Saturday, January 1, 2011

Nasi Lemak Buah Bidara - Prolog





Prolog







Bawa muatan ke inderagiri,
kayu gergaji dari Palembang,
Inikah suratan riwayat diri,
Diri sendiri penyebab malang?

Aku cuma gadis biasa. Gadis yang biasa-biasa sahaja. namun kisah perjalanan hidup aku ini bukan pada darjah yang biasa -biasa. Sejak lahir aku sudah "hilang" status diriku sebagai anak. Aku anak yang "dibuang" ibu sendiri. Aku anak yang tidak diiktiraf dan lahirku juga tidak diiktiraf. Aku ini anak yang tidak diingini. Aku dibenci ibu sendiri. Aku ini adalah lambang kekhilafan dirinya. Aku ini mungkin sejarah pahit yang ingin dilenyapkan terus dari muka bumi agar tidak diketahui sekalian manusia. Sejarah yang memalitkan malu yang paling dahsyat didalam riwayat hidupnya.




Sejak lahir hingga remaja, aku cuma kenal dengan wan (nenek) kerana dia adalah insan yang memeliharaku. Menatangku sepenuh jiwa. Tiada belah bagi. Wan lah ibu, wan lah juga ayah. Aku tidak tahu siapa ibu dan ayahku. Tidak pasti mereka masih hidup atau sebaliknya. Pada oranglain cukup sekadar dikhabarkan wan yang aku ini anak yatim piatu. Itu mungkin lebih baik buat diri ini. Aku harus sedar diri! Wan bagiku sudah cukup. Aku tidak perlukan sesiapa lagi. Kasih dan sayang wan yang tidak bertepi padaku adalah rahmat-Nya buatku.




Takdir adakala memang pahit untuk ditelan. Wan pergi dan aku akhirnya tercampak ke suatu tempat yang cukup menyiksakan jiwa. Di rumah agam itu. Aku tidak ingin ke situ. Sejuta kali tidak sudi ke mari. Aku lebih rela terus bersemayam di pondok buruk wan. Di sana syurga hidupku sejak sekian lama.Tapi aku tidak berdaya menolak. Mulutku dikunci untuk membantah. Kaki dan tangan dipasung agar tidak bisa melarikan diri ke mana-mana.




Dipandangan zahir masyarakat tiada apa yang tidak kena pada kehidupan keluarga itu. Ya, itulah tempat baru dimana aku berteduh siang dan malam. Semuanya pasti nampak sempurna dan molek molek sahaja tapi...siapalah yang tahu apa yang aku alami didalam istana indah itu. Airmata ini rasanya sudah tidak mampu untuk menerbitkan percikan jernihnya dari kolam yang acapkali kering ditimba esak dan tangis.




Aku sudah puas disakiti. Herdik caci maki itu bagai irama merdu ditelinga. Kebal sudah gegendang telinga ini dengan segala laungan dan nyanyian tersebut. Aku sering bertanya diri sendiri kenapa nasib diri aku seburuk ini. Kenapa harus aku diuji hebat sebegini. Kenapa mesti aku yang ditimpakan dugaan hidup nan hebat ini. Apakah Tuhan sudah memutuskan kasih dan sayang-Nya padaku? Apakah Tuhan sudah memalingkan rahmat-Nya padaku hingga begini buruk nasib diriku? Apakah aku ini insan yang tidak layak diberikan kebahagiaan hidup di dunia ini? Apa salah dan dosaku hingga tergamak sungguh Tuhan menjatuhkan hukuman sebegini padaku. Jika arwah wan masih ada pastinya aku akan dimarahi jika berfikir sebegini. Kata wan, jangan sesekali mempersoalkan kasih sayang-Nya pada kita tapi tanyalah diri kita sendiri sejauhmana kasih-sayang kita pada-Nya. Hikmah Tuhan itu ada pada tiap kejadian. Percayalah.




* * * * * * *




Aku ini gadis malang. Aku ini anak yang sangat kasihan nasib hidupnya. Itu kata arwah wan pada aku kala dia masih hidup dahulu. Kala itu aku tidak faham apa makna kata-kata wan. Aku tidak mengerti apa itu semua. Aku masih kecil ketika itu. Namun bila usia menginjak dewasa aku mula faham. Aku mula mengerti kata-kata yang disebut arwah wan. Lahirku mencalar aib yang bukan kepalang pada keluarga wan. Aku sentiasa dipulaukan oleh orang-orang kampung. Mereka tidak membenarkan anak-anak mereka bermain denganku apatah lagi berkawan denganku. Tidak mahu terpalit sialku. Sial? aku ni sial? Aku tanyakan pada wan benarkah aku ini sial tapi wan hanya mengusap-usap kepalaku. Pernah waktu kecil dahulu aku tanyakan pada arwah wan kenapa aku tiada ibu dan ayah seperti kanak-kanak lain. Mengapa mereka tidak pernah menjengukku biarpun sekali. Dimana mereka sebenarnya dan mengapa mereka tinggalkan aku keseorangan disini. mengapa?Kadangkala hati kanak-kanakku pilu melihat pemandangan disekeliling. Baik di kampung juga disekolah. Tidak pernah aku merasai peluang menyebut kalimah ibu dan ayah. Hanya wan yang aku kenal sejak aku mula kenal dunia. Hanya wan yang sentiasa menjadi ibu dan ayahku pada tiap waktu dikehendaki. Wan lah tempat aku mengadu, tempat aku menumpang kasih. Wan la segalanya dalam hidupku. Hingga aku menjengah usia remaja wan tidak pernah memberikan jawapan pada pertanyaan aku. Hanya kalimah sabar yang terlafaz dari bibir tuanya itu. Namun disaat akhir hayatnya, hijab yang menutup riwayat hidupku selama ini dibuka. Aku dikhabarkan masih punya ibu! Ya, ibu yang melahirkan aku dan dia jugalah insan yang mencampakkan aku bagai sampah. Siapa ibuku? Aku hanya sekadar tahu namanya seperti yang tercatat di sijil kelahiran. Bagaimana rupanya? soalan ini bertalu-talu menyerang jiwa halusku yang sudah sekian lama parah. Walau aku sungguh sedih dengan perbuatannya tapi aku tetap mahu tahu siapakah dia.




Di istana baru ini yang telah menyelamatkan diri aku dengan memberikan kehidupan baru yang lebih ,siapa diri aku dan siapa dia yang aku cari selama ini tersingkap...segalanya akan terjawab. Akan aku nantikan saat itu...




* * * * * * *




Pantai Lukut luas terbentang,
Teluknya penuh berbatu karang;
Ibarat melukut di tepi gantang,
Masuk tak penuh keluar tak kurang.




Mengertikah kalian bahawasanya tiada sesiapapun akan meminta dilahirkan dengan membawa aib yang terlakar pada diri, jauh sekali membawa palitan lumpur pada kaum keluarga. Aku tidak terkecuali...tapi apalah daya aku ini kerana segala-galanya sudah tercatat di Loh Mahfuz. Lahirku dengan takdir begini. Aku tidak minta takdir hidupku begini.




Tuhan, sampai bila lagi aku harus mengharungi duka ini?...




* * * * * * *




Sejak kecil aku sering diulam wan dengan pujian. Aku punya hati yang baik. Aku budak yang mudah memberi maaf pada yang sesiapa yang menyakitiku. Namun semua itu acuannya aku salin dari wan. Aku kagum dengan peribadi wan. Biar dilempar tohmahan yang bukan sedikit yang sememangnya disebabkan kehadiran diriku disisinya, wan tidak pernah berdendam atau membalas tiap cacian yang diterima. Wan cukup tabah. Wan punya hati yang luar biasa cantiknya.




Kata wan tidak mengapa menjadi orang biasa-biasa asalkan punya hati yang luar biasa. Luar biasa baik, luar biasa cantik. Ya, aku ingin jadi seperti itu...menjadi gadis biasa tetapi punya hati yang luar biasa




Tapi...mampukah aku mencapai impian itu?













3 comments:

aqilah said...

opening pun dah lain mcm aje bunyinya...............

IVORYGINGER said...

touching doh... sian dia. xpatut emak dio buat lagu tu buang dia ats aib sndr. huh...

hanis khiri said...

Macam best je..nak baca lagi..
Seindahtaqwa.blogspot.com

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...