Friday, January 15, 2010

Rindu Semalam - Bab 33

Bab 33

Buah kepayang di tepi sauh
Patah ranting didalam perigi
Orang kusayang semakin jauh
Tak mungkin akan bertemu lagi…

Benarlah bagai dikata bila orang yang kita kasih dengan sepenuh jiwa raga sudah melangkah dan tidak akan berpaling lagi lantaran dia sudah menyambut huluran kasih orang yang lain, rasa kehilangan itu bagai mengoncang nyawa. Seakan mahu mati! Longlai segala sendi dan saraf. Sukarnya menerima hakikat ini. Payahnya menelan kebenaran yang terbentang dihadapan mata. Tertutup sudahkah peluang untuk diri ini menggapai dia yang kian kabur dari pandangan. Dia sudah semakin jauh...jauh dari dirinya. Tiada lagi ruang buat diri ini untuk terus berada dihati dia lantaran sudah ada orang lain yang bertakhta di singgahsana jiwa. Dirinya cuba redha...bukan bukan, dirinya mahu redha dengan segala yang tersurat ini. Mungkin sudah tertulis tiada jodoh antara mereka.

sedarlah Akhmal...dia sudah lama pergi. Dia sudah membuat pilihan hidupnya...doakan kebahagiaanya.

Ya...aku akan doakan dia bahagia dengan pilihannya. Bahagia hingga ke hujung nyawa.

Pertemuan dengan Taufik kembali memutarkan kenangan. Akhmal tahu Taufik serba salah. Akhmal tahu Taufik dalam dilema. Ucapan maaf yang tulus dari Taufik begitu menyentuh hati lelakinya. Akhmal tahu Taufik tidak sesekali berniat mengambil kesempatan, jauh sekali menikamnya dari belakang. Akhmal tidak sesekali menyalahkan Taufik didalam perkara ini. Soal hati ini urusan yang Esa. Tiada upaya untuk kita mengelaknya. Lagipun mana mungkin lelaki itu tidak tertarik pada peribadi Duhaila yang sangat istimewa. Masakan lelaki itu tidak terpukau dengan pesona milik seraut wajah itu. Dan akuan ikhlas itu diterima dengan terbuka oleh Akhmal. Sekurang-kurangnya Taufik jujur padanya. Setidak-tidaknya Akhmal tahu belahan jiwanya itu sudah memilih seorang yang terbaik buat dirinya. Akhmal cukup mengenali Taufik. Akhmal pasti...teramat pasti Duhaila sudah membuat pilihan yang tepat. Taufik pasti akan menyayangi Duhaila sepenuh jiwa. Tubir kolam yang sudah terbit percikan aliran air hangat pantas diseka kura tangan. Ya, dia memang sedih. Sangat sedih. Akhmal tidak dapat membohongi hatinya kala ini. Kehilangan kali ini begitu terasa.

Kedua-dua belah tapak tangan diraup ke wajah. Nafas dihela panjang.

"papa...papa sedih ke?" suara halus menyapa cuping telinga. Pantas tangan dijatuhkan. Akhmal menundukkan kepala kebawah. Seraut wajah hairan sedang merenungnya tanpa berkelip. Akhmal tersenyum lalu menggeleng-gelengkan kepala.

"tak, mana papa ada sedih..."

"tapi Ben dengar macam bunyi orang sedih...tu mata papa pun merah."

Akhmal merendahkan tubuh sasanya lalu duduk disebelah Benjamin yang masih berdiri dan masih merenung. Akhmal tahu anak tunggalnya itu tidak puas hati dengan jawapan Akhmal.

"mata papa masuk habuk masa papa kemaskan rak buku papa tadi. Papa gosok mata kuat sangat tadi tu yang mata papa jadi merah sikit. Ben buat apa masuk bilik papa ni?"

Akhmal lihat Ben menundukkan wajah. Murung.

"Ben ada masalah?."

Masih jeda.

"Ben taknak beritahu papa?"

Bibir mungil itu bergerak-gerak seakan mahu memberitahu sesuatu. Akhmal melihat tangan Ben yang diletakkan ke belakang dari tadi bagai memegang sesuatu. Akhmal tidak mahu terburu-buru. Dia mahu memberi ruang kepada Benjamin.

"kalau Ben tak nak cakap, papa tentu tak tahu apa masalah Ben...dan papa tentu tak dapat nak tolong Ben selesaikan masalah tu."

Mata indah itu bulat memandang ke arah anak mata Akhmal.

"Papa tak marah kalau Ben cakap." Akhmal menggeleng.

"Promise papa?" sebelah tangan diangkat seakan memberi ikrar angkat sumpah.

Ben dilihat mengeluarkan sesuatu dari tangan yang disorokkan ke belakang tadi. Akhmal memerhati dengan tekun. Sehelai kertas yang sedikit lusuh kesan seperti dikerenyok.

"Papa...boleh tak Ben tak pergi sekolah besok?' Dahi Akhmal sudah sedikit berkerut. Ponteng?

"kenapa Ben tak nak pergi sekolah besok? Ben ada buat salah di sekolah?" Kepala anak kecil dihadapan Akhmal ini sudah menggeleng pantas.

"Ben bergaduh dengan kawan ke?' Ben kena buli dengan kawan?"

"bukan papa...bukan." tangannya pantas menghulurkan kertas yang dipegang tadi kepada Akhmal. Kertas disambut perlahan oleh Akhmal.

"sebab ni...Ben tak tahu nak buat homework ni papa. Teacher kata semua kena buat dan hantar esok. Teacher cakap nanti Ben kena cerita kat depan kelas. Cerita depan kawan-kawan. Ben takut papa...Ben takut."

Mata Akhmal melihat kertas yang dihulur Ben. Setiap patah perkataan yang tertulis di atas sekeping kertas putih yang hampir lusuh itu direnung. Mata Akhmal pedih. Pantas kepala anaknya itu dirapatkan ke dada.

"Ben takut papa nanti teacher marah kalau Ben tak buat...nanti kawan-kawan Ben ketawakan Ben kalau teacher marah Ben." Sendu bertali pada suara halus itu. Hati Akhmal tambah pilu. kasihannya anakku ini!

"takpa..nanti papa cakap dengan teacher ok. Teacher takkan marah Ben."

Kepala diangkat sambil mata yang masih basah tunak memandang Akhmal. Bercahaya mata dihadapannya saat itu.

"promise papa?" Akhmal mengangguk sambil tersenyum. Kertas yang sudah lusuh tadi direnung kembali. Matanya terasa panas.

Ibu saya...

Su...kesian Ben...kesian anak kita Su!

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...