Thursday, May 5, 2011

Nasi Lemak Buah Bidara - Bab 3






Bab 3






"berhenti di depan sana sahaja encik. Di tepi pokok mangga tu ye." suara lembut Siti menyapa telinga Salim yang sedang memandu. Mercedez perak sudah diperlahan sebelum Salim memberhentikan kereta di tepi pokok mangga sebagaimana yang diminta Siti. Kepala makcik Aishah sudah terjenguk-jenguk memandang keluar dari dalam kereta. Suasana persekitaran yang sunyi dengan hanya lampu-lampu jalan yang menyala juga lampu dari garaj rumah-rumah sekitar. Mungkin penghuninya tiada dirumah.






"yang mana satu rumah majikan Siti?" Makcik Aishah terus bertanya pada gadis manis yang duduk disebelahnya. Sukar untuknya menghadam kata-kata yang diucapkan oleh Siti sewaktu didalam perjalanan tadi. Siti hanya orang gaji. Sudah lebih dari dua belas bulan dia menghuni banglo itu dan berkhidmat kepada lima orang penghuni di situ. Kata Siti, selain dirinya ada mak Jah yang juga merupakan orang gaji kepada keluarga berkenaan. Suaminya mak Jah, pak Salleh adalah pemandu peribadi kepada keluarga Datuk Zainol. Mak Jah dan suaminya menurut Siti sudah lama berkhidmat dengan keluarga tersebut. Sejak sebelum kematian isteri Datuk Zainol lagi.






Sudah lama makcik Aishah mahu mengenali gadis itu namun tidak berkesempatan kerana selalunya sebaik selesai imam menamatkan doa, kelibatnya pasti hilang dari pandangan. Namun hari ini "jodoh" mereka ada lalu dia menjadikan faktor kekejangan kakinya sebab penyebab untuknya berkenalan dengan pemilik nama Siti Nur ini.






"rumah yang dibelakang pokok mangga tu makcik." Suara Siti yang lembut menyapa telinga mengembalikan makcik Aishah ke alam realiti.






Mata makcik Aishah mencari arah rumah yang dimaksudkan Siti. Banglo dua tingkat berwarna putih dengan reka bentuk kontemporari itu nampak sunyi sahaja. Kata Siti tadi majikannya beserta anak-anak tiada dirumah kerana menghadiri majlis perkahwinan anak rakan perniagaan mereka di hotel. Cuma mak Jah sahaja yang tinggal. Pak Salleh turut berada di hotel kerana nanti dia yang akan memandu kesemua mereka pulang. Kata Siti lagi, walau mereka tiada dirumah, dia harus sampai ke rumah sebelum majikannya pulang. Bila ditanya lebih lanjut mengapa, hanya senyuman sahaja yang dihulur. Tiada sepatahpun kata yang diucapkan bagi menjawab soalan yang ditanya sebentar tadi. Makcik Aishah tidak mahu bertanya lanjut, nanti apa pulak kata Siti. Mereka baharu sahaja mahu berkenal-mesra. Dia tidak mahu sikap ingin tahunya itu nanti akan membuatkan Siti menjauhkan diri biarpun dia tiada niat apa-apa. Sekadar ingin tahu sahaja. Hatinya bagai dapat merasakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan Siti dari tutur katanya tadi. Biarlah. Mungkin suatu hari nanti dia akan tahu juga.






Telekung yang sudah ditanggalkan tadi sewaktu didalam perjalanan digantungkan pada lengan. Mini telekung coklat cair begitu sepadan dengan baju kurung pesak gantung daripada jenis kain kapas berwarna coklat tua berbunga tabur putih yang tersarung pada tubuh tinggi lampai Siti. Baju kurung dan tudung ini dibeli Zaza dan Zara buat Siti. Hadiah sempena Siti masakan mereka sambal tumis udang yang tersedap di dunia. Itu kata mereka, Siti jadi ketawa dengan kata-kata lucu Zaza dan Zara. Macam-macam sahaja dua anak gadis lincah dan baik hati itu. Siti jadi seronok sahaja melayan kerenah mereka berdua. Dia terhibur dengan kedua-dua mereka. Tanpa mereka, dia tiada teman untuk berbicara. Dia akan jadi sunyi. Hanya novel-novel yang dibeli mereka sahaja lah teman penghiburnya. Mahu diharapkan mak Jah tentulah tidak manis. Mak Jah kan perlu melayan pak Salleh. Dia tidak tega mengganggu masa emas kedua-duanya.






Tapak tangan Siti dihulurkan pada makcik Aishah. Senyuman yang terukir dari ulas delima yang basah tanpa palitan sebarang warna itu nampak begitu manis dimata tua makcik Aishah. Dia sudah jatuh kasih pada gadis dihadapannya ini. Entah mengapa perasaan itu mudah sahaja hadir dihati tuanya sedangkan dia baru sahaja beberapa minit berkenalan dengan Siti. Sejuk sahaja hati dan jiwanya melihat wajah manis bercahaya dihadapannya ini.






"terima kasih makcik sebab sudi hantar Siti balik. Siap sampai depan rumah lagi. Berlebih-lebih pulak Siti ni kan. Tak malu sungguh!" Siti ketawa kecil seraya menutup mulut. Sopannya dia! bisik hati kecil makcik Aishah. Kulitnya yang putih mulus itu jadi kemerah-merahan kala dia ketawa. Siti turut menyatakan rasa terima kasih kepada Salim. Pemandu makcik Aishah itu menganggukkan kepala sambil tersenyum.






"issy, kenapa pulak cakap macam tu. Kan makcik yang beria-ia nak hantar Siti tadi." Tangan gadis itu masih kejap didalam genggamannya. Sayang sekali dia mahu melepaskan gadis ini. Entah mengapa, dia sendiri tidak tahu.






Saya minta diri dulu ye makcik." Tangan makcik Aishah dikucup penuh tertib. Saat kepala ditegakkan, tubuhnya sudah ditarik didalam pelukan makcik Aishah. Siti membiarkan sahaja tubuhnya dipeluk erat. Hatinya senang diperlakukan begitu. Bagaikan pelukan yang dilimpahi rasa kasih sayang. Bagaikan pelukan dari seorang ibu sejati. Alangkah bertuahnya anak makcik Aishah kerana mempunyai ibu yang penyayang seperti ini. Kata makcik Aishah waktu mereka berbual-bual didalam perjalanan mahu menghantar Siti tadi anaknya cuma seorang sahaja. Lelaki. Siti jadi pilu seketika. Dirinya tidak sebertuah anak makcik Aishah itu. Dia dibuang ibu sendiri. Nafas dihela perlahan. Dia cuba melontar rasa sedih itu jauh jauh. Cuba untuk tidak mengenangnya lagi. Untuk apa kan. Orang dah tak mahu, maka dia harus sedar diri!






Senyuman ditebar pada wajah tua yang penuh kasih sayang dihadapannya ini. Wajah arwah wan terlayar dimata seketika. Hati Siti mula dibasahi rintik hujan! Wan..Siti rindu wan!






"makcik jaga diri baik-baik ye. Jangan banyak bergerak sangat sebab kaki makcik tu Siti rasa belum pulih lagi. Solat di rumah sahaja la sehari dua ni. Kalau dah sihat nanti barulah boleh berjemaah di masjid." Makcik Aishah jadi sebak dengan keprihatinan gadis ini. Alangkah baiknya jika dia ada anak perempuan. Namun cepat-cepat dia beristighfar didalam hati. Tidak baik mempertikaikan takdir Allah. Tentu ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya dia patut bersyukur. Dia tetap juga dikurniakan anak seorang anak lelaki. Dan juga patut rasa bersyukur anaknya itu sangat menyayangi dan menghormatinya. Tidak pernah ingkar padanya.






"tak dapatlah makcik jumpa Siti sehari dua ni nanti. Rindu la makcik." Canda makcik Aishah mengundang tawa Siti. Salim turut ketawa.






"wah puan, bahaya ni. Main rindu-rindu tu. Takper, boleh je telefon "buah hati" puan ni kalau dah rindu sangat nanti. Boleh kan Siti." Salim angkat kening sambil memandang Siti yang menyimpul senyum.






"issy kamu ni! kesitu pulak." Ketawa Salim makin galak. Makcik Aishah juga ketawa sudahnya. Siti turut ketawa kecil dengan kata-kata lucu Salim.






Siti berdiri sambil tangan memegang tangan makcik Aishah yang sedang memandangnya dari dalam kereta. Salim sudah menghidupkan enjin Mercedez perak yang sedia bergerak bila-bila masa sahaja.






"harap boleh jumpa malam jumaat nanti ye makcik. Siti akan doakan kaki makcik cepat sembuh. Ada bacaan Yaasin beramai-ramai. Bolehlah makcik turut serta. Boleh kita turut sama doakan pada arwah-arwahnya ahli keluarga yang dah pergi." Makcik Aishah menganggukkan kepala. Ya, dia juga berharap kakinya akan sembuh cepat. Dia tidak mahu melepaskan peluang bersama-sama Siti untuk majlis bacaan yaasin tersebut nanti. Mahu dia mendengar suara gadis itu kala mengaji. Pasti merdu dan indah didengar. Wajah cantik Siti yang masih tersenyum ditatap tanpa jemu. Betapa bertuahnya ibu dan bapa gadis ini. Sejuk perut ibu yang mengandungkan anak sebaik Siti. Setelah mengucapkan salam pada makcik Aishah dan Salim, Siti mula mengorak langkah memasuki perkarangan banglo dihadapan. Wajah dipusingkan kembali memandang ke belakang. Tangannya dilambaikan kepada makcik Aishah yang masih memerhatikan dirinya. Lambaian mereka saling bertukar.

Langkah Siti diekori dengan pandangan mata. Saat Siti melambaikan tangan padanya kala gadis itu sudah memasuki perkarangan halaman rumah, makcik Siti turut mengangkat tangan. Mata terus kaku tidak berkelip memandang hingga tubuh tinggi langsing itu tenggelam dari layar matanya.






Makcik Aishah melepaskan nafas panjang. Salim menoleh seketika kebelakang sebelum memandang semula ke hadapan.






"puan suka benar dengan budak tu. Macam dah lama kenal je saya tengok."






"entah la Lim. Hati tua makcik ni jadi macam tenang sahaja tengok dia. Sejuk mata pandang muka dia. Baik budaknya. Pekerti pun tertib. Budi bahasa pun elok. Rupa pun ada. Sempurna."






"berkenan ke puan?" Salim tersenyum mengusik. Makcik Aishah tersenyum penuh makna.

2 comments:

Nadimah Harun said...

nice story...:)

izah said...

hmmm...citer baru..suker..suker..suker...sambung cepat tau...tak nak bukukan ker citer2 u nih...nak simpan wat koleksi...

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...