Thursday, September 26, 2013

Kerana Cinta Itu Ada Saktinya - Bab 4

Bab 4
"MACAMMANA HARI PERTAMA kau kat tadika tu?" Fyza tarik tudung merah hati berbunga putih yang membalut kepala. Dihamparkan ke leher kerusi dihadapan. Dua brooch yang ditanggalkan dari bahagian bahu diletakkan di lantai meja hiasan. Aida yang duduk melunjur dilantai bersebelahan katil didekati. Fyza melabuhkan duduk disebelah. Nafas dihela perlahan. Wajah Aida yang sudah lengkap bertelekung menanti masuk waktu maghrib ditatap. 
     Aida senyum. "Biasalah, Fyza. Berurusan dengan budak-budak. Macam-macam karenahnya. Tapi aku happy sangat. Seronok tengok budak-budak tu. Comel-comel semua."
     Fyza cebik. "Hmmm. Iye ker."
     Aida balas senyum. "Iye la cik Fyza."
     "Eh..." Fyza memusingkan sedikit tubuh mengadap Aida. Bahu Aida ditepuk. " ada kau kena marah tak tadi dengan mak bapak budak-budak tu? Risau gak aku. Kau tu cengeng jugak."
      Aida senyum."Tak adalah. Mana ada kena marah. Lagipun...nak marah pasal apa pulak." Minda laju kembali memutar peristiwa yang berlaku di tadika tadi. Si comel Dian dan lelaki yang bernama Fazwan Anuar yang dipanggil daddy oleh Dian pantas menerpa fikiran. Sungguh Aida takut tadi. Bimbang jika dia diseret ke balai polis kerana dianggap cuai didalam menjalankan tanggungjawab. Bersyukur benar Aida daddy Dian sudah tahu apa sebenarnya yang terjadi daripada pengakuan Dian. Dan perbualannya bersama lelaki itu kembali singgah di ingatan. Kata-kata maaf lelaki itu didepan puan Anne tadi Aida tahu benar-benar ikhlas dan Aida lihat kesungguhan juga keikhlasan lelaki tu bila dia sekali lagi memohon maaf daripada Aida atas keterlanjuran kata-katanya. Aida tahu lelaki itu tidak bermaksud demikian. Mungkin rasa bimbang seorang bapa yang melihat keadaan anak kecilnya yang berdarah lututnya menyebabkan dia tersasar mengawal kata-kata.
     Fyza angguk. Kembali dipusingkan tubuh ke depan. "Bagus laa macam tu. Aku risau jer kut kut kau tu kena marah kalau-kalau budak budak buat hal ke apa tadi. Kau tu bukannya aku tak kenal...hati lembut. Kalau orang marah kau bukan reti nak balas jawap. Diam jer. Kadang tu anak diorang yang nakal tak makan saman, tapi kita juga yang kena sembur."
    Aida senyum. Lengan Fyza dielus lembut. "Insya Allah. Aku baik-baik jer kat situ. Aku tengok budak-budak kat situ pun baik-baik semuanya. Soal nakal tu biasalah Fyza...namapun budak-budak kan. Kita pun pernah jadi budak-budak. Jangan cakap dengan aku kau tu tak nakal dulu ek. Kau tu kepala budak nakal. Tak padan dengan pompuan." Gelak Fyza bergema. Aida pantas hala jari telunjuk ke bibir. "Issh, nak masuk maghrib kau ni...jangan ketawa kuat-kuat." Fyza tepuk bibir. Aida geleng kepala."Aku ni memanglah tak boleh jadi cikgu tadika. Mahu mati anak orang nanti. Dah namapun bekas kepala budak-budak nakal kan. " Aida senyum. Fyza ketawa dengan tangan masih menekup bibir. "Kita yang dewasa ni kenalah sabar. Cakap baik-baik. Nasihat baik-baik. InsyaAllah budak-budak tu mesti boleh dengar...boleh ikut." Fyza lepas nafas. Bahu Aida ditepuk seraya menegakkan tubuh yang berbalut kurung merah hati. "Iya la cikgu Aida. Cikgu memang cikgu yang baik. Oklah cikgu, anak murid tua cikgu ni nak gi mandi dulu. Ok cikgu. Tunggu tau cikgu, kita solat sama-sama." Aida senyum sambil menggeleng kepala dengan telatah Fyza."Cepat sikit, dah nak azan dah ni. Mana elok mandi tengah azan. Syaitan berkampung dalam bilik air tu cik kak." 
       Fyza tayang sengih. "Baik ustazah Aida." Aida jegil mata. Fyza laju menghayun langkah bersama ketawa kecil namun langkah Fyza ke bilik air terhenti lalu tubuh kembali berpusing memandang Aida."Eh Aida..karang lepas solat kita keluar dinner ye. Aku malas aar nak masak malam nih."
     Aida geleng. "Tak payah laa. Aku dah masak tadi. Jangan nak membazir."
     Fyza bulatkan mata."Kau dah masak? Masak apa?"
     "Aku tengok ada ikan parang dengan ikan kembung dalam peti sejuk tu tadi. Ada bendi. Aku masak asam pedas ikan parang. Kau kan suka masak asam pedas. Goreng sayur kobis dengan goreng ikan kembung tu. Cukup la untuk malam ni."
     Fyza hala dua ibu jari yang ditegakkan keatas. "Best-best. Tak sabar nak melantak ni. Mata aku  dah terbayang ikan parang masak asam pedas..fuh fuh." Pintu bilik air laju ditutup. Aida ketawa.

"NAMA TEACHER sapa?" Mata Dian yang bersinar buat Aida terpesona. Tubuh kecil yang bersarung seragam cokolat muda didepannya kala ini ditatap penuh damai. Aida merendah tubuh. Senyum di bibir tersuring. Gelak ketawa beberapa kanak-kanak sebaya di kawasan permainan kiri dan kanan yang diawasi beberapa orang guru sedikit pun tidak menarik si comel didepannya ini untuk turut serta.
   "Nama teacher Aida."
   Bibir  Dian yang dimuncungkan dengan kepala yang bergerak ke kiri dan kanan sambil Jari telunjuk melekat ke pipi cukup comel dipandangan Aida. Bibir melantun senyum. 
    "Aida je? Pendeknya nama teacher. Nama Dian panjang tau. Nama Dian...Dian Khalisya Khusairy binti Johan Khusairy."
     Aida senyum. Dalam kepala laju memproses maklumat yang baru didengar. Dian Khalisya Khusairy binti Johan Khusairy. Tapi daddy Dian...lelaki semalam tu kan nama dia...
     "Teacher nama Aida je ye? Tak ada nama panjang-panjang macam Dian."
      Kata-kata Dian mematikan lamunan Aida. Aida elus pipi mulus Dian yang mengukir senyum. Senyum manis Dian dibalas. "Nama teacher Aida Awliya binti Muhammad Amin."
     Dian dilihat makin tersenyum lebar. "Teacher Aida pun ada nama panjang macam Dian laa. Nanti bila balik rumah Dian nak beritahu mama lah. Dian nak cakap kat sekolah Dian ada teacher yang nama dia panjang macam nama Dian jugak. Boleh tak teacher?"  
    Aida angguk. Senyum terus meniti dibibir."Boleh, sayang." Tangan Dian dicapai. "Hmmm..kenapa Dian taknak main dengan kawan-kawan kat sana tu." Kepala Dian dihala ke kiri dan kanan. Dian dilihat menggeleng kepala. "Mama cakap jangan main-main sampai luka kat lutut Dian ni baik." Dian hala jari telunjuk ke lutut yang masih berbalut plaster. Aida angguk."Mama cakap kalau Dian tak nak dengar, nanti mama tak nak beli barbie doll yang new collection tu."
     Aida angguk lagi. "Kalau macam tu,kita duduk kat bangku sana nak." Aida genggam tangan halus Dian. Tubuh comel didepannya ini laju mengangguk. Aida senyum lagi. "Jom."      
    "Teacher Aida.."
    " Ya, sayang.."
    " Daddy Dian ada say sorry tak pada teacher semalam?"
     Aida senyum. Teringat peristiwa semalam dan segala yang diceritakan lelaki itu. Kepala diangguk." Hmmm. Daddy Dian dah cakap sorry kat teacher. Teacher nak cakap terima kasih pada Dian sebab beritahu daddy Dian tentang perkara semalam."
      "Dian yang cakap kat daddy semalam daddy kenapa marah teacher Aida. Bukan teacher Aida yang buat Dian jatuh dari buaian tu." Kepala Dian berpusing menghala ke arah buaian dibelakang. Tangan lurus dihala ke situ sebelum kembali memandang ke arah Aida. "Dian yang jatuh sendiri. Dian yang naughty. Mama pun cakap Dian yang naughty sebab tu Dian jatuh."
    Aida elus rambut panjang Dian yang kemas diikat tocang kuda. 
    "Teacher tahu Dian budak baik. Mama Dian usik-usik Dian je tu. Dian kena selalu ingat, walau apapun mama Dian sayang sangat kat Dian. Mama Dian tak mahu Dian jatuh lagi. Mama Dian risau...bimbang kalau apa-apa jadi kat Dian di sekolah. Nanti mama Dian nak buat kerja dia pun tak boleh. Kesian kat mama Dian. Dian sayang kan mama Dian?"
    Dian dilihat mengangguk kepala. Senyum.
    "Mestilah Dian sayang mama. Sayang sangat-sangat. Dian pun sayang papa...sayang daddy. Sayang tok mama, tok papa...nenek, atuk. Semua Dian sayang." Senyum Dian makin lebar. Makin manis.
     Papa. Daddy. Aida elus hidung dengan hujung hari. Bibir orak senyum ke arah Dian dalam ligat kepala memproses maklumat yang baru terluncur daripada bibir mungil didepannya ini. Siapa si comel ini sebenarnya kepada lelaki bernama Fazwan yang ditemui semalam. Melihat sikap lelaki itu terhadap Dian dan mesra Dian terhadap lelaki itu, Aida merasakan mereka tentu punya hubungan amat rapat. Mungkinkah Fazwan ayah tiri Dian? Issh..apa ni Aida. Yang sibuk fikir hal orang kenapa. Aida geleng kepala. 
   "Eh..tu kereta daddy laa teacher Aida." Kicau suara Dian pantas memecah kotak lamunan Aida. Tubuh Dian yang sudah menegak dengan wajah yang bercahaya diiring senyum paling ceria menghala ke arah luar pagar menggamit pandangan Aida ke arah yang sama. 
  "Yeah daddy Dian dah sampai, teacher Aida."
   Aida angguk. Senyum ceria Dian dibalas."Jom, kita masuk ke dalam ambil beg Dian dulu. Ok, sayang? Biar daddy Dian tunggu kat kereta dulu,hmmm."
   "Ok teacher Aida."
   
 "Assalamualaikum. Aida sihat?"
  "Waalaikumsalam encik Fazwan. "Aida angguk. Senyum. "Alhamdulillah. Sihat."
  Fazwan senyum balas. "Saya dah pesan semalam kan. Call me Fazwan. Just Fazwan, Aida. Remember?" 
  Aida senyum kecil.
  "Saya kena hormat encik Fazwan. Di sini kan tempat kerja saya. Saya kena hormat tiap tetamu di sini."
   "Tapi saya bukan tetamu disini. Saya kawan, Aida. Kita kan dah kenal dan berkenalan semalam. Saya Fazwan Anuar. Kawan didepan saya ni, Aida Awliya. Betul kan? Ke..saya nak kena panggil kawan didepan saya ni teacher Aida jugak macam anak-anak murid panggil dia."
   Aida kemam bibir. Cuba menahan ketawa.
  Fazwan senyum.
  "So, macammana kerja hari ni?"
  "Alhamdulillah. Seronok layan karenah budak-budak kat sini. Kerja yang cukup membahagiakan jiwa saya."
   Fazwan senyum lagi.
   "Aida suka budak-budak?"
   Aida angguk. "Saya ramai adik-beradik. Anak-anak abang dan kakak saya yang jaga bila dia orang pergi kerja sebab dia orang duduk tak jauh dari rumah mak saya. Saya dah biasa jaga budak-budak ni sebab saya hanya ambil upah menjahit dirumah bantu mak saya. Lagipun mak memang seronok cucu-cucu dia semua ada depan mata dia."
  Fazwan senyum. "Seronok kan ramai adik-beradik ni. Saya ni tak ada adik beradik. Anak tunggal."
     "Oo ye ke? Isteri..maksud saya mama Dian pun anak tunggal jugak?"
    Fawzan senyum.  Soalan Aida dibiarkan tidak bernoktah.
  "Dian saya nakal tak? Ada panjat-panjat. Mama Dian dah siap pesan dekat dia semalam katanya. Pagi tadi pun masa mamanya hantar pesan lagi. takut luka kat lutut dia berdarah lagi. Tu yang merajuk suruh saya jemput dia balik. Tak nak mamanya jemput."
   Aida senyum. Melihat lelaki didepannya ini, Aida pasti Fazwan daddy yang baik dan penuh kefahaman.
    "Dian ni walau saya baru kenal dia dua hari, saya dapat rasa dia budak baik. Cuma semalam tu mungkin dah takdir dia nak terjatuh. Tak boleh nak elak. Tadipun saya lihat dia langsung tak main. Dia betul-betul ikut pesan mama dia. Dia cakap nanti mama dia tak belikan dia Barbie Doll new collection."
   Fazwan ketawa. Aida kerut dahi.
   "Kenapa ketawa pulak ni. Saya cakap salah ke.."
   Fazwan dilihat menoleh ke belakang. Menghulur lambai pada Dian yang sudah duduk di kerusi penumpang belakang. Pemandu Fazwan yang dilihat setia menanti menghulur senyum. Aida angguk.
   "Dia nak ajak saya pergi beli Barbie Doll new collection tu la. Takut kalau mama dia sungguh-sungguh taknak belikan untuk dia. Dari malam tadi memujuk saya."
  "Dia tahu daddy dia mesti belikan tu. Dia tahu daddy dia sayang sangat pada dia. Anak-anak ni anugerah terindah dan paling istimewa daripada Allah."
  Fazwan angguk. "She's my princess, Aida. Dia sahajalah penghibur hati dalam hidup saya selama ini. Tak ada yang lain. Dunia saya sebelum dia hadir cuma pejabat dan rumah. Hidup yang cuma hitam putih. Hanya dua warna itu sahaja. Bila Dian lahir, dia bawa pelangi dalam hidup saya."
   "Daddy..cepatlah. Nanti kita lambat. Dian dah lapar laa." Tangan Dian yang melambai dari perut kereta membuatkan Aida tersenyum. Fazwan membalas lambaian dengan anggukan kepala.
   "Tuan puteri Dian dah memanggil tu. Eloklah gerak dulu. Nanti lambat, makin  panjang muncung dia. Payah pulak nanti nak pujuk."
   Fazwan senyum. 
   "Tak apa, kalau saya tak mampu pujuk dia, saya tahu siapa yang boleh pujuk dia. Orang kat depan saya ni memang banyak pengalaman pujuk budak-budak yang merajuk."
   Aida ketawa kecil.
  "Ok Aida. Saya balik dulu. Jumpa lagi nanti."
  Aida angguk."Insya Allah."
  "Assalamualaikum."
  Salam disambut perlahan. Langkah Fazwan diiring dengan redup mata. Lambaian Dian dibalas. BMW putih yang bergerak perlahan meninggalkan kawasan My Little Sweet Home Child Care Centre diperhati hingga hilang daripada pandangan. Nafas dihela perlahan. Betapa bahagianya hidup Dian punya daddy seperti Fazwan. Betapa beruntungnya mama Dian punya suami sebaik Fazwan.   

4 comments:

Anonymous said...

Argg........... Anak johan bukan khalish. Sob sob sob. Nak khalish.

Anonymous said...

Terjawab sudaaaa..anak qis ngn joe yerr

Atty Ismail said...

Sukanya Qis ngan Joe..Bc sneak peak last kat blog kucc ni buat atty rasa Joe sememangnya layak utk Qis malahan Joe telampau baik sgt..Tp mslh skrang mau si Fazwan ni menonggeng frust coz Teacher Aida dah rasa mama Dian beruntung dpt Daddy Dian yg baik..Adoiy..

Kak Sue said...

Seka dengan cara Fazwan yang COOL macam Akhmal dalam NLBB ... lembut ja... sesuai sangat dgn Aida yang penyayang dengan budak... bestttt

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...