Tuesday, December 2, 2008

Bila Cinta Bicara- Prolog



Prolog

Membuat keputusan bukan mudah. Sukar... sulit pun iya. Ia perkara yang dia paling tidak gemar sementalaah lagi jika ia membabitkan isu hati dan perasaan tapi dia memang tiada pilihan. Dia harus juga melakukannya walaupun mungkin nanti ada hati yang terluka, ada hati yang menangis atau paling-paling ada yang akan jauh hati dengan keputusannya tapi apalah daya dirinya yang serba kekurangan ini. Dia tahu dia tidak mampu memuaskan hati semua orang...tidak mungkin membahagiakan semua orang. Biarpun keputusannya ini nanti akan menghancur-lumatkan hatinya sendiri, perasaannya sendiri dia redha. Dia tahu hidup ini tidak akan sentiasa disirami haruman kasturi.Biarlah segalanya disimpan jauh di ujana hatinya. Biarlah janji itu menjadi rahsia dirinya.
Kesalahannya cuma kerana dia jatuh hati pada si dia. Tapi benarkah kerana itu dia telah dianggap melakukan satu kesalahan besar.Kesalahan yang secara total diletakkan pada pundaknya. Dia dilabel perempuan yang tidak tahu malu, tidak sedar diri. Pilunya hati dihina sedemikian rupa. Tahukah mereka dia tidak pernah meminta rasa itu, tidak sesekali mengundangnya hadir, tapi siapalah dia untuk menghalang. Entahlah, dia bingung. Bingung sekali. Tidak tahu bagaimana harus dijelaskan perasaannya saat ini. Bola mata yang sedari tadi ditala ke menara besi di hadapan itu masih direnung tanpa jemu. Mampukah hatinya seteguh London Bridge yang tetap setia memayungi Sungai Thames. Pandangan mata dialih pada desiran air Sungai Thames yang tenang mengalir. Semoga hatinya juga beroleh ketenangan sebegitu. Air mata yang hangat mencecah pipi mulusnya cepat-cepat disapu dengan kura tangan. Nafas ditarik kemudian dihembus. Duhai hati, tenanglah dikau. Kau harus kuat Echa. Harus!.
Langkah kaki yang diayun perlahan-lahan dari tadi kini melewati bangunan Windsor Castle. Kepala didongakkan menatap bangunan batu berusia 900 tahun namun masih tegap utuh. Dia mahu punya hati sekukuh dan setegap bangunan itu. Mampukah dia merealisasikan azamnya itu. Mata dipejamkan seketika sambil kedua-dua tangan dilekatkan pada dadanya...Echa, lakukanlah demi dia..demi dia!. Langkahnya dipakukan pada bangku panjang yang berderet menghiasi panaroma di hadapan istana bersejarah itu. Punggungnya dilabuhkan pada salah satu bangku di situ. Matanya menatap sayu kaki langit yang memancar mega jingga pada remang senja itu. Ikhlaskah pengorbanan ini?..ya Tuhan, bantulah hambamu yang lemah ini.Kedua-dua tapak tangan diraup pada wajahnya.
Sesungguhnya pelarian ke tanah tumpah arwah umi ini telah banyak memberi peluang padanya untuk benar-benar menilai isihatinya. Bicara hati tidak mampu berbohong biarpun bahasa jasad berupaya mengaburi pandangan mata. Ya, dia sudah faham kini bahasa hatinya itu saat mereka berbicara. Dia sungguh sudah mengerti!. Bisikan dari hati nan tulus itu sering membuatkan perasaannya berdebar-debar! aliran darah dari dalam tubuhnya deras dirasakan bagai... bagai aliran air terjun yang ganas menghempas batuan di dasarnya. Nafas seakan terhenti seketika!..Itulah jawapan dari hatinya. Jawapan yang kelak bakal mengubah diari kehidupannya. Tapi...dia tahu ia terlalu sukar untuk direalisasikan. Cabaran yang bakal menantinya di sana bukan sebarangan.Walau si dia tega berpatah arang berkerat rotan demi dirinya, dia tidak mungkin memusnahkan masa depan orang yang disayangi. Biarlah dia beralah.Biarlah dia berundur.Biarlah...demi untuk si dia. Itu janjinya.
Si dia...sang arjuna yang dinafikan haknya dari awal untuk bersemayam di takhta hati biarpun si dia tu bersungguh-sungguh memenangi hatinya nan satu ini. Dia kagum pada kesungguhannya, kagum pada semangatnya, kagum pada tidak putus-asanya yang akhirnya berjaya merobohkan tembok konkrit yang kukuh terbina dalam hati dia ini lantas mengesahkan pada seluruh alam bahawasanya hati ini telah si dia miliki. Si dia yang menyedarkannya tentang erti kasih, sayang dan cinta, si dia yang begitu berani merampas ego dirinya selama ini.Si dia yang akhirnya telah menutup pandangannya pada lelaki lain tapi membuka hijab itu hanya pada dirinya seorang namun hingga kini dia tidak mampu melafazkan kata-kata hikmat itu pada si dia. Dia tak mampu...demi tuhan, sungguh tak mampu!

Memang kuasa cinta itu besar tarikannya. Umpama tarikan magnet kesempadan zonnya .Walau sekuat manapun kita menolak namun akan tertarik juga ke hujungnya. Aneh sekali perasaan bila dicintai dan disayangi. Dia mengerti kini kenapa mesti wujud istilah-istilah yang dulunya begitu memualkan minda, lafaz kata-kata yang menyesakkan rongga tekak dan begitu menjengkelkan rasa kerana dia sedang menghadapi situasi itu sekarang...aargghh, dia benar-benar penasaran oleh kuasa cinta yang telah menguasai seluruh dinding hatinya dan ia bagai menutup pintu juga jendelanya agar dia tidak bisa membebaskan diri, langkahnya bagai sudah dirantai mati. Dia kalah dalam pertempuran itu, tersungkur oleh panahan mata bundar si dia yang redup dan mendamaikan itu tatkala mata itu mula berbicara...bicara tentang cinta!
Indahnya kenangan itu...terlalu sukar diluah dengan bait kata-kata. Biarlah ia kekal menjadi sebahagian kenangan manis dalam hidup yang akan kekal tersimpan utuh disanubari. Doa ikhlas dipanjatkan buat si dia moga sentiasa bahagia...selama-lamanya. Insan teristimewa yang pernah bertakhta di jiwa dan akan terus kekal di persada hatinya. Moga dikau akan sentiasa bahagia sayang!

2 comments:

dániel said...

me preguntaba que idioma exactamente es el que hablas... talvez algun dia puedas responderme...

Cik Gojes said...

gambar tu bukan london bridge...its tower bridge sayang..

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...