Thursday, January 2, 2014

Tika Itu...Inai Masih Merah - Bab 4


Bab 4
“MAMA…”Langkah kecil Abid laju menuruni sofa menuju pintu utama yang terkuak usai telinga menangkap ucapan salam dari lontaran suara yang tidak asing ditelinga. Tubuh bersarung pijama biru berjalur putih pantas memaut jari-jemari Hannan lalu dikucup. Seperti selalu.
Hannan jala senyum.  “hai anak mama yang handsome. Kenapa tak tidur lagi ni,hmmm.” Jari-jemari kedua-dua saling berpimpinan. Dua pasang kaki melangkah beriringan ke arah ruang tamu. Makcik Diah yang dipanggil Hannan mak Diah; pembantu rumah Hannan merangkap pengasuh Abid sejak lahir bangkit daripada sofa. Tubuh sederhana yang berbaju kurung Kedah  dan berkain batik usap kepala Abid yang sudah berdiri disebelahnya.
            “Lambat Hannan balik hari ni. Banyak kerja?”
            Kepala Hannan mengangguk. Sekuntum senyum kecil dihadiahkan.  Anggukan dan senyuman yang hanya sekadar lakonan untuk menyembunyikan perkara yang telah menimpa diri usai keluar dari pejabat tadi. Tubuh dilabuhkan ke sofa. Burberry dibahu ditanggalkan dari sandang lalu dihamparkan ke perut sofa disebelah.  Tangan mencapai tubuh kecil Abid dan dihamparkan ke riba.  “Jalan sesak pulak tiba-tiba malam ni mak Diah.  Hannan pun tak tahulah pasal apa.” Bohong Hannan bersambung lagi.  Hannan sedar tidak wajar dia menipu wanita didepannya ini yang sudah bagaikan ibu sendiri sementelaah dia juga sudah tiada ibu lagi sejak kecil namun Hannan masih belum mampu menzahirkan kisah tadi.  Dia lewat bukan kerana alasan tadi. Hakikat sebenar, stereng Audinya terdampar lama dibahu jalan kala hujan tangis dan  esak sendu dihamburkan usai pertemuan tidak diundang tadi. Mahu dilontar jauh-jauh ingatan tentang segala yang terjadi tadi namun apalah daya. Dia mahu buang segala apa yang didengar tadi. Dia mahu padamkan bait-bait kata yang terakam agar tiada satu aksara pun yang tertinggal. Namun mindanya ternyata tidak mengizinkan seraut wajah itu dinyahkan daripada kotak ingatan biar rayuan demi rayuan dipohon.  Wajah yang seraut itu adalah wajah yang telah menyeret kembali putaran kisah paling tragis dalam hidup. Bilah-bilah merah kenanganan itu tidak mahu diingat lagi. Pelukan tubuh Abid diperkemaskan.
            “Mak Diah tu bukan apa, risau. Tu…”Muncung makcik Diah hala ke arah Abid yang selesa di riba Hannan. Mata Hannan turut jatuh ke tubuh Abid.
            “Kenapa dengan Abid, mak Diah? Demam dia datang lagi ke?” Kepala mak Diah menggeleng namun tapak tangan Hannan laju mencecah dahi Abid.  Bimbang bertamu. Namun rasa itu kendur kala tapak tangan yang singgah didahi Abid tidak mengesan apa-apa yang luar biasa. Tak panas.
            “Dia tak makan lagi tu, Hannan. Tak mahu jugak walau puas dah mak Diah pujuk dengan macam-macam cara. Katanya nak dinner dengan mama. Nak tunggu sampai mama balik. Risau mak Diah dibuatnya kut perut dia sakit sebab lambat makan nanti.” Mata Hannan sedikit bulat. Terkejut dengan kata-kata makcik Diah. Laju mata dilontar ke pergelangan tangan.
            “Abid tak dinner lagi? Kenapa ni sayang. Dah lewat sangat ni kan. Tau tak dah pukul berapa sekarang ni sayang. Cuba tengok jam mama.” Pergelangan tangan disua ke arah Abid yang selesa diriba.
            “11.” Senafas Abid menjawab.
            “11 malam sayang. Mana boleh lambat-lambat makan. Abid kan budak kecil. Lagipun..kesian kat nenek, sayang. Nenek pun tak nak makan sebab Abid tak nak makan dengan nenek.” Nafas dihembus perlahan kala melihat tiada tindakbalas dari Abid yang hanya mendiamkan diri. Mungkin merajuk. Mungkin marah dengan kata-kata Hannan. Makcik Diah angkat kening memandang ke arah Hannan. Jari telunjuk menekan dada. Isyarat.
            Hannan paut tubuh Abid rapat ke dada.  Dielus rambut halus Abid. Dikucup ubun-ubun anak tunggalnya ini penuh limpahan kasih. Abid penguat semangatnya untuk meneruskan hidup selama ini. Abid hadir kala dia sangka segala dalam hidupnya sudah tiada lagi. Tiada apa pun yang tertinggal. Hilang sekelip mata segala bahagia yang masih hijau. Tidak pernah menduga hidupnya baharunya yang paling bahagia boleh musnah begitu sahaja. Abid memberikan Hannan erti bangkit dari sebuah kemusnahan. Selama ini mereka mengharungi segala-galanya berdua. Abid buat Hannan tidak menoleh lagi landasan sejarah hidup paling pilu yang pernah dilalui. Abid buat Hannan pandang ke jalan didepan. Abid buat Hannan sedar dia ada tanggungjawab pada insan kecil bernama Abid Hilymi. Rambut Abid dielus lagi.
“Kenapa Abid tak dinner dengan nenek dulu, sayang. Kalau mama lambat Abid dinner dulu dengan nenek. Nanti Abid sakit sebab lambat makan mama susah hati. Nenek pun susah hati jugak. Abid kan anak mama yang baik. Abid kan selalu dengar kata nenek.” Makcik Diah sudah meminta diri ke dapur. Mahu memanaskan hidangan untuk mereka bertiga. Hannan rasa teramat bersalah. Kerana dia yang gagal mengawal juraian perasaan sedih yang menggila, dia teralpa tentang insan-insan lain yang sedang menantinya di rumah. 
            Abid hala dua tapak tangan ke pipi Hannan. Dipaut lembut. Dua pasang mata mereka beradu pandang.“Tapi Abid nak dinner dengan mama. Mama kan dah janji nak balik cepat dan dinner dengan Abid malam ni. Abid tunggulah sampai mama balik. Kita kan tak boleh mungkir janji dengan orang. Mama kata orang yang mungkir janji ni Allah marah. Abid tak mungkir janji..” Serentak kepala Abid digeleng. Laju. Mata dibenamkan lagi ke wajah Hannan. “Mama tak takut Allah marah mama ke?”
            Hannan angguk kepala. Dada rasa dihentak batu nan maha berat. Terpukul benar dengan kata-kata spontan yang terhumban dari ulas delima comel anak tunggalnya ini. Abid memang anak yang bijak dan sesekali kata spontan yang terlontar memang berisi dan tertampan ke batang hidung se penerima. Tapak tangan kanan Hannan laju diangkat tegak separas bahu. “Ok…” Hannan lontar nafas dalam-dalam. “ mama mengaku mama salah sebab mungkir janji nak balik awal dan dinner dengan Abid. Mama mintak maaf, sayang. Mama minta maaf banyak-banyak dengan Abid. Abid maafkan mama ok?” Abid angguk tulus. Dua senyum berpaut. Hannan capai wajah Abid. Hannan kucup dahi Abid. Ada rasa sebak yang tersangkut disitu. Dilabuhkan senyap-senyap. Maafkan mama, sayang. Diangkat kembali wajah Abid setentang dengan wajahnya. Hannan senyum. Paling manis.“ terima kasih, sayang. Mama janji mama takkan lambat lagi,hmmm.” Abid angguk lagi. Senyum polosnya nampak sinar bahagianya. Laungan perlahan makcik Diah dari arah dapur Hannan balas. Rerambut halus hitam Abid dielus. “ok jom kita dinner,hmmm. Kesian nenek tunggu kita kan.Nenek pun mesti dah lapar macam Abid.” Tubuh Abid diangkat dari riba. Hannan bangkit daripada duduk. Dua pasang kaki menghayun rentak kaki kea rah dapur.

“Mama…”
            Hannan yang memegang jug air terhenti pergerakkannya. Wajah Abid yang membuang pandang ke arahnya dibalas dengan senyuman.” Ada apa, sayang? Nak tambah nasi lagi?” Pinggan Abid yang sudah licin menangkap sisi mata. Hannan letak jug usai menuang air ke dalam gelas lalu diletakkan disisi kiri Abid.
            Abid geleng. Mulut yang berhenti mengunyah itu memandang tepat ke wajah Hannan sebelum membuang pandang  ke dada pinggan didepan yang kosong. .Bibirnya tiba-tiba dikunci. Hanya gerak mata yang berbicara.
Dahi Hannan berkerut. Pelik dengan perlakuan Abid yang tiba-tiba. Ditoleh ke sebelah. Raut makcik Diah dijamah. Cuba mencari jawapan. Makcik Diah dilihat menggeleng kepala. Mungkin juga sama seperti yang Hannan rasa saat ini. Hairan dengan perlakuan Abid. Hannan elus lengan anak tunggalnya itu. “Sayang…kenapa ni,hmmm.” Wajah polos Abid yang bujur bersama sepasang matanya yang bulat diselusuri dalam diam.
Abid angkat wajah menatap Hannan.“Kenapa mama tak kahwin lagi dengan uncle Izz?”
Hannan terkesima sesaat. Sungguh dia terkejut. Senyum makcik Diah yang sudah selesai makan melebar mencecah telinga. Tangan mencapai kendi disisi. Dihulur tangan sambil mata mengerling ke wajah comel anak asuhannya di depan. Kepala digeleng. Tuala kecil buat pengelap tangan dicapai. Dielus jari-jemari kanan. Bibir ukir senyum lagi. Abid..Abid.  Makcik Diah sedia maklum Abid memang adakala tak terduga kata-kata yang keluar daripada bibirnya. Boleh buat hilang ayat mahu membalas dibuatnya!
Mata Hannan terkebil-kebil sebelum bibir perlahan-lahan luncur ketawa kecil. Ketawa kecil yang akhirnya merebak menjadi besar dan kuat. Rambut Abid dielus lembut. Kendi dicapai. Tangan kanan Abid dihulurkan. Dicuci. Tuala kecil yang diberikan mak Diah dicapai lalu dielus ke tapak tangan Abid.
“Out of  the blue, sweetheart. Kenapa tiba-tiba Abid cakap macam tu,hmmm.” Gelas air suam didepan dicapai. Disua ke bibir Abid. Mata masih belum berpaling dari merenung Abid.
Abid renung wajah Hannan. Ditolak gelas usai separuh air memasuki lohong kerongkong. Dihempas nafas bersama sebuah desir perlahan namun tertangkap di cuping Hannan. Diletakkan kembali gelas didepan. Pasti ada benda yang sedang bersarang di fikiran anak tunggalnya ini. Hannan tahu benar! Hannan hulur senyum.
“Ok..Abid nak cakap apa dengan mama sebenarnya. Let us talk,hmmm. Abid beritahu mama apa yang ada dalam fikiran Abid.”
“Kalau mama kahwin dengan uncle Izz, mama tak payah lah lagi balik lewat. Mama kata mama balik lewat sebab mama kena kerja kuat cari duit banyak. Kalau mama kahwin dengan uncle Izz, uncle Izz  boleh bagi duit banyak pada mama. Mama tak payah kerja kuat-kuat lagi. Mama boleh balik rumah cepat. Betulkan nenek?” Abid hala sepasang matanya ke wajah makcik Diah. Ibu jari kanan makcik Diah hala ke langit. “Pandai cucu nenek.” Senyum makcik Diah terus melebar.
Hannan geleng kepala bersama senyum kecil. Kepala Abid terus dielus. Dada yang bergelumang dengan perkara yang tiba-tiba hadir dalam hidup sedaya upaya dihijab dari terkesan oleh Abid mahupun makcik Diah.  Sungguh… nafas seakan terjerut dengan kemunculan perkara yang memang tidak terduga itu. Perkara yang langsung tidak diundang!
“Hannan….”
            Kepala Hannan terpusing kala cuping menyambut suara yang menyeru namanya. Bibir menyuring senyum kecil melihat susuk tubuh makcik Diah mengambil duduk disebelah.
            Makcik Diah labuh duduk disebelah Hannan. Ruang tamu yang suram cahayanya tadi buat langkah kaki laju menapak ke bawah. Melihat dari jauh Hannan yang tenggelam dalam perasaan dan  mengelamun di sofa, hati tuanya pasti memang ada sesuatu yang disembunyikan ibu muda ini. Sejak Hannan balik tadi dia sudah dapat mengesan sesuatu di wajah indah ini. Ada sisa tangis yang tersirna di wajah Hannan biar cuba dipadamkan dengan senyum dan tawa. Dia tahu Hannan berbohong tadi. Riak wajah Hannan lain benar kala berkata-kata. Malah sejak dua tiga hari ini makcik Diah dapat merasakan ada sesuatu yang telah berlaku. Detik di hati itu tambah kuat bila Abid ada menceritakan kelmarin tentang Hannan memarahi seorang lelaki di luar klinik semasa membawa Abid ke sana. Tidak pula mahu ditanya lanjut tentang perihal itu kerana menanti Hannan bercerita sendiri namun nyata tiada langsung bibit-bibit itu muncul.Makcik Diah akur. Hannan kini bukan lagi Hannan yang dahulu. Hannan kini sudah lain!
Bukan dia tidak kenal Hannan. Daripada Hannan kecil hingga kini, dia melihat pemilik lengkap nama Hannan Zahirah Lee Louver Abdullah ini membesar dengan pelbagai rencam hidup. Hannan gadis cantik yang lincah, ceria dan disenangi setiap pengunjung lodge milik ibu angkatnya di pulau Mabul. Dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibu angkat yang juga teman rapat ibu kandung Hannan setelah ibu kandungnya meninggal dunia akibat lemas di laut waktu menyelam.
            Hannan jala wajah manis.“Mak Diah tak  tidur lagi? Dah lewat ni..”
            “Hannan tu kenapa tak tidur? Esok pagi nak kerja kan. Fikir masalah kerja  ye.” Makcik Diah balas senyum Hannan. Cuba mengumpan. Kalau-kalau mengena dan Hannan akan membuka kisah yang tersimpan di dada.
            Hannan lepas keluhan berat. Rasa yang tersangkut di jiwa sukar benar mahu dilepaskan. Hati galau dikejar rasa yang paling tidak ingin dijemput untuk hadir di sanubari. Beberapa hari ini jiwanya dilanda ketakutan. Takut pada satu musibah yang bakal meragut seluruh bahagia yang selama ini dia bina dengan darah dan air mata. Kepala tertunduk. Tangan meraup wajah. Lama. Dilepaskan pautan tangan. Kepala diangkat perlahan. Disebak  ke belakang rambut panjang yang terjurai ke wajah.
“Dia dah jumpa Hannan, mak Diah.”
“Dia?” Raut wajah makcik Diah tertanya. “Siapa, Hannan?”
            Hannan telan liur. Nafas dihembus. Bibir dikemam. Lama. Mata terpejam seketika sebelum perlahan dibuka.“Haniff.” Raut wajah itu menari di mata.
            Mulut makcik Diah terlopong. Mata terkelip-kelip.
            Hannan capai tangan makcik Diah. Mata terasa hangat. “Hannan takut, mak Diah. Hannan takut.” Bibir bergetaran. Menggigil.
            Makcik Diah elus belakang Hannan. Cuba menyalur semangat.” Hannan, sabar. Ingat Allah, nak.” Kisah Hannan dan Haniff tidak mungkin mampu dia lupa. Sampai hati Haniff buat Hannan sekejam itu.
 Hannan ketap bibir. Dada rasa bergoncangan. Bimbang benar dengan segala rasa yang hadir di fikiran. “Kalau dia..dia datang..dia muncul semata-mata nak rampas Abid daripada Hannan. Kalau..kalau keluarga dia tahu pasal Abid, macam..macammana, mak Diah?” Hannan geleng kepala. Laju. Air matanya tumpah juga akhirnya. Esak bergema.Kenangan maha pahit  yang menimpa hidup dahulu tertayang di layar fikiran. Satu persatu wajah yang telah menikam jiwanya, mencincang hatinya, membunuh semangatnya kembali menghentak kotak ingatan. Dada berombak. “Keluarga dia kejam, mak Diah. Mereka kejam.” Bibir Hannan menggigil.  
Bahu Hannan dipaut makcik Diah. “In shaa Allah. Dia takkan tahu tentang Abid.  Hannan jangan fikir bukan-bukan, nak.”
Tangan dibawa ke pinggir mata. Diseka hangat air yang terus mengalir.  Kepala digeleng.”Dia macam dah tahu, mak Diah.  Tadi dia jumpa Hannan di tempat parking. Dia tanya pasal Abid. Dia tanya sapa ayah Abid. Hannan takut, mak Diah. Hannan takut, mak Diah. Lambat laun dia mesti tahu siapa Abid. Kalau dia tahu mesti dia akan rampas Abid daripada Hannan. Hannan tak boleh hilang Abid, mak Diah.” Tangisnya bergema lagi.
 Makcik Diah sudah tumpah airmata melihat pilu di wajah Hannan. Diseka laju. “Sabar, Hannan. Mintak pada Allah semoga semuanya baik-baik. Abid tetap milik Hannan sampai bila-bila.Tak ada sapa yang boleh ambik Abid daripada Hannan, nak. Percayalah cakap mak Diah, Hannan.”
“ Hannan tak boleh hilang Abid, mak Diah. Hannan tak sanggup.” Mata dipejam sesaat. Tidak sanggup membayangkan perkara tersebut. Abid nyawanya. Abid segala-gala buat Hannan selama ini. Dia hidup..dia bangun..dia kuat selama ini kerana Abid. “Baik Hannan mati kalau Hannan hilang Abid, mak Diah. Abid sahajalah harta hidup Hannan. ”Pecah lagi airmata. “Hannan dah tak ada ada apa-apa lagi dalam hidup ni. Mummy dah tak ada. Ibu dah pergi. Hidup Hannan dah musnah dulu. Kalau Abid tak ada, Hannan dah lama mati, mak Diah. Hannan dah lama mati.” Tubuh Hannan jatuh dalam pelukan makcik Diah. Esak tangisnya memenuhi ruang tamu. Bibir makcik Diah bergetar. Mata terpejam. Ya Allah…kasihani dia. Kasihani hambamu yang satu ini. Jangan ambil “nyawa” hidupnya. Hanya “nyawa” itu satu-satunya harta jiwa yang dia ada. Hanya itu satu. Jangan biar Abid diambil daripada hidupnya. Jangan ya Allah.

3 comments:

baby mio said...

BEST.

sara said...

Salam kucc...selamat tahun baru 2014.
Semoga sentiasa dpt idea yg best2 utk berkarya.
Kite dah habis baca LCDM. Best.
TQ kucc buat kite happy.

Citer yg baru ni pun mcm best je. Mcm syiok he..

Anonymous said...

Super best...

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...