Thursday, September 19, 2013

Kerana Cinta Itu Ada Saktinya - Bab 3


Bab 3

AIDA RASA nafas bagai terhenti. Denyut nadi dan degup jantung seolah-olah mati. Kepala ligat berfikir tentang apa yang bakal menanti dirinya kini. Kalau nak laripun takkan sempat lagi. Orang yang disebut Puan Anne sebentar tadi sedang dalam perjalanan ke sini. Ya, Allah...apa nak buat ni? Matilah macam ni. Tapak tangan sungguh dah basah dengan hujan peluh dan debar yang silih berganti. Kaki dah terpasung di lantai dari tadi. Tak mampu nak gerak ke sana sini lagi. Lidah sungguh dah terkunci dek pinta Puan Anne untuk dia menunggu sang algojo nan bengis yang akan pasti memancungnya sebentar lagi. Aduh, menyesal rasanya berlama-lama disini tadi. Kalau minta diri awal-awal, kan dah selamat Aida! Tak perlu nak serah diri untuk berdepan hukuman mati mandatori!
       Kenapalah dia harus sampai terhumban dalam masalah sebegini. Cuai sungguh kau, Aida. Tengok apa dah jadi. Kalaulah "orang itu" mahu memanjangkan perkara ini, harus bagaimana. Aida ketap bibir. Eh, nanti..nanti. Mata Aida laju berkelip. Bukankah kata puan Anne tadi "orang itu" sudah gugurkan tuduhan dan takkan memanjangkan perkara ini. Entah iye entah tidak. Kalau itu cuma helah supaya dapat berjumpa dengan Aida secara empat mata dan melontar aduan rasmi bagaimana? Aida telan liur. Tubuh tiba rasa mengeletar. Nafas kembali tidak tentu hala arah tujunya. Kenapalah harus dia berdepan perkara seperti ini. Bukan mahunya semua yang telah terjadi. Itukan sudah tertulis bahawa hari ini anaknya "orang itu" akan ditimpa musibah tadi. Siapa kita mahu mengelak.  Tapi manusia kan tetap manusia, Aida. Manakan sama fikirnya. Aida tak tahu apa yang perlu dibuat lagi. Bertawakkal sahajalah yang dia mampu kini. Allah,pada Kau hambamu ini berserah.
      "Aida.."
      "Aida.."
      "Aida?"
      Kepala yang terawang entah ke benua mana bagai terhentak ke dasar paling bawah bila bahu terasa disentuh tiba-tiba. Tangan lembut yang singgah menghantar isyarat serta merta membuatkan kepala Aida mendongak ke atas. Melihat wajah tenang wanita separuh umur yang berdiri didepannya, Aida rasa masanya sudah sampai. Siap sedialah kau Aida. Air liur yang ditelan jadam benar perisanya. Allah. Perlahan-lahan tubuh berdiri. Rasa tak terdaya. Dua tangan saling memaut debar. Denyut nafas libang libur tak terhitung. Makin deras. Makin kencang. Tangkai jantung sudah terlerai sungguh dari tampuknya. Ini yang sedang dirasakan. Ini yang sedang dialami. Begini rupanya rasa kala menanti hukuman mati. Cuma beza, dia bukan banduan dari tirai besi yang menanti hukuman dilaksana. Dia pesalah langsung yang akan berdepan hukuman segera. Tak ada tempoh. Tak ada sesi rayuan. 
     "Eerr..iye, puan." Bergetar bibir melantun kata.
     "Aida ok tak ni,hmmm."
     Kepala diangguk. Bibir bergetar dalam gerak perlahan. Terasa benar pahitnya senyum yang hilang manisnya biar sehabis daya cuba dimandikan air gula. Peluh sudah menitis  di pelipis. Lekas-lekas jari dibawa ke hujung mata.
    "Err..dah sampai ke encik Fazwan, puan?" Kepala Puan Anne dilihat mengangguk perlahan bersama sebuah senyum yang meniti dibibir. Janganlah senyum, puan. Hati saya ini dah tak ada nyawa mahu membalas. Sungguh mati saya tak terdaya dah puan. Tangan terasa dicapai dan dielus lembut. Mata spontan meniti di wajah manis bertudung biru langit didepannya kala ini.
       "Jom, dia dah sampai kat luar rasanya. Tadi makcik Ainon beritahu ada orang lelaki muda datang dan tunggu di luar. Tentu dia. Marilah kita pergi. Tak elok biarkan tetamu menanti kan."
        "Dah sampai? Siapa, puan?" Seakan orang dungu Aida bertanya lagi. Puan Anne dilihat tersenyum manis. Bahu Aida dipaut lembut. "Aida takut ye,hmmm." Ketawa kecil tersuring dari bibir merah delima puan Anne. "Encik Fazwan Anuar tu tak makan orang, Aida. Lagi-lagi cikgu cantik manis macam Aida ni. Hai, siapa la yang terdaya nak marah. Dah jom. " Tangan terasa ditarik lembut. Kaki yang kaku terpasung sejak sejam tadi terasa bagai sebongkah balak kala melangkah. Dua tubuh saling bergerak keluar daripada bilik pengetua. Dalam melangkah, minda Aida laju mencerna semula tiap butir bicara puan Anne yang terluncur sebentar tadi. Nama yang disebut tadi diulang sebut. Berbisik dalam hati. Fazwan Anuar. Mata terasa hangat. Allah.
        Dia dah sampai!
        
"SAYA MINTA MAAF, cikgu." Fazwan tenang menitip bicara mula dari bangku kayu yang terletak tidak jauh dari pagar. Kata-kata dan pesan Dian yang seketika tadi masih lekat di kepala. Daddy kena cakap terima kasih kat teacher sebab dah tolong Dian tadi. Daddy kena say sorry kat teacher tadi sebab daddy dah marah teacher tadi. Say sorry, daddy. Nafas berdesir penuh debar. Memang salah dipihaknya yang buru-buru menghambur tuduh, melempar debu amarah. Segala kutukan memang seharusnya dihumbankan kepadanya. Fazwan jadi malu pada diri sendiri. Terlebih-lebih kepada si cantik disebelahnya ini yang tidak langsung menitip rasa yang pastinya ada tersimpan kesan perlakuan kurang matang Fazwan. Rasa itu Fazwan pasti disimpan kemas didalam  peti hati yang dikunci rapi. Tadi usai bersembang panjang dan menghulur maaf atas lanjur kata dengan puan Anne, Fazwan meminta izin untuk berbicara sendirian dengan si tudung hitam disebelahnya ini. Mahu memohon maaf dan mengucap terima kasih secara empat mata. Namun Fazwan tahu bukan mudah kerana si tudung hitam disebelahnya ini tidak langsung memberi maklumbalas sejak tadi. Dari mula kaki melangkah masuk memang langsung tiada sepatah kata yang keluar dari delima nan seulas ini. Terkunci rapat. Hanya tunduk sahaja. Mengangkat muka pun cuma sekali...waktu diperkenalkan tadi. Selebihnya hanya diam seribu bahasa. Jeda. Bisu. Semuanya. Hanya puan Anne yang banyak berkata. Fazwan buat konklusi sendiri. Mungkin si dia yang diperkenalkan kepadanya dengan panggilan cikgu Aida ini masih marah akan lancang kata Fawzan atas peristiwa yang menimpa Dian tadi.
       "Saya kesal atas lancang mulut saya tengahari tadi. Saya tahu cikgu tak bersalah. Cikgu langsung tak terlibat atas apa yang berlaku pada Dian. Saya yang hilang waras entah ke mana. Saya yang dangkal fikiran dalam mengatur lidah. Akal terbang entah kemana agaknya waktu tu. Kalau cikgu mahu saya mohon maaf secara rasmi, saya akan lakukan. Saya akan tulis surat kepada puan Anne. Kalau itu yang cikgu mahu. Saya tahu saya telah mencalar kredibiliti dan maruah, cikgu. Tuduhan saya terlalu berat dan nyata kurang ajar. Saya benar-benar mohon maaf pada cikgu. Tapi..." Fazwan tolak perlahan bingkai cermin mata yang sedikit melorot. Mata dikalih sebelah. Susuk tubuh bertudung hitam dengan sepasang kurung lembut yang tersarung dilihat jauh memandang ke deretan rumah-rumah kediaman dihadapan. Fazwan hela nafas perlahan sebelum kembali menyambung bicara. "kalau cikgu rasa saya memang benar-benar tak layak dimaafkan atas dasar kurang ajar saya yang keterlaluan tengahari tadi, saya faham. Saya takkan salahkan cikgu. Cikgu berhak berbuat demikian." Fazwan kembali memandang si dia disebelah. Dalam hati sudah berjela doa dikarang. Mohon agar si tudung hitam ini tidak membiarkan Fazwan terus terpenjara dengan rasa kesal dan bersalah yang tidak terhingga.
      Aida yang sedari tadi takzim melontar titip pandangan ke banjaran bongkah-bongkah kediaman yang menjadi jiran tetangga tadika ini menoleh perlahan kesebelah. Dua pasang mata bertembung. Entah mengapa dia tidak tega mengalih pandangan. Sepasang mata yang dilatari kaca mata terus menjala pandangan. Degup nafas yang bernaung di jiwa bergerak perlahan. Kata-kata maaf lelaki ini tadi masih terngiang-ngiang di cuping. Benarkah dia mahu menghukum lelaki ini atas segala lancang katanya tengahari tadi? Benarkah dia mahu melampias amarah kerana membuatkan jiwanya jadi ketakutan tidak terhitung tadi dek kerasnya makna kata-kata yang dilontar lelakinya kepadanya tengahari tadi? Benarkah ini dirinya yang kejam tidak mahu menyambut maaf insan yang mengharap ikhsannya. Benarkah ini Aida, dirinya? Air liur yang ditelan rasa sesak benar menuruni lohong nafas. Perlahan-lahan dibawa wajah kehadapan.
    "Saya tak salahkan encik Fazwan. Jika saya ditempat encik Fazwan, saya..." Aida kembali menoleh kesebelah. Wajah itu masih takzim merenungnya. Tidak berganjak. Bibit debar mengetuk pintu hati. Dihala semula pandangan ke depan." mungkin akan bertindak serupa tadi. Kita cuma manusia, encik Fazwan. Sehebat manapun kita, tetap kita bukan makhluk yang sempurna. Khilaf itu mainan hidup manusia seperti kita. Adakala kita terlupa yang amarah itu bunga-bunga syaitan yang ada dalam diri tiap manusia. Kitalah yang harus bijak mengawalnya dari berkembang mekar." Aida khali sejenak. Dan Fazwan yang takzim mendengar rasa bagai ada busar yang tajam menikam dada. Kata-kata penuh berhemah dan bersulam makna yang cukup mendalam yang ditutur si tudung hitam disebelahnya ini sungguh buat Fazwan malu pada diri sendiri. Tenang bicara Aida buat Fazwan sedar kerdilnya diri. Maafkan saya, cikgu! 
     Aida hela nafas sebelum menyambung kata. Mata masih melontar tatapan ke hamparan deretan kediaman dihadapan. Suasana damai di awal petang dengan redup biru langit yang memayungi bangku tempat dia dan lelaki disebelahnya ini berlabuh sejak tadi. "Dan saya tahu encik Fazwan tidak berniat mahu menutur kata-kata tadi...cuma.." Bibir Aida ukir senyum seraya menoleh kesebelah. "saya ni memang mudah terperanjat. Cengeng pun iye. Jadi tentu sahaja pengalaman tadi sesuatu yang amat menakutkan bagi saya. Tapi tak apalah. Semuanya cuma salah faham. Kan? " Bibir masih belum usai mengukir senyum. Mata tenang melihat senyum si kaca mata disebelahnya ini manis terhampar menyambut huluran senyum Aida.
    "Alhamdulillah. Lega benar saya bila cikgu cakap macam tu. Lapang hati saya. Terasa beban seberat bongkah batu besar tadi yang terhempap didada sebelum ke mari sudah diangkat dari tubuh."
     "Aida sahaja, encik Fazwan. Tak perlulah bercikgu-cikgu dengan saya. Bukan cikgu bertauliahpun saya ini. Sekadar pembantu tenaga pengajar sahaja di sini. Tak layak benar rasanya dipanggil dengan gelaran begitu."Senyum Aida diiring anggukan perlahan. 
    "Tetap cikgu, Aida. Tetap pendidik pada kelompok insan yang mahukan ilmu.Kena bangga bila dipanggil dan diseru begitu."
     Senyum Aida tersuring. Manis.
    "Sekali lagi jutaaan maaf dari saya, Aida. Terima kasih juga kerana membantu Dian sewaktu dia jatuh dari buaian tadi."
    " Saya jugak, encik Fazwan. Maafkan saya. Dian macammana ye lukanya tadi?"
    "Fazwan, Aida. Just Fazwan. Tak perlu berencik-encik dengan saya. Kita bukan berada di pejabat saya sekarang kan. Dian ok. Saya dah bawak ke klinik tadi. Dah cuci lukanya tadi, dia ok."
     "Maafkan saya encik Fazwan. Cuai daripada pihak saya juga."
      Fazwan senyum seraya menggeleng kepala. "Fazwan, Aida. Just call me, Fazwan."
     "Tapi.." Aida kemam bibir. Mata tersangkut ke wajah berkaca mata disebelahnya ini.
     "Atau nak saya panggil orang disebelah saya ni teacher Aida. Macam Dian panggil cikgu-cikgu disini. Sedap jugak bunyinya ditelinga saya."
     Ketawa Aida terhambur. Spontan. Fazwan juga ketawa. Aida geleng kepala. Tak mahu diseru begitu. Segan. Aida tau kanak-kanak disini memang diajar memanggil tiap tenaga pengajar disini dengan panggilan teacher bersesuaian dengan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar disini. "Teacher Aida." Entah kenapa bibir spontan menutur kata-kata yang dituturkan lelaki disebelahnya ini.  Fazwan yang mendengar hanya tersenyum.
    "Aida sahaja encik Fazwan.."
    "Fazwan, Aida. F-A-Z-W-A-N."
    Aida kemam bibir. Kepala mengangguk. Matanya yang bersinar terus melontar pandangan kesebelah. "Faz..wan. Fazwan."
    Fawzan angguk. Senyum. "Saya Fawzan Anuar. Selamat berkenalan."
     Aida senyum.
    " Saya Aida Awliya. Selamat berkenalan juga." Aida angguk kepala. Perlahan. Dan senyum kedua-dua saling meniti bersama susuk tubuh Puan Anne yang setia berada di nun di palang pintu masuk. Dua tangan saling memaut tubuh. Segala yang terbentang didepan mata diiring dengan senyum manis dibibir. 
     Aida Awliya. Hmmm...sedapnya nama si tudung hitam ini. Orangnya...manis sangat! Fazwan senyum dalam hati.

3 comments:

_aniesue_ said...

saya aniesue.. a.n.i.e.s.u.e. selamat berkenalan juga;))

Kak Sue said...

Fazwan dah tertawan Teacher Aida... dalam hati Fazwan ada taman dahhhhh.....

Fiza said...

saya j.i.e.j.a.f.a.r.i.z.a. salam perkenalan jua. ;))

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...