Thursday, October 14, 2010

Istikharah Terakhir - Bab 32

Bab 32

Mata bundarnya yang dilindungi Burberry hitam menjelajahi persisiran Pantai Cenang nan memutih pasirnya. Desiran air laut yang mencecah gigi pantai bagai alunan melodi indah yang mendamaikan seluruh pancaindera. Zita membongkokkan tubuh lampainya hingga mencecah gigi air. Jari jemari nan runcing mencapai ombak kecil yang sampai ke gigi air lalu dikuis-kuis perlahan. Seketika dirinya tenggelam dengan keasyikan yang tercipta. Ketawa kecil tercetus dari bibir mungilnya. Matanya memandang pada kaki horizon di hadapan. Burberry ditolak ke atas kepala. Serakan warna jingga muda yang mula menguasai langit alam diamati dengan penuh kesyukuran. Indahnya ciptaan illahi.

Laut dan pantai sentiasa ada tempat yang istimewa dalam hatinya...sejak dulu.

Kerana... laut dan pantai itu mengingatkan dirinya pada seseorang. Seseorang yang pernah dekat di jiwanya. Walau seseorang itu pernah meninggalkan luka yang paling dalam hidupnya, cintanya pada laut dan pantai tidak pernah tergugat. Laut dan pantai tidak pernah melukakan...laut dan pantai tidak pernah meninggalkannya seperti dia. Laut dan pantai sentiasa memberi kedamaian pada jiwanya tiap kali dihampiri.

Kenangan itu kembali hadir dilayar mata.

Laut dan pantai menemukan mereka. Laut dan pantai mengikat mereka. Seseorang yang dulunya hadir tatkala dia memerlukan. Seseorang yang pernah menjadi sandaran hidupnya, dahan berpaut kala dia hampir tewas pada kehidupan. Namun dia yang diharap tiba-tiba pergi tanpa pamit...pergi meninggalkan dirinya terkapai keseorangan..pergi dengan satu pesanan yang langsung tak diduga...sampai hati sungguh dia!

Persisir pantai yang memutih terus dijejaki dengan langkah perlahan. Satu persatu. Sepasang kakinya yang tiada disaluti sepatu itu terbenam ke wajah pasir tiap kali kaki melangkah. Tangan yang menjinjing sandal sama berayun bersama kaki yang melangkah. Matanya memandang pada gelagat beberapa pengunjung yang kebanyakkan pelancong asing yang sama-sama menikmati keindahan Pantai Cenang. Suara-suara gembira anak-anak kecil yang seronok mengejar ombak yang sampai ke gigi air menerbitkan senyum dan ketawa kecil Zita. Indahnya menjadi kanak-kanak!

Hadirnya di Pulau Lagenda ini tidak dirancang namun atas sebab mengantikan papa yang mahu dia menghadiri perjumpaan dengan Mr Mike Adrian Ball dari Rhodes Swatchrz Technologies iaitu pelanggan utama syarikat mereka semalam, Zita akur. Papa mahu dia mengenali dengan lebih dekat pelanggan berkenaan demi kelancaran urusan syarikat, lalu semalam selepas tamat perjumpaan pertama di Dayang Cafe, Zita bersyukur Mike Ball berpuas hati dengan prestasinya mengendalikan perjumpaan mereka. Lebih mengembirakan, Mike Ball bersetuju berjumpa Zita di Kuala Lumpur untuk urusan mereka yang seterusnya.

Laut dan pantai itu terus menggamit jiwanya.

Hatinya diusik lagi oleh kedamaian laut dan pantai disitu, lalu dia terus meminta penginapannya di Berjaya Langkawi Resort itu disambung dua hari lagi. Dia ingin menghabiskan hujung minggu nya di sini. Bersama laut dan pantai disini. Laut dan pantai di sini sentiasa melambai-lambai di layar mata sejak mula kakinya dijejakkan di bumi Mahsuri ini. Pada papa dikhabarkan dia akan pulang pada hari isnin dan terus ke pejabat seperti biasa walaupun papa meminta dia bercuti sahaja pada hari tersebut kerana tidak mahu dia kepenatan.

Kaki yang sudah separuh bermandi pasir terus diseret. Burberry sudah berpindah ke dada, disangkut pada leher baju t-shirt kelabu berlengan pendek paras siku. Tiupan bayu petang yang menyejukkan menerbangkan rambutnya yang dilepaskan. Dikuis helaian rambut yang terbuai-buai pada wajah lalu diselitkan ditepi cuping. Kedua-dua belah tangan disilang ke tubuh. Erat. Mata dibawa menjelajahi kebiruan laut petang.

Terasa hujung bajunya seperti ditarik-tarik perlahan. Kepala ditoleh lalu ditundukkan sedikit kebawah. Matanya terhenti berkelip seketika saat bertembung dengan wajah cilik yang sedang tersenyum manis itu. Kepala ditoleh laju. Kiri dan kanan. Sekali lagi ditoleh. Tubuh lampainya dibongkokkan sambil tangan halus itu dicapai dan digenggam erat.

"Sarah!..datang dengan siapa ni sayang?" Tangan halus itu lurus menghala pada pohon dipantai. Mata bundarnya dikecilkan memandang pada arah yang ditunjukkan si comel. Terlihat sepasang tangan sedang melambai sambil berlari perlahan ke arah mereka. Azhar!

"papa?" Mata dihala ke wajah comel dihadapan. Kepala si comel laju mengangguk. Senyum manisnya masih tidak lekang dibibir mungil itu.

"Har?" Azhar yang santai berseluar jeans separas lutut dengan kemeja putih lengan pendek direnung.

"Yes it's me my dear. Surprise ye? mana you ada, mesti i ada." Senyuman diukir bersama gelengan kepala. Azhar, Azhar...

"Meeting? or...meeting someone overhere, hmmm?" kening diangkat sambil mata dikenyitkan pada wajah cantik dihadapan.

"hahaha...so cute encik Azhar. Jauhnya i kena date ye. Baik i ke Songkhla terus kan."Azhar sudah ketawa dengan jawapan spontan Zita. Nakalnya dia!

* * * * * * *

"ntah la Har. Buntu rasanya. Kiri macam ni, kanan macam tu."

"dah cuba bincang?"

Kening Zita diangkat sedikit. Bincang? Tak mungkin Har...

"semua tu dah takde makna lagi Har. Dah lepas. Dah lama berkubur.Kalau la boleh, i taknak fikir lagi tentang ni. I dah letih Har."

"you kena fikir juga macam mana nak selesaikan. Ini demi kebaikkan diri you juga. If you need me, i'm always here for you. Always dear. " Kata-kata Azhar berlegar-legar diminda. Tidak bolehkah dibiarkan sahaja begitu. Biar sampai mereka bosan sendiri dan akhirnya meninggalkan dirinya tanpa gangguan. Bukankah lebih baik begitu?

Mata terus dihala ke pantai memandang pada Maisarah yang asyik berlari-lari di gigi air. Ketawa dan jeritan keseronokannya mengejar air dapat dilihat dari tempat dia melabuhkan duduk bersama Azhar. Senyuman tanpa disedari terbit dibibirnya melihat aksi Maisarah yang ternyata begitu gembira di pantai. Comelnya Maisarah dengan rambut perangnya yang panjang dilepas bebas begitu.Ketawanya tercetus melihat Maisarah yang berbaring di gigi air sambil menepuk-nepuk air.

Wajah wanita disebelah yang sedang asyik memandang ke arah laut lepas dihadapan direnung. Zita dilihat tidak menyedari dirinya sedang diperhatikan. Simpatinya singgah pada Zita. Pada usia yang masih muda sudah bergelar janda. Sekarang pula perlu berdepan dengan karenah bekas suami yang sukar menerima perceraian mereka lalu terus-terusan memburunya kembali. Dan terkini sedang diburu pula oleh bekas kekasih yang mahu menyambung kembali kasih mereka yang terputus suatu waktu dahulu. Lalu dirinya, bagaimana? Sukar baginya menidakkan betapa wanita ini mula bertapak di hatinya malah semakin kuat kesannya di jiwa.

Nafas dihela perlahan. Dari laut pandangannya berpindah pada pada wajah Azhar disebelah. Seketika pandangan mereka bertembung. Bertaut erat. Senyuman diukir demi mengurangkan debar di dada. Azhar turut tersenyum.

"kak Zita...marilah...marilah main air dengan Sarah kat sana tu, seronok tau!" suara keletah Maisarah yang tiba-tiba menerpa mematikan renungan antara kedua mereka. Azhar sudah tersenyum memandang puteri tunggalnya yang sudah kuyup seluruh tubuh sedang menarik-narik tangan Zita. Azhar bangun dari duduknya sambil menepuk-nepuk pasir yang terlekat di bahagian belakang seluar. Zita hanya memerhati perilaku Azhar. Tangan halus Maisarah sudah dicapai Azhar.

"jom kita main air puas-puas."

Maisarah sudah melompat-lompat. Tangan Zita ditarik-tarik.

"jom lah kak Zita, jomlah...jom lah main air dengan Sarah dan papa." Duduk Zita masih tidak berganjak. Kepala sengaja digelengkan. Matanya terus memandang cebikan pada wajah comel Maisarah. Seronoknya dapat menyakat si comel itu.

"papaaaa..ajaklah kak Zita sama main air dengan kita."Wajah comel itu terus menagih simpati pada Zita.

"jommmmmmmmm!" Zita sudah bingkas bangun lantas berlari ke arah pantai dengan Maisarah yang mengejar dari belakang sambil menjerit memanggil namanya. Azhar yang mengekori dari belakang hanya memerhati gelagat kedua-duanya dengan senyuman yang semakin lebar.

No comments:

Hati Ini Pilih Kamu

"Saya dah tak ada hak lagi nak duduk kat rumah tu." Rumah tu milik Zainal. Dan isyarat kak long yang humbankan beg pakaian aku be...