dalam-dalam. Wajah Laila terlayar di mata.


"dia dah lain. Dia bukan Laila yang Zif kenal dahulu, umi. Dia dingin. Dia keras. Dia beku. Zif..Zif mati kata-kata. Zif tak tahu lagi bagaimana cara mahu menerangkan pada dia. Dia tolak Zif terus."


"Zif kena sabar. Zif kena beri dia ruang dahulu. Ruang untuk dia kembali tenang. Ruang untuk kembali berfikir. Emosi dia belum sepenuhnya sembuh. Fahaminya jiwa dia dahulu,hmmm. Dunia guaman ini banyak cabaran juga dugaan. Umi tahu. Umi dah lalui itu semua. Umi faham perasaan anak umi. Apa yang umi harapkan anak umi jangan putus-asa,insyaallah. Umi akan terus doakan yang terbaik buat anak umi." Tangan lembut umi terus membelai kura tangan. Dibalas elusan umi. Dilebarkan senyuman biarpun hati bagai belum menjanjikan serakan pelangi indah yang sekian lama didambakan.


* * * * * * *


"bila pegawai Kementerian Penerangan tu nak ambil Gong Perak ni, Kak Munah?" Laila membelek catatan inbois yang baru diserahkan pembantu jualan kaunter barangan Perak kepadanya. Sewaktu pulang dari mesyuarat dengan Perbadanan Kraftangan Laila diberitahu oleh kak Munah ada pegawai dari Kementerian Penerangan yang datang bertemu dengannya minggu lepas datang lagi mahu mengesahkan tempahan Gong Perak seperti yang disebut dalam pertemuan pertama mereka.


"kata encik Fahmi, lusa cik Laila. Kak Munah dah mintak Zarith call Ah Ming. Katanya datang kejap lagi. Nak suruh si Ah Ming ukur untuk buat casing dengan engrave wording sekali. Diaorang nak casing kaca, cik Laila." Laila mengangguk sambil membuat sedikit catatan pada buku inbois ditangan sebelum diserahkan kembali kepada pembantu jualan yang dipanggil kak Munah.


"kak Munah dan periksa stok? cukup?" Laju kepala kak Munah mengangguk.


"cukup, cik Laila." Laila senyum.


"oklah, terima kasih kak Munah. Nanti saya telefon encik Fahmi tu. Kak Munah uruskan dengan Ah Ming. Ni regular customer kita kak Munah. Kena pastikan dia puashati dengan produk dan service kita. Nanti mintak Zarith uruskan driver untuk buat penghantaran. Macam biasa, kak Munah kena ikut driver kita sekali nanti masa penghantaran."


"baik cik Laila. Kak Munah faham. Kak Munah keluar dulu." Berbalas senyum dan saling menganggukkan kepala. Tombol pintu ditarik perlahan dari luar.


Butang speaker telefon dihadapan diaktifkan. Jari-jemari laju menekan nombor-nombor yang tertera diminda. Terdengar nada deringan sebelum bunyi gagang diangkat dan ucapan salam dihulur.


Dibalas.


"waalaikumsalam. Encik Fahmi. Fahratul Laila dari Karyaaneka Kraf. Maaf encik Fahmi saya tak dapat entertain encik Fahmi tadi. Datuk KP panggil mensyuarat tergempar pulak. Habis semua tergempar pagi-pagi ke bilik mesyuarat." Ketawa ditalian sana nyaring berpadu dengan ketawa halus Laila.


* * * * * * *


Laila angkat wajah. Seketika sebelum tunduk kembali mengadap pinggan yang masih tersisa separuh mee goreng yang dibeli sewaktu perjalanan balik tadi. Anum langsung tidak berdetik. Tunduk sejak mula sambil mulut terus mengunyah menghabiskan hidangan makan malam yang dimasaknya. Ain terus memaku pandangan pada seraut wajah indah dihadapan.


"jumpa lah dia, Laila. Aku kesian tengok dia. Orang kiri kanan tengok. Tiap-tiap hari Harrier dia terpacak kat depan tu."


Laila senyum sinis. Mulut terus mengunyah. Enggan melayan.


Anum mencuri pandang kedua-dua teman serumah tempat dia menumpang. Kak Ain adalah kakak sepupu yang membawa dia tinggal di rumah teres dua tingkat ini. Menurut kak Ain, rumah ini milik Kak Laila. Kata kak Ain lagi kak Laila temannya sejak di universiti lagi. Tidak banyak yang diketahui tentang kak Laila kerana kakak sepupunya itu tidak banyak membuka mulut tentang kak Laila. Anum juga segan untuk bertanya. Nanti dikatakan menyibuk pulak. Dia masih ingat pesan mak sewaktu mahu berangkat ke Kuala Lumpur selepas mendapat tawaran pekerjaan sebagai kerani di Jalan Pantai. Kata mak, pandai-pandai membawa diri di rumah orang. Jaga perlakuan dan tutur bicara. Cuma yang dia pasti kebelakangan ini ada seorang lelaki tampan yang saban hari menunggu di luar pagar mahu berjumpa kak Laila, namun tidak pernah dihiraukan kak Laila. Dan sekarang ini lelaki itu menjadi topik perbualan antara kak Ain dan kak Laila. Dia tidak pasti apa hubungan lelaki itu dengan kak Laila.


"Laila.." Ain terus memujuk.


"aku..kau tak kesian ke."


Ain geleng kepala. Nafas deras dilepaskan.


"Laila, kau macam tak kenal aku..."


"atau kau yang dah tak kenal aku lagi."


"Laila..." Mata keduanya saling merenung. Tajam. Anum telan air liur. Laila angkat tinggi tangan kiri.


"Ain...tolong hormat perasaan aku. Tolong. Jangan sebut tentang ni lagi."


"Lailaaa...cuba la faham maksud aku."


"Kau mungkin boleh melihat dan menjadi saksi apa yang dah terjadi pada aku dahulu Ain, tapi kau tak akan dapat merasa apa yang yang ada dalam hati aku ni. Tak akan, Ain. Sampai saat ni aku tak boleh lupa. Tak boleh lupa, Ain. Kerana dia, aku hilang Sofi. Kerana dia Sofi mati. Kerana dia, Aya Sofya aku mati!!!!" Laila tolak kerusi. Langkah laju dibawa keluar dari ruang dapur. Anum terkebil-kebil. Tidak mengerti apa-apa. Ain mengetap bibir. Tangan kiri mengelus ubun-ubun kepala. Wajah comel Sofi terdampar di meja.

5 comments:

The Lady Chosen said...

wah mcm best jep cerita ini, ermm emosi pulok masa baca entri kali ini XD

cikbuwlan said...

Best! Sambung cepat :)

ayang007 said...

semakin menarik... penuh ngan emosi plak kali nie ekk???

Kak Sue said...

best nya... baru sempat layan ni...

Makanan Kesihatan said...

ohh..msti lelaki tu peguam mk kndung sofi..

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...