Tuesday, December 3, 2013

Kerana Cinta Itu Ada Sakti- Bab 15

Bab 15
SAYA SUKAKAN AWAK, AIDA…
          Kata-kata itu terngiang lagi. Mata  yang tersangkut di siling dipejamkan sesaat dengan harapan segala yang terlayar dikotak fikiran lenyap dibawa hembus bayu malam yang dingin. Dikalih memandang ke kiri. Langsir yang terbuai-buai menggamit mata.Tubuh yang terbaring di ranjang dibawa turun dari katil. Kaki melangkah ke arah pintu gelangsar. Perlahan diputar lalu ditarik palang gelangsar.  Ditolak langsir yang terbuai menyentuh lantai wajah. Tubuh melolos keluar. Menapak perlahan meniti lantai simen beranda yang dingin disapa angin malam. Kepala mendongak ke atas. Kaki langit yang gelap pekat  bersama taburan bintang ditatap. Lama.
          Saya sukakan awak, Aida.
          Maat terkelip lagi. Untuk kesekian kali. Tapak tangan mencecah dahi. Dielus bersama gelodak perasaan yang sesak mengoncang tangkai jantung. Perlahan tubuh yang tegak dibawa mengelungsur didinding lalu bersandar di pintu. Kepala dilentukkan ke palang pintu. Melayan rasa yang mengetuk dinding hati. Langit malam yang sudah lama melabuhkan tirainya masih terus menjadi santapan sepasang mata Aida. Bagai ternampak-nampak baris kata yang sedang tersulam di lantai langit yang gelap berhiaskan kerlipan bintang-bintang yang indah. Seakan memberi sokongan bahawa dia bukan bermimpi. Jelas. Bibir dikemam. Cuping terus terhidang kata-kata yang sama. Dada rasa terapung. Sesak.
          Sungguh saya sukakan awak, Aida.
          Kepala digeleng bersama seluncur nafas yang ditarik dalam-dalam. Tak boleh. Tak boleh. Sandarnya di palang  pintu gelangsar yang ternganga sejak tadi masih belum mahu beralih. Tidak berkutik. Bintang malam yang bertaburan indah menghiasi lantai langit yang gelap terus menjadi halwa pandangan. Sendirian di rumah sejak lima hari ini buat diri makin sunyi. Aida tiada kawan untuk diajak berlawan kata.  Tiada kawan yang mahu diajak berbicara tentang persoalan yang sedang sarat di fikiran. Sungguh dia perlukan seseorang kala ini untuk meluahkan segala yang terkepung di ujana jiwa. Sungguh dia perlu. Sudah beberapa malam dia memikirkan permintaan Fazwan. Kalaulah Fyza ada di sisi tentu ada buah bicara Fyza yang mampu memberikan sesuatu buat Aida merangka jawapan untuk Fazwan. Buntu benar fikirannya saat ini.
          Aida tahu Fyza bukan sengaja mahu meninggalkannya keseorangan. Rakan serumahnya itu sudah pulang ke  kampung sejak lima hari lepas disebabkan kesihatan ibunya yang tiba-tiba merudum. Aida sendiri tidak pasti berapa lama Fyza harus berada di kampung. Ingin benar dia memberitahu Fyza akan apa yang bergumpal di sanubari namun Aida akur tidak sesuai benar jika mengganggu Fyza dengan persoalan hati sedangkan temannya itu sedang bertarung dengan masalah yang bukan enteng. Doa Aida  moga ibu teman baiknya itu akan kembali pulih seperti sediakala. Akan cuba diselesaikan sendiri gelora yang sedang membadai jiwa.  
          Mata terus asyik merenung langit malam yang sudah lama beradu. Hati gusar memikirkan hari esok. Pasti si dia tu akan singgah seperti beberapa hari lepas membawa jambangan bunga tanpa jemu bersama sebuah penantian jawapan dari Aida. Bibir dikemam. Nafas terus berlagu.  
          Nafas yang lembut terdesir buat Aida tiba-tiba teringatkan abang chik. Hati dipagut rindu. Lama benar tidak melihat wajah abang chik. Abang chik…Aida telan liur kala nama itu terpancar dari lohong suara. Kerja luar daerahnya makin kerap benar kebelakangan ini. Tapi abang chik walau tak jenguk Aida, kiriman smsnya tak pernah putus. Aida tahu akan kekangan masa abang keempatnya itu yang menggalas tanggungjawab menjaga Aida di sini. Aida pun dah pesan pada abang chik tak perlu bimbang. Aida boleh jaga diri sendiri, in shaa Allah. Aida tahu abang chik belum boleh diberitahu tentang hal yang satu ini. Bimbang benar Aida jika abangnya itu tiba-tiba menyerang Fazwan seperti dahulu. Paling ditakuti jika abang chik akan mengapa-apakan Fazwan. Soal hati dan perasaan ini saktinya tidak terjangka. Datang dan hadir tanpa diundang. Mana mungkin mampu ditegah. Urusan cinta ini urusan Dia yang satu. Ditiup ke jiwa tiap hambaNya lalu berkembang dalam hati dan bermukimlah ia di sanubari. Dan samada ia bakal bersatu dengan rasa yang satu lagi, Dia lah juga yang jadi penentu.
          Liur yang ditelan. Sukar benar mahu dibuang segala kenangan dahulu yang masih berbekas hingga kini. Langkah tidak boleh tersilap lagi. Hati tidak boleh tersalah tafsir lagi. Kasih tidak boleh tersalah bersemi lagi. Silap dahulu tak terdaya diulang lagi. Lukanya…Aida kemam bibir. Mungkin semua itu salahnya. Mungkin benar juga diri bukan yang terbaik buat Razman. Tapi Fazwan…Keluh berat terlontar. Seraut wajah penuh pesona itu menyapa layar kenangan.

          Mata Aida terkelip. Huluran bungkusan dari tangan Fazwan disambut lambat-lambat. Hujung jari pantas menekan butang lif.
          “Untuk saya?” Aida lihat wajah didepan yang tenang menyulam lirik senyum.
          Fazwan angguk. Bibir menyuring ulas senyum.
          “ Handbag ni untuk saya?” Aida tahu isi bungkusan ditangan. Lelaki dihadapannya ini yang memilih di butik ternama itu tadi lalu membayar dan menjinjitnya keluar.
          Fazwan angguk lagi.
          Aida telan liur.
          “ Awak bergurau ke ni, Fazwan?” Aida lontar sebuah renung tanya. “ Issh..jangan macam ni. Kan oranglain punya ni. Kenapa pulak nak bagi saya. Tak elokkan macam tu.”
          “Tak boleh ke saya belikan handbag ni untuk awak.?”
          Sepasang mata yang dilindungi kacamata dipandang lagi.
          “Tapi…tapi saya tak fikir ini untuk saya. Mungkin awak nak hadiahkan ni untuk orang lain.” Aida mahu memulangkan semula bungkusan ditangan namun melihat gelengan kepala Fazwan, tangan terjeda pergerakkannya.
          Fazwan senyum.“Untuk teman wanita saya? Itu yang awak maksudkan? Bukan awak ke teman wanita saya,hmmm.”
          Melihat senyum Fazwan…mendengar kata-kata yang spontan terlafaz oleh bibir itu Aida  merasakan seluruh wajahnya hangat. Senyum lelaki itu tambah menghuru-harakan jiwa.
          “Mu..mungkin. Mungkin awak mahukan pendapat seorang kawan perempuan seperti saya untuk belikan hadiah yang sesuai untuk dia.”
          “Aida…”
          Suara bak bayu yang berhembus itu buat Aida tersihir seketika. Pandangan mereka bersatu.
          “Saya memang niat mahu belikan ni untuk awak. Hadiah ni memang untuk awak, Aida. Saya mahu awak pilih sendiri apa yang awak suka.”
          “Tapi..tapi kenapa awak nak belikan barang mahal ni untuk saya?”
          “Tak semahal awak, Aida.”
          “Saya…saya tak faham maksud awak, Fazwan.”
          “Saya sebenarnya sukakan awak, Aida. Saya harap awak juga sukakan saya, Aida.”          
         
          “Saya sebenarnya sukakan awak, Aida. Saya harap awak juga sukakan saya, Aida.” Aida pejam mata. Dua jari mengelus kelopak mata yang tertutup. Kata-kata lelaki itu lewat hari dia menghantar Aida pulang selepas membawa Aida ke pusat membeli belah terkenal di Kuala Lumpur masih basah terpahat di fikiran. Sungguh dia tidak menduga, lelaki itu benar bersungguh-sungguh. Mata..kata-kata. Semuanya tersihir kala itu.  Yang hanya mampu diluahkan cuma gelengan kepala. Keluhan kecil terluncur. Fazwan, awak terlalu sempurna untuk saya. Terlalu sempurna, Fazwan.
          “Saya sukakan awak, Aida. Sejak peristiwa Dian tempohari, saya rasa ada sesuatu yang berlaku pada  diri saya. Saban hari melihat awak..bercakap dengan awak, saya sungguh pasti sesuatu yang selama ini singgah dan bermukim di hati saya adalah awak, Aida.  ” Relung nafas Aida bergerak-gerak. Fikiran jauh dibawa melayang mengimbau pertemuan itu.
          “Aida, saya sungguh-sungguh sukakan awak. Dan saya tahu detik di hati saya takkan bohong.”
          Kepala Aida menggeleng.“Mungkin mainan perasaan awak sahaja, Fazwan. Lupakan. Saya bukan yang sesuai untuk awak.  Awak jangan keliru dengan perasaan awak. Kita cuma kawan, Fazwan. Kawan yang baru kenal diri masing-masing. Jangan salah faham dengan rasa itu.”
          “ No. I knew I’m not wrong about this feeling.”
          “Fazwan..awak..awak..” Bibir dikemam. Nafas terluncur. Sesak.
          “ Aida, saya benar-benar maksudkan. Saya mahu awak  tahu saya sungguh sukakan awak. Saya tak main-main, Aida.”
          Tapak tangan kanan diangkat sedikit.“Kalau awak masih anggap saya kawan, tolong jangan cakap tentang hal ini lagi, Fazwan. Tolonglah.”
          “Maaf kalau saya buat awak terkejut…tapi percayalah Aida saya benar-benar sukakan awak.”
          Aida lepas keluhan kecil.
          “Fazwan, saya…saya.” Kata-kata Aida mati disitu.
          “Tolong fikirkan kata-kata saya ini, Aida. Please. Saya akan tunggu jawapan awak. Tapi saya nak awak tahu…saya ikhlas sukakan awak, Aida. Ikhlas kerana saya yakin rasa ini dari Dia.” Wajah damai itu buat Aida tak keruan. Kata-kata akhir Fazwan buat Aida tidak terdaya membalas. Terpanar. Terkesima. Segalanya. Dipusing kepala mengadap ke depan. Langkah laju membawa tubuh melolosi badan lif yang ternganga. Wajah Fazwan yang masih memandang dijamah dengan pelbagai gelodak rasa sehingga wajah tu hilang ditelan pintu lif yang tertutup rapat.
          Aida raup wajah. Ada wajah itu yang masih terlekat di dinding fikir. Mata terus menerus dihantar ke langit malam yang pekat.

Dua tangan Aida laju menangkap tali buaian. Hampir putus nyawanya kala mata menangkap kelibat Dian Khalisha yang menghayun deras tali buaian di tengah halaman Taska My Little Sweet Home Child Care Centre. Berlari Aida ke arah buaian yang diduduki Dian. Mati dia kalau Dian jatuh lagi macam kejadian dulu. Sah-sah Aida tahu dia akan kena marah macam dulu. Daddy Dian tu garang jugak tau tak!
      Tangan menolak perlahan buaian. Tubuh Dian yang terbuai ke depan dan belakang ditatap dengan lontaran senyum. "Dian...jangan buai laju sangat, sayang. Nanti jatuh macam dulu teacher kena marah lagi dengan daddy Dian. Luka lutut tu nanti sampai berdarah macam dulu Dian nak ye." Aida lepas nafas. Dian ni tak padan dengan perempuan. Lasak betul.
    "Ala, mana ada jatuh teacher Aida. Dian oklah. Sikit jer dulu tu. Dian tak nangis pun kan masa jatuh tu." Suara Dian lantang terlontar dengan tubuh yang terbuai ke depan.
    "Kalau jatuh tadi, macammana? Daddy Dian nanti marah teacher Aida lagi tau. Dian suka ye tengok teacher Aida kena marah dengan daddy Dian?"
   "Daddy tak marah teacher Aida lagi macam dulu tu. Lagipun, daddy kan sangat suka teacher Aida. Mama pun cakap daddy sangat suka pada teacher Aida. Teacher suka daddy tak?" Dian toleh muka ke arah Aida. Bibir mungilnya menayang senyum yang manis. Tangan Aida terus menolak buaian. Kepala menggeleng perlahan. Sesak dada dibuatnya dengan kata-kata yang dilafaz si comel didepannya ini. Budak-budak sekarang nih bijak betul kalau bercakap. Mengalahkan orang tua! 
    Kepala si comel yang terbuai perlahan diusap lembut. Bibir Aida terus menguntum senyum."Dian kan masih budak-budak. Tak manis cakap macam tu tau kepada orang dewasa. Tak manis tau, sayang." Dian minta Aida berhenti menolak buaian. Dua tangan halusnya dilepaskan dari memaut tali buaian. Tubuh yang duduk ditayar bulat tegak mendekati Aida yang berdiri disebelah. 
   "Tak manis cakap tu macam mana teacher?" Dian muncung bibir. Telunjuk dihala ke bibir. Diketuk beberapa kali. Kepala menggeleng. "Dian tak fahamlah."
   Aida senyum lagi. Pipi gebu Dian dielus perlahan.
   "Macam ni. Hmmm, apa kata kita cakap di dalam. Sini panas sikit, sayang. Ok?" Dian angguk. Senyum dijala. Tangan Aida dipaut erat. Aida balas senyum. Pautan jari-jemari halus Dian digenggam rapat. Dan saat Aida mengangkat muka memandang ke luar pagar, kelibat sebuah BMW putih yang cukup dikenali buat langkah Aida mati disitu. Dian yang kehairan turut membawa pandangan ke arah depan. Bibir mungilnya lebar tersenyum. 
   "Daddy Dian dah sampai, teacher Aida." Tangan Aida terasa digoyang. Senyum dibawa ke wajah Dian yang mendongak pandang. Kepala Aida mengangguk.
   "Jom kita masuk ambil beg Dian dulu ye."
   " Ok." Tubuh comel laju menarik tangan Aida. 

"Assalamualaikum." Fazwan hulur senyum. Wajah indah didepan ditatap tenang. Ada rindu yang berdetik. Beberapa hari ini wajah ini tidak putus menemani tidur. Sungguh dia sudah tidak mampu membendung rasa itu lagi.
    "Waalaikumsalam.."Aida lempar wajah tenang. Dua tangan disilang ke belakang. Susuk tubuh segak berkemeja panjang jalur biru dengan tali leher biru tua membuatkan penampilan lelaki dihadapannya ini begitu berkarisma. 
    Fazwan geleng kepala. Senyum. Wajah cantik putih mulus dengan tudung tiga segi merah jambu yang tersarung dikepala cukup sesuai dengan kurung kapas berbunga putih merah yang terlekat di tubuh kurus tinggi gadis dihadapannya ini. Fawzan tahu khilaf tutur katanya yang terburu melafaz hasrat hati yang membuatkan si cantik dihadapannya ini terkejut dan bersikap dingin dengannya biar sudah beberapa kali huluran maaf diberi. Sudah diutus beberapa jambangan bunga sejak beberapa hari ini dikirim tanda maaf . Aida tetap begini. Aida tetap beku. Wajah manis ni mengingatkan pertemuan pertama mereka. Fazwan ingat benar hari tu. Hari yang menemukan dia dengan Aida Awliya yang manis ini. Bibirnya entah kenapa tiba-tiba jadi celupar dan laju memarahi Aida tanpa usul periksa hari tu. Hari dia diminta bantuan oleh Qistina untuk membantu menjemput Dian di tadika ini dan Dian jatuh daripada buaian ketika dia sampai di sini membuatkan Fazwan sedikit panik. Aida yang sedang membersihkan luka dilutut Dian terus sahaja dimarahi.
   "Aida marah lagi pada saya pasal hal yang saya cakapkan tu?"
    Kepala Aida digeleng. Mana mungkin saya marahkan awak, Fazwan.
   Dua pasang mata mereka bertembung. Aida tunduk sedikit. Mata dilarikan dari terus menjadi renungan lelaki dihadapannya ini. Dilepas helaan nafas halus yang menerpa. Pertanyaan lelaki ini menggamit kenangan beberapa hari lepas. Hari dimana lelaki ini meluahkan perasaan dan hasrat hatinya pada Aida. Ya Tuhan sungguh Aida terkejut tak terkira. Sungguh dia tidak menduga lelaki yang pernah memarahinya dihari pertama dia di sini pada hari mereka ditemukan buat pertama kali ada lelaki yang kini meluahkan hasrat hati kepadanya.
            “Aida…”
            Mata diangkat.
            “Ingat lagi hari pertama kita bertemu..”
            Bibir Aida tanpa sedar mengukir ulas senyum yang manis. Bertaut dua senyum.
Mana mungkin Aida lupa hari itu. Mahu gugur jantungnya dimarahi tiba-tiba waktu itu. Demi Tuhan bukan niatnya membiarkan Dian terjatuh. Mana mungkin dilakukan kesalahan itu. Dian itu tanggungjawabnya di sini. Dan disini tempat dia meraih rezeki sesuap nasi. Mungkin sudah tersurat diri menjadi mangsa amarah lelaki ini. Namun Aida tidak berdendam. Dia sudah memaafkan Fazwan.
“Saya rasa ada hikmah semua itu berlaku, Aida.  Saya dan awak dipertemukan. Dan saya tahu kita ada janji disitu. Janji yang sudah tertulis…buat awak…dan saya.”
Aida diam. Wajah ditunduk  seketika. Soal rasa…soal hati ini begitu menakutkan bila diulang kembali. Bukan dia mahu menolak makna takdir jika benar ia sudah tertulia cuma  jiwanya yang halus ini memang mudah terasa. Mudah menangis bila soal yang satu itu dibawa kembali. Dia tidak mampu lagi membicara soal perasaan. Jiwa yang hancur dek perbuatan lelaki yang satu itu belum terdaya menerima rasa yang baharu. Lukanya dihatinya ini masih belum sembuh.
     Fazwan lebar tersenyum. Aida..Aida. Hmmm. Awak tahu tak Aida, dingin dan keras hati awak disebalik redup wajah awak yang damai ini buat tidur malam saya terganggu hingga kini. Saya terpaksa Aida. Saya terpaksa meluahkannya. Saya dah tak mampu menyimpannya didalam hati. Saya tak mahu kehilangan awak!
    Aida angkat mata kembali. Sepasang matanya yang bundar melempar pandangan pada tatapan sepasang mata yang dihiasi kacamata milik lelaki dihadapanya ini. Lelaki yang dipanggil daddy oleh Dian. Hingga sekarang hatinya masih bertanya apa hubungan lelaki ini dengan mama dan papa Dian. Dan kenapa dia dipanggil daddy oleh Dian.
   "Aida, saya nak cak.."
   "Saya rasa eloklah awak beredar. Dian dah lama tunggu dalam kereta. Dia nak lunch dengan awak kan. Tak baik biarkan budak-budak macam tu lambat makan. Nanti mengundang penyakit pulak."
   Fazwan angguk tanda akur.
   "Aida taknak ikut sama?"
   "Saya puasa." 
    Fazwan senyum."Hari ni hari selasa, cikgu."
   "Err.." Aida gigit bibir. Fazwan yang tersenyum melontar tatapan membuatkan detik jantung Aida makin laju memukul debar. 
    "Saya..saya puasa ganti. Ha..puasa ganti."
   Fazwan senyum. Kepala diangguk. "Berapa hari lagi?"
   "Saya rasa hal ni bukan urusan awak. Jadi tak perlulah nak ambil tahu."
   "Suatu hari nanti akan jadi urusan saya, Aida. Dan ketika itu saya perlu ambil tahu sebab saya ada kepentingan di situ. Don't you think so teacher Aida?" Fazwan tayang senyum lebar. Aida laju hala mata ke luar pagar. Tidak sanggup ditentang sinar yang terpancar disebalik kacamata lelaki dihadapannya ini.
  "Eloklah awak balik. Kesian Dian lama tunggu dalam kereta." 
   Fazwan angguk. Wajah polos Aida direnung. Wajah yang sehari-hari tidak jemu ditatap. Wajah yang setiap malam menemani tidurnya sejak lebih tiga bulan kebelakangan ini. 
  "Aida, think of what i've said to you.I really mean it,Aida."
   Aida tetap bisu.
  "Saya benar-benar maksudkan kata-kata saya, Aida. I'm seriuos about it. I..."
   "Assalamualaikum, encik Fazwan." Aida laju mencantas kata-kata Fazwan. Dia tidak sanggup mendengarnya!
    Fazwan lepas desir nafas yang bertamu. Tenang.
   “Aida…”
  Kembali bersatu dua wajah.
  “Setiap daripada kita ada sejarah….tapi jangan sesekali sejarah itu buat kita jadi takut untuk melangkah ke hadapan. Saya mahu jadi sejarah yang baru buat awak. Sejarah yang manis dalam hidup awak buat selama-lamanya. Saya mahu kita berdua ukir sejarah yang terindah dalam hidup…awak dan saya. Awak tak perlu toleh ke belakang lagi. Saya takkan bertanya tentang sejarah awak yang dulu. Awak hanya perlu pandang ke depan dan sambut tangan saya. Saya akan bawa awak…pimpin awak untuk bina sejarah yang paling bahagia dalam hidup. In shaa Allah. Saya sayangkan awak, Aida. Sungguh sayang. Assalamualaikum.” Fazwan hulur senyum. Kaki diatur mendekati enjin Jerman berwarna putih. Lambaian Dian dibalas.
    Dan langkah Fazwan yang meninggalkannya usai membalas salam diekori dengan pandangan mata hingga kelibat enjin buatan Jerman berwarna kelabu itu hilang daripada pandangan.
      Kata-kata Fazwan tadi kembali dan terus bergema dihati. Bibir kuat diketap. Dua tangan memaut tubuh yang masih tegak memandang ke arah jalan yang kian lengang. Kepala digeleng. Nafas yang turun naik mengikut denyut nadi seakan mengerti rintih naluri. Tak boleh, Fazwan. Saya tak boleh.
    Ada rasa pahit yang tersangkut dikerongkong. 
   Ada kenangan yang masih gagal dihumban dari jendela jiwa. 
   Ada wajah-wajah yang sinis melempar senyum dan hilai ketawa. Bibir makin kuat diketap. Aida lepas nafas perlahan-lahan. Mata makin jauh merenung kaki langit yang masih setia menabur serakan warna biru yang damai. Diri terus merintih. Duka yang diusung takkan mungkin dilupa. Terpalit di jiwa. Tertanam di hati.
   Awak bukan untuk saya, Fazwan.
   Awak bukan untuk perempuan seperti saya...
   Saya tak layak buat lelaki seperti awak, Fazwan..

   Saya tak layak...

2 comments:

zue said...

Jgn terus ditolak luahan hati FA tu Aida. Minta petunjuk dari Allah.

Anonymous said...

Please publish it as soon as possible..I cant't wait to buy...

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...