Monday, May 9, 2011

Nasi Lemak Buah Bidara - Bab 4





Bab 4





Pintu belakang ditutup dan terus dikunci. Gerigi juga turut dikunci sama. Memang Siti sentiasa membawa kunci salinan bila ke masjid. Kunci salinan yang ditempah pak Salleh untuk dirinya. Siti yang memintanya. Dia tidak mahu menyusahkan mak Jah untuk membuka pintu setiap kali dia pulang sedikit terlewat. Lihatlah seperti hari ini dia sudah terlebih lewat. Nasib baiklah majikannya belum pulang dari hotel lagi. Jika tidak, dia pasti akan ada bahagian buatnya dari Zurene. Siti tahu Zurene membenci dirinya sejak dia mula menjejakkan kaki di banglo ini. Dan rasa benci itu kian hari kian bertambah. Akibatnya Siti akan sentiasa menjadi sasaran amarah gadis itu walaupun adakalanya tanpa sebarang sebab.




Langkah berhati-hati dibawa melangkah. Suis dibahagian dapur basah ditutup. Sudah biasa begitu, setiap kali dia pulang daripada masjid lampu dibahagian dapur ini akan terpasang. Sengaja mak Jah tidak menutupnya kerana mahu memudahkan Siti apabila pulang dari masjid.
Kata mak Jah, nanti kalau gelap tentu Siti susah nak buka pintu belakang pulak. Siti tahu mak Jah pasti akan menunggunya pulang dari masjid setiap malam walau wanita separuh abad itu tidak pernah menzahirkannya melalui kata-kata. Dan pintu bilik mak Jah pastinya akan direngangkan sedikit bagi memudahkan wanita itu mengetahui kepulangan Siti dari masjid. Kepala menjenguk sekilas memandang bilik mak Jah. Pintu bilik terbuka sedikit. Kedengaran suara dari televisyen. Kalau pak Salleh ada pastinya pak Salleh sedang menonton dan mak Jah pula melipat pakaian. Siti sangat maklum akan rutin pasangan tersebut.




Langkah Siti menghampiri pintu bilik mak Jah. Salam diberi sambil tangan mengetuk sekali pintu bilik. Kedengaran suara mak Jah menjawab salam sambil mengarahkan Siti masuk. Perlahan-lahan kepala dijengukkan ke dalam Siti melihat mak Jah sednag duduk dipenjuru katil sambil melipat pakaian.




"haa, dah balik. Lambat Siti malam ni. Risau mak Jah."




Siti melangkah masuk sambil melabuhkan duduk di sofa kayu dihujung katil. Telekung yang siap berlipat diletakkan diatas katil. Tudung ditanggalkan perlahan-lahan lalu diletakkan diatas telekung. Nafas dihela perlahan.




"tadi ada sorang makcik tu kaki dia tib-tiba kejang masa turun kat tangga masjid. Siti tolong dia mak Jah. Maaf mak Jah. Siti buat mak Jah risau."




Tangan mak Jah yang melipat pakaian terhenti. Matanya memandang wajah anak gadis dihadapannya. Siti sudah dianggap bagaikan anaknya sendiri. Apatah lagi dia sendiri tidak dikurniakan cahayamata sepanjang 20 tahun perkahwinannya dengan pak Salleh. Mak Jah redha dengan ketentuan Allah. Pasti ada rahmat disebalik semua ini.




"mak Jah bukannya apa, risau Siti balik jalan kaki malam-malam. Siti tu perempuan. Anak dara pulak tu. Hati mak Jah bimbang."




Siti capai tangan mak Jah. Digenggam erat.




"insyaallah, Siti tak ada apa-apa mak Jah. Lagipun kan Siti selalu balik dengan jiran depan sana tu. Cuma malam ni je, ada orang hantar Siti balik. Dan yang istimewanya Siti balik dengan kereta besar. Hantar sampai kat depan rumah lagi. " Siti tersenyum seraya ketawa kecil. Mak Jah pandang Siti. Keningnya sedikit berkerut. Siti cepat sahaja menangkap reaksi lurus mak Jah.




"makcik yang Siti tolong tu hantar Siti balik laa mak Jah. Pemandu makcik tu hantar sampai depan rumah tadi. "




Mak Jah tersenyum sambil menggelengkan kepala.




"jadi mem besar la sekejap tadi cik Siti Nur kita ni ye. Patutlah senyum saje." ketawa mak Jah dan Siti saling bergabung.




"haaaaaaa. apa ketawa ketawa ni. Oooo...ada sorok rahsia besar ye." Mak Jah dan Siti yang masih ketawa terkejut dengan suara nyaring Zaza dan Zara yang tiba-tiba menerpa di muka pintu. Kedua-dua anak gadis kembar majikannya itu tiba-tiba sahaja melompat didepan pintu sambil bercekak pinggang. Mak Jah urut dada sambil beristighfar panjang. Siti geleng kepala. Zaza dan Zara terus ketawa melihat gelagat mak Jah. Kedua-dua terus melabuhkan duduk di tepi katil mak Jah, bersebelahan Siti. Tubuh Siti dipeluk erat kedua-dua gadis kembar yang lincah itu.




"kenapa tak bagi salam dulu Zaza...Zara, hmmm. Tengok..kesian mak Jah, terkejut dia. Tak baik tau buat macam tu. Nasib baik mak Jah tak ada sakit jantung tau." Kepala kedua-dua gadis kembar tersebut Siti usap lembut dengan tapak kanannya. Memang kedua-duannya sangat manja dengan Siti. "ala, kita nak terperanjatkan sikit je tadi. Sikit macam ni.




"Zara arah jari telunjuk dan ibu jari yang didekatkan sedikit ke arah Siti. Zaza hanya menganggukkan kepala. Mengiyakan kata kakak kembarnya itu.




"kan elok sebelum masuk bilik orang, beri salam dulu. Kalau orang buat macam tu kat Zaza..kat Zara, mesti tak suka kan. Bilik orang kita hormat. tak boleh masuk macam tu aje. Tak sopan namanya." Zaza pandang wajah Zara. Zara angkat kening.




"sorry mak Jah. Zaza minta maaf."




"Zara pun mak Jah."




"uik, dengan kak Siti tak minta maaf."




"eh apa pulak. Ni bilik mak Jah laa, bukan bilik kak Siti."




Siti senyum sambil pandang wajah cemberut dihadapannnya.




"tapi tadi kan kak Siti pun kena sergah jugak. Kira itu tak berlaku sopan pada akak juga la kan. Jadi..." Siti kelipkan kelopak mata beberapa kali. Cuba memprovokasi kedua-dua gadis berkenaan. "kenalah minta maaf jugak. Kan mak Jah." Siti pandang mak Jah sambil mengenyitkan mata. Mak Jah sudah ketawa kecil. Siti cuba menyembunyikan tawanya saat melihat kedua-dua gadis berkenaan memandang wajahnya dengan muncung yang sudah ditarik kehadapan. Siti mahu ketawa sungguh tapi cuba ditahan.




"ala, akak ni...jahat tau. Saje je." Ketawa Siti pecah sudahnya. Tubuhnya terus terbaring diatas katil mak Jah akibat diasak oleh Zaza dan Zara. Jeritan kecil Siti bertingkah dengan jeritan nyaring kedua-dua gadis berkenaan. Mak Jah hanya menggelengkan kepala. Tahu sangat dengan perangai Zaza dan Zara yang nakal. Jauh disudut hati mak Jah gembira melihat kemesraaan kedua-dua beradik kembar itu dan Siti. Sekurang-kurangnya mereka tidak seperti kakak dan mama mereka yang sentiasa melayan Siti dengan buruk.




Siti sudah duduk bersandar ditepi katil mak Jah sambil membetulkan ikatan rambutnya yang terlerai akibat kenakalan Zaza dan Zara tadi. Jari-jemarinya pantas melurutkan rambut lalu ikatan rambut diperkemaskan semula.




"ganas la korang berdua ni tau. Tengok mak Jah, habis kusut masai rambut Siti dikerjakan budak bertuah ni. Taknak la Siti kawan dengan budak -budak ganas macam ni. Bahaya la mak Jah." Kedua-dua gadis itu memeluk lengan Siti sambil ketawa. Tidak langsung endah dengan kata-kata Siti. Mereka tahu Siti hanya bergurau dan tidak bermaksud apa-apa. Mereka tahu hati budi Siti yang tulus.




"kak Siti kalau merajuk tambah berseri macam bulan mengambang penuh tahu. Kan Zara?" Zaza angkat kening pada adiknya. Zara menegakkan kedua-dua ibu jarinya sambil dihalakan ke wajah Siti. Siti hanya mencebik.




Mak Jah tersenyum melihat gelagat ketiga-tiga gadis berkenaan. Tubuhnya yang sedikit gempal itu ditegakkan dari duduk lalu tangan mengangkat kesemua pakaian yang siap dilipat tadi untuk disimpan kedalam almari pakaian.




"apa yang mak Jah dengan kak Siti ketawa ketawa tadi." Mata kedua-dua gadis itu memandang pada mak Jah yang sedang berdiri menyusun pakaian didalam almari sebelum beralih pada wajah mulus Siti.




"cik Siti kita ni laa. Tadi balik dari masjid naik kereta besar. Ada pemandu orang kaya hantarkan dia sampai depan rumah. Cik Siti kita duduk kat belakang. Tu mak Jah cakap, merasa lah jadi mem sekejap." Mata Zaza dan Zara sudah bulat. Tangan kedua-duanya dilekatkan pada mulut yang sedikit ternganga. Siti ketawa melihat aksi kedua-dua beradik itu. Dia tahu mereka sengaja membuat reaksi sedemikian. Sengaja mahu mengusiknya.




"siapakah gerangan putera yang menghantar tuan puteri kita pulang ke istana kala malam bulan mengambang begini duhai bonda Jah?" Ketawa Siti pecah. Mak Jah turut ketawa mendengar kata-kata lucu yang diucapkan Zara. Zaza sudah berguling di atas katil dengan desiran ketawa yang gagal ditahan.




"itu kena la tanya tuan puteri sendiri." Mak Jah kenyit mata pada Zaza dan Zara. Kedua-dua gadis berkenaan menggoncangkan tangan Siti.




"tuan puteri tolong la beritahu patik berdua gerangan putera itu. Tolonglah katakan tuan puteri." Siti ketawa.




"enggak ada putera. Pak supir ya ada. Namanya mas Salim. Apa nona manis berdua mahu berkenalan sama mas Salim. Bisa aja dong!" Siti mengenyitkan mata. Mak Jah sudah ketawa besar.




"apa, pak supir!!!"




Dan bilik mak Jah sekali lagi digamatkan dengan ketawa ketiga-tiga gadis berkenaan. Ketawa mak Jah turut sama ikut bergabung.




* * * * * * *




"kenapa dengan kaki mak?" Akhmal Hafiz meluru menuruni tangan saat melihat ibunya yang baru melangkah masuk berjalan dengan kaki yang sedikit terhencut-hencut. Salim yang berada dibelakang dilihat memegang telekung yang disangkutkan pada lengan sambil tangan kanannya memegang lengan kanan ibunya. Salim lantas menceritakan perihal apa yang terjadi di masjid tadi kepada Akhmal.




Akhmal memegang lengan kiri ibunya lalu perlahan-lahan tubuh tua ibunya didudukkan di sofa diruang tamu. Salim diminta memanggil makcik Azizah; pembantu rumah berkenaan didapur. Langkah pemandu peribadinya itu panjang dan laju sahaja menuju ke arah ruang dapur. Akhmal melabuhkan duduk disebelah ibunya sambil tangan mengurut-ngurut kedua-dua kaki ibunya. Makcik Aishah menarik nafas perlahan.




"mak ok dah Mal, janganlah risau sangat. Sekejap je rasa kejang ni. Nanti nanti baik la dia." Akhmal menggelengkan kepala. Sudah acapkali dia meminta ibunya itu agar solat sahaja di rumah kerana kesihatan ibunya itu ada kalanya tidak menentu. Tetapi ibunya tetap juga mahu solat berjemaah di masjid. Kata ibunya itu, masjid yang sudah berdekatan dengan kawasan rumah bukankah elok dimmarahkan. Lagipun kata ibunya solat berjemaah di masjid bukankah 27 kali ganda pahalanya berbanding solat sendirian di rumah. Ibunya kalau sudah bukak kitab, Akhmal kena angkat bendera putih jawabnya.




Salim dilihat datang bersama makcik Azizah. Sebotol minyak urut turut berada didalam pegangan tangan makcik Azizah.




"Salim kata kaki akak kejang tadi. Sakit lagi kak?" Makcik Azizah sudah bersila dilantai sambil tangannya sudah singgah di betis makcik Aishah. Akhmal segera mengalihkan tangannya. Dia tahu makcik Azizah memang handal mengurut.




"sikit je Zah. Salim ni je yang berlebih-lebih." Makcik Aishah memandang Salim yang tersengih sebelum mengalihkan pandangannya pada Akhmal disebelah.




"eh tadi teruk apa puan. Terduduk puan kat tangga masjid tu. Nasib baik ada budak Siti tu tadi. Cepat jugak dia bertindak. Kalau tak ,tak tau jugak apa jadi kat puan tadi."




Siti?




Akhmal pandang Salim sambil angkat kening. Salim tayang senyum lebar. issy dia ni!




"siapa Siti mak?"




Akhmal alih pandangan pada wajah ibunya yang sedang tunduk melihat makcik Azizah mengurut betis dan pergelangan kakinya. Wajah Akhmal ditoleh sekilas sebelum melemparkan sebuah senyuman. Bahu Akhmal ditepuk perlahan. Senyuman dihalakan pula pada Salim yang masih berdiri dihadapan.




"bidadari masjid, tuan. Cun giler!" Salim angkat kedua-dua ibu jari ke atas dan dihalakan pada Akhmal. Makcik Aishah ketawa dengan kata-kata Salim. Dahi Akhmal berkerut dengan kata-kata yang dilafazkan pemandunya itu.




Bidadari masjid?

4 comments:

blinkalltheday said...

wahhh best2..nk n3 lagi kucc...akhmal mesti heronye,kan??bile la siti nk klr dr umah tu ye??sian siti dilayan camtue..

kak ida said...

salam..bila nak dipertemukan akhmal ngan bidadari masjid..teruja pulak nak tau lanjutan cerita ini...

Diahperi said...

bestlah cerita baru ni. x sangka dlm zaman moden cam ni masih ada lagi org yg bersifat macam datin junainah & zurene tu ye. sy rasa si Akhmal
tu adalah MD u.t. builderkan. sy suka sangat2 akhmal tu ngan si siti. bukan zurene ye. x pandan langsung mcam tarzan adalah. x de sifat perempuan melayu t`akhir.

cactaceous opuntia said...

haha..agak2 lpas ni akhmal tu rajin la g masjid..ade bidadari...haha..haiddize

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...