Saturday, September 14, 2013

Kerana Cinta Itu Ada Saktinya -Bab 2


Bab 2

KACA MATA yang melatari pandangan ditarik perlahan. Dihamparkan bingkai Eco 2.0 diatas lantai meja kaca di bilik pejabatnya. Dua jari mengelus pangkal hidung. Nafas yang berdenyut dirasa seakan menyesakkan. Semuanya kerana hal tadi. Dan dia puncanya! Fazwan pejam mata sejenak. Cuba menggapai tenang hati yang makin menjauh. Inilah bahananya bila lafaz lidah lebih dahulu dibiarkan membuat keputusan tanpa bertanya kotak akal yang bijaksana. Dan akibat lanjur kata yang terluncur, akal sudahpun menjatuhkan hukum. Terlajak kata, tanggunglah akibatnya. Paling mengesankan, kerana lajak tuturnya yang tidak disangka-sangka, orang lain yang menanggung tempiasnya. Menerima impaknya. 
    Fazwan raup wajah dengan dua tapak tangan. Lama berteleku sebelum perlahan-lahan tangan dilepaskan dari memaut wajah. Dua tapak tangan yang saling berdakapan  meluncur lalu singgah jeda dibibir. Ditelan sesak rasa yang menekan salur penafasan. Dilepaskan keluhan. Dalam. Lama. Kepala yang memberat dengan persoalan yang tak disangka-sangka terus menekan dinding minda. Makin menghimpit fikiran. Apa yang kau dah buat ni, Fazwan? Bibir bisu terus menghambur pertanyaan. Kepala menggeleng lemah. Kesal bertimpa. Tak mampu terlukis dek kata-kata. Disandarkan tubuh ke ke dada kerusi baldu hitam yang terbentang. Kembali diputar segala tindakannya tadi yang sungguh diluar jangkaan. Buru-buru yang disalut amarah yang entah dari mana muncul. Kata-kata perbualan antara dia dan Puan Anne,pengetua My Little Sweet Home Child Care Centre juga Dian terus bergema. Silih berganti. Saling menghentam fikiran. Mengasak diri yang jelas sudah terlajak tutur. Tutur yang pastinya telah menyebabkan oranglain menerima akibatnya.
            “Saya sungguh minta maaf encik Fazwan atas apa yang berlaku ke atas Dian Khalisya. Saya mohon maaf bagi pihak My Little Sweet Home Child Care Centre. Saya akan siasat hal ini. Saya juga akan pastikan perkara ini takkan berulang lagi. Ini janji saya sebagai pengetua di sini. Dan jika benar guru kami yang bertanggungjawab dalam kes kecuaian yang menimpa Dian Khalisya seperti mana aduan encik Fazwan, saya akan ambil tindakan ke atas guru tersebut. Kami tidak akan sesekali melindungi guru di sini jika terbukti benar guru terbabit yang bersalah.” 
          "Saya mahu puan pastikan guru tadi tidak terlibat dengan apa juga aktiviti yang melibatkan Dian. Saya tak akan teragak-agak untuk ambil tindakan tegas jika perkara tadi berulang. Nasib baik tidak ada kecederaan yang teruk dan serius pada Dian. Saya boleh boleh buat laporan kalau saya mahu namun saya mahu pihak puan sendiri yang mengambil tindakan terhadap guru tadi."
       " Saya faham encik Fazwan. Maaf sekali lagi daripada saya."
       " Sewajarnya keselamatan kanak-kanak di premis tadika puan menjadi keutamaan guru-guru dibawah kendalian puan. Saya harap kalau boleh saya takkan jumpa guru tadi lagi di Tadika puan. Harap puan faham maksud saya. Baik puan mahupun saya tentu tak mahu perkara yang sama menimpa kanak-kanak lain."
           "Saya faham encik Fazwan. Saya tahu apa yang perlu saya lakukan. Terima kasih tidak memanjangkan perkara ini. Sekali lagi saya mohon maaf bagi pihak My Little Sweet Home Child Care Centre."
       Fazwan lepas keluhan. Kesal dengan apa yang berlaku. Mengapa dia langsung tidak mahu memujuk hati agar tidak terburu-buru bertindak membuat aduan tadi. Apa sudah jadi dengan dirinya hari ini. Dan pengakuan jujur dan tulus dari bibir mungil Dian benar-benar membuatkan Fazwan rasa diri bagaikan sedang dihempap dengan sebongkah batu besar. Fitnah tu bukankah lebih besar dosanya daripada membunuh?
            “Daddy, kenapa daddy marah teacher Dian yang tadi tu?”
            "Mestilah daddy marah,sayang. Teacher tu yang sebabkan princess daddy yang comel ni jatuh dari buaian sampai lutut berdarah. Nasib baik daddy cepat sampai tadi. Kalau lambat macammana. Apa daddy nak cakap pada mama dan papa Dian? Orang yang buat salah mestilah kita tegur. Dan daddy rasa marah sebab teacher tadi dah buat salah pada princess daddy. Daddy kena marah teacher tadi supaya dia tahu dia dah buat salah."
            Dian geleng kepala."Daddy, Dian yang jatuh sendiri sebab tolak buaian laju-laju la, daddy. Bukan teacher yang buat Dian jatuh. Teacher tadi tu tak nampak Dian jatuh. Teacher kemas mainan kat playground budak-budak kecik sebelah sana. Dian kan kat playground budak besar."
            “Bukan teacher Dian tadi tu yang sebabkan Dian jatuh sampai berdarah lutut? Betul ni?” Fazwan tatap mata Dian yang cantik.
            Dian lepas keluhan halus dengan tubuh yang dihempaskan ke sofa kereta. Dua tangan disilang ke tubuh dengan mata jernih bersinar tajam menikam  ke wajah Fazwan disisi. “Daddy, tadi Dian baru nak cakap kat daddy masa daddy sampai, Daddy dah marah teacher tadi tu." Dian muncung bibir. Melontar rasa yang terbuku. 
        Fazwan geleng kepala. "Ok, Dian nak cakap apa pada daddy tadi, sayang." Tangan dibawa ke pipi gebu Dian. Dielus lembut. Dian dilihat menarik nafas panjang." Dian sebenarnya nak cakap kat daddy teacher tu yang tolong Dian masa Dian jatuh. Teacher tu mana tau Dian jatuh. Teacher tu tak nampak sebab dia kat playground tempat lain. Dian main-main kat playground budak besar sebab boring tunggu mama tak datang-datang. Kawan-kawan Dian semua dah balik. Teacher tu tadipun macam nak menangis tengok Dian. Teacher tadi tu minta maaf kat Dian sebab tak nampak Dian jatuh. Teacher tadi tu nak ambilkan ubat letakkan lutut Dian ni sebab nanti kalau biarkan nanti jangkit kuman. Tapi tak sempat nak letak ubat, daddy dah sampai.”
        "Betul bukan teacher tadi yang buat Dian jatuh? Betul bukan dia? Betul Dian jatuh sendiri ni?"
         Dian angguk. " Ya la daddy. Kan Dian cakap tadi Dian jatuh sendiri. Teacher tu baik la daddy. Dia tak buat apa-apa pun pada Dian." 
        Fazwan hela nafas dalam-dalam. Kepala laju menggeleng.  Wajah comel Dian yang dihantar pulang usai mendapatkan rawatan di Klinik Pakar Kanak-kanak Duha & Taufik masih enggan lepas dari fikiran. Kata-kata akhir Dian sebelum masuk ke dalam rumah tadi sungguh membuatkan Fazwan rasa dia telah melakukan satu kesalahan besar. 
        "Daddy, tahu tak..patutlah Dian pun tak pernah nampak teacher tadi tu. Teacher tadi tu cakap teacher baru kerja hari ini. Teacher tu teacher baru Dian rupanya. Esok... Dian nak cakap terima kasih pada teacher sebab tolong Dian. Dian kena cakap terima kasih. Kan, daddy? " Fazwan angguk. 
        "Daddy.."
         "ya, sayang."
         "Daddy pun kena cakap terima kasih esok kat teacher sebab tolong Dian. Daddy kena cakap sorry kat teacher tadi sebab daddy dah marah teacher tadi. Kan, daddy?" Dian ukir senyum manis yang comel. Dan senyum manis itu benar-benar bagakan busar yang memanah tepat ke jantung Fazwan. 
        Daddy kena cakap sorry kat teacher tadi sebab daddy dah marah teacher tadi. Kata-kata Dian terus bergema di benak. Seraut wajah putih mulus bertudung hitam pantas sahaja singgah dilayar mata. Bibir Fazwan terpaku. Hilang segala kalam. Allah. Apa aku dah buat ni. Mata menjunam ke arah iPhone yang terhampar di dada meja yang dipenuhi dokumen. Disambar. Mata lalu mencari nama Little Sweet Home Child Care Centre. Laju jari menekan butang memanggil.

AIDA angguk tanpa sebarang bantah. Wajah tenang Puan Anne yang dapat dirasakan seakan serba salah menyampaikan kata putus atas apa yang terjadi tadi dihulurkan senyum. Sedayanya biar hatinya saat ini usah ditanya rasa walangnya. Aida tahu memang salahnya. Dia harus akur. Dan kalau dia diberhentikan dihari pertama dia bekerja di tempat yang cukup mendamaikan jiwa dan hati ini dia harus redha. Mungkin bukan disini dia berpayung untuk meraih awan tenang bersama huluran titis rezeki. Mungkin Allah mahu menemukan dia dengan tempat lain untuk dia berpayung. Segalanya pasti ada hikmah. Bukankah rahsia perjalanan hidupnya di tangan Allah jawapannya. Aida tidak mahu merintih. Dia akan melangkah keluar daripada tempat yang sudah mencuri hatinya ini dengan penuh rela jika sudah ditentukan ini yang terbaik buatnya.
        "Saya harap Aida faham situasi saya. Saya mohon maaf banyak-banyak. Saya tahu Aida bukan sengaja. Aida tak berniat. Tapi saya sungguh tak berdaya, Aida. Encik Fazwan Anuar, daddy Dian Khalisya mahu tindakan diambil atas Aida. Saya tak mahu encik Fazwan Anuar panjangkan perkara ini hingga melibatkan pihak luar. Saya tak mahu Aida terheret sama. Saya tahu secara jujur Aida bukan bersalah sepenuhnya. "
         Angguk. Senyum manis sedaya diukir. 
        "Saya faham puan. Saya tahu puan perlu buat begini demi kebaikkan semua. Saya tak salahkan puan. Apa-apapun terima kasih sebab sudi beri saya peluang berpayung disini biarpun sehari. Tempat ini terlalu istimewa dihati saya. Semua penghuni kecilnya benar-benar telah mencuri hati saya."
      Puan Anne bangkit dari duduk. Langkah diatur mendekati Aida. Bahu Aida dipaut. Ada rasa damai yang singgah sejak kali pertama menatap wajah putih mulus gadis ini. Ada sesuatu tarikan istimewa yang sukar dilafazkan dengan kata-kata. Dan kerana itulah tatkala gadis ini hadir dua hari lepas memohon kerja sebagai guru disini dia terus sahaja menerima tanpa banyak bicara.
      "Saya minta maaf, Aida. Saya harap.." Dan bicara Puan Anne tergantung kala telinga dihadirkan dengan deringan daripada telefon di atas meja. "Sekejap ye Aida." Aida mengangguk. Mata mengalih pandang ke arah puan Anne yang laju menyambar gagang telefon. 
      "Sungguh ke ni encik Fazwan?"
       "Encik Fazwan nak jumpa cikgu Aida?" Puan Anne angkat mata memandang kearah Aida. Senyum dihulur bersama anggukan. "Boleh. Baik. Kami tunggu encik Fazwan. Sure encik Fazwan. Waalaikumsalam."
       Aida telan liur. Telinga tidak salah mendengar kan? Lelaki itu mahu datang ke sini berjumpa dengannya. Encik Fazwan Anuar mahu berjumpa dengannya. Pasti perihal tadi yang belum belum ternoktah.  Belum selesai. Ya Allah. Jantung dirasakan sudah gugur dari tampuknya kala nama itu meniti lagi di bibir. Nama yang menyambar cuping seawal kakinya melangkah masuk ke pejabat pengetua sejak sejam tadi. Ya Allah, janganlah ada hukuman lagi yang dijatuhkan lelaki itu terhadapnya. 
      Encik Fazwan, tolonglah. Demi Allah saya tak sengaja. Demi Allah saya tak berniat untuk membiarkan Dian jatuh. Percayalah cakap saya, encik Fazwan. Tolonglah percayakan saya..          

2 comments:

Atty Ismail said...

Fazwan..oh Fazwan...

sara said...

wah....duha & taufik pun ada dlm citer ni.

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...